NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Islam Bukan Sekadar Agama Rasmi Malaysia

 Jika Islam itu agama rasmi, maka ianya terbatas kepada upacara keagamaan semata-mata dan Islam tidak boleh mencampuri urusan pentadbiran negara. Di Malaysia, Yang di-Pertuan Agong, wajib mengangkat sumpat berdasarkan Perkara 37 Perlembagaan Persekutuan, yang berbunyi “Wallahi, Wabillahi, Watallahi…”. Tidak mungkin YDPA mengangkat sumpah dengan nama Allah sekiranya Malaysia adalah sebuah negara sekular di mana Islam hanya sekadar agama rasmi. 


PUTRAJAYA: “Islam bukan sekadar agama rasmi negara”, ujar Dato’ Prof. Mahamad Naser Bin Disa. Menurut beliau, ini adalah kerana Perkara 3(1) Perlembagaan Persekutuan jelas menyatakan bahawa “Islam adalah agama bagi Persekutuan”, tidak ada perkataan rasmi di situ. Jarang rakyat Malaysia mengetahui asas Perlembagaan Persekutuan, walaupun ini adalah dokumen yang menjadi asas kepada penubuhan negara kita Malaysia.

“Bahkan kewujudan istilah ‘rasmi’ akan melemahkan kedudukan Islam di dalam negara”, tegas beliau. 

Menurut beliau, jika Islam itu agama rasmi, maka ianya terbatas kepada upacara keagamaan semata-mata dan Islam tidak boleh mencampuri urusan pentadbiran negara. Di Malaysia, Yang di-Pertuan Agong, wajib mengangkat sumpat berdasarkan Perkara 37 Perlembagaan Persekutuan, yang berbunyi “Wallahi, Wabillahi, Watallahi…”. 

Tidak mungkin YDPA mengangkat sumpah dengan nama Allah sekiranya Malaysia adalah sebuah negara sekular dimana Islam hanya sekadar agama rasmi. 

Keadaan pada waktu ini sungguh berbeza, memandangkan Perlembagaan itu sendiri yang memartabatkan Islam, maka tidak mungkin Islam sekadar agama rasmi. 

Kata-kata “Malaysia negara sekular” adalah benar sekiranya Islam adalah agama rasmi negara, akan tetapi Islam bukan agama rasmi, Islam adalah agama bagi Persekutuan. Ianya dua kata-kata yang sangat berbeza dan mempunyai implikasi yang sangat besar. 

Mereka yang menyatakan “Islam adalah agama rasmi”, nyata tidak menghayati Perlembagaan Persekutuan. Bukan itu sahaja, Perkara 3(4) juga menyatakan bahawa “Tiada apa-apa di dalam peruntukan ini yang dikurangkan oleh mana-mana bahagian lain di dalam Perlembagaan Persekutuan”, ujarnya lagi. 

Ditanya jika terdapat sebab-sebab mengapa ada pihak yang sentiasa memperjuangkan “Islam sebagai agama rasmi”, Dato’ Prof. Mahamad Naser menjawab, “Sudah tentu ada, kerana ingin melemahkan Islam, dan seterusnya bila Islam sudah lemah, mereka bebas melakukan apa sahaja termasuk membawa masuk orang Islam ke agama-agama lain”. 

Berkenaan buku-buku teks sekolah yang sering menggunakan ungkapan “agama rasmi”, beliau berkata, “Itu adalah kesalahan yang ada pada buku-buku tersebut dan perlu diperbetulkan. Sekiranya tidak diperbetulkan, maka rakyat Malaysia akan sentiasa meletakkan Islam pada satu posisi yang rendah termasuk orang Islam”. 

Ketika ditanya soalan apakah yang patut dilakukan demi mengubah persepsi ini, beliau menjawab, “Kerajaan harus memainkan peranan memperbetulkan kesilapan ini di semua dokumen-dokumen yang wujud termasuk, buku teks sekolah, surat-surat rasmi, dan lain-lain media yang mungkin digunakan”.

Sumber: https://www.menara.my/mahamad-naser-disa-islam-bukan-sekadar-agama-rasmi-malaysia/

#RUU355: ABIM Minta Penjelasan Penuh Kerajaan

ABIM mendesak pihak kerajaan untuk tampil dengan penuh tanggungjawab memberi penjelasan sepenuhnya kepada umat Islam berhubung pendirian sebenar dan jaminan yang telah diberikan berhubung isu RUU 355 ini. Penjelasan ini amat penting untuk membersihkan imej kerajaan hari ini yang dilihat dengan sengaja memperguna sentimen agama bagi tujuan kepentingan politik semata-mata.

ABIM merujuk kenyataan Perdana Menteri Dato’ Sri Najib Razak bertarikh 29 Mac 2017 (semalam) bahawa Kerajaan Persekutuan tidak akan membentangkan pindaan Rang Undang-Undang Akta Mahkamah Syariah 1965 (RUU 355) di Parlimen berikutan dari keputusan mesyuarat Majlis Tertinggi Barisan Nasional.

Keputusan ini jelas bercanggah dengan kenyataan Perdana Menteri sendiri dalam laporan MStar bertarikh 1 Disember 2016 yang memberi jaminan bahawa  pindaan terhadap Rang Undang-Undang 355 akan diambil alih pihak kerajaan ketika menyampaikan Ucapan Dasar Presiden pada Perhimpunan Agung Umno 2016 di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC).

Sementara itu, Timbalan Perdana Menteri juga dalam kenyataan bertarikh 17 Mac 2017  telah berjanji bahawa kerajaan Persekutuan akan mengambil alih pindaan RUU tersebut untuk dibentangkan di Dewan Rakyat atas komitmen yang diberikan oleh Perdana Menteri untuk menterjemahkan hasrat tersebut.

Selain itu, ia juga selari dengan kenyataan Menteri Di Jabatan Perdana Menteri Dato’ Seri Jamil Khir Baharom sebelum ini bertarikh 24 November 2016 yang menyatakan kerajaan persekutuan akan mengambil tanggungjawab membawa RUU ini setelah urusan berkenaan tatacara dan peraturan Dewan Rakyat selesai.

ABIM mendesak pihak kerajaan untuk tampil dengan penuh tanggungjawab memberi penjelasan sepenuhnya kepada umat Islam berhubung pendirian sebenar dan jaminan yang telah diberikan berhubung isu RUU 355 ini. 

Penjelasan ini amat penting untuk membersihkan imej kerajaan hari ini yang dilihat dengan sengaja memperguna sentimen agama bagi tujuan kepentingan politik semata-mata.

Bagi ABIM, polemik RUU yang berlaku hari ini amat menyedihkan apabila usaha memartabat Mahkamah Syariah yang menjadi tanggungjawab kita bersama telah tercemar dengan sindrom ketakutan ramai pihak akibat dari tindakan tidak bertanggungjawab yang menunggang sentimen ini untuk manfaat sokongan politik.  

ABIM ingin menegaskan bahawa, ABIM sentiasa berlapang dada bersama dengan mana-mana pihak untuk memartabat kedudukan Mahkamah Syariah, namun ia harus bertunjangkan niat yang ikhlas dan murni serta diiringi semangat perbincangan dan musyawarah dengan semua pihak demi kepentingan masa depan Islam.  

Prosedur serta road map yang jelas dari peringkat awal hingga ke pelaksanaan juga harus dirangka sebaik-baiknya bagi mengelakkan implikasi buruk di kemudian hari. 

Maka, ABIM mengulangi tuntutan untuk kerajaan tampil memberi penjelasan yang menyeluruh kepada umat Islam sekiranya kerajaan benar-benar bertanggungjawab mahu memartabatkan kedudukan Mahkamah Syariah di Malaysia. 

Muhammad Faisal Abdul Aziz
Setiausaha Agung ABIM

#RUU355, Cabaran dan Kewajipan

Kejahilan umat Islam dan ketidakpedulian para pencinta Islam itu sendiri memberi ruang untuk pelbagai alasan dangkal disebarluas bagi menyulitkan usaha pemerkasaan perundangan Islam. Kadangkala alasan dan hujah sengaja dicipta dalam bahasa mudah dan perkiraan logik agar senang diterima dan disebar - Mohammad Faizal Che Yusof


SUNGGUH saya meraikan pelbagai pendapat dalam mengemukakan pandangan berkaitan usul persendirian Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang bagi meminda Akta Mahkamah Syariah (Bidangkuasa Jenayah) 1965 “Akta 355” yang ramai merujuknya sebagai RUU 355. Dalam memerhati pelbagai perbezaan pandangan yang ada, pada perkiraan saya ada sebahagiannya lebih kepada menampilkan anggapan usul persendirian ini perlu diketepikan atas alasan yang sengaja direkayasa.

Dalam tulisan ini, saya akan cuba mengenengahkan pandangan agar kita lebih bersikap adil dalam menilai usaha mendaulatkan syariat melalui RUU 355. Memandangkan usaha ini lebih tertumpu kepada sikap dan pendirian Parti Islam Se-Malaysia PAS, saya akan mengemukakan pandangan saya sesuai dengan situasi tersebut.

Mungkin para pembaca akan condong mengatakan apa yang akan dikemukakan dalam penulisan ini telahpun diulas dan diketengahkan oleh pelbagai pihak di pelbagai ruang. Namun usaha memberi kefahaman tidak boleh terhenti di situ sahaja apabila usaha-usaha mengenengahkan fakta yang mengelirukan di sebalik RUU 355 ini terus berjalan.

PAS sebagai gerakan Islam

Suatu yang telah diketahui umum, PAS diwujudkan hanyalah bagi memastikan syariat Islam didaulatkan melalui arena politik. Dalam pada itu tidaklah bermakna PAS itu sekadar parti siasah semata-mata, bahkan gerak kerjanya mencangkupi aspek-aspek pendidikan atau tarbiah, dakwah dan juga kebajikan serta kemasyarakatan.

Dengan kata-kata lain, tumpuan PAS bukanlah dari hal-ehwal kepartian, politik  dan pilihan raya semata-mata. Gerak kerja kami berjalan sepanjang waktu atas usaha membawa masyarakat kepada Islam bagi kehidupan yang sejahtera dan harmoni.

Sebagai contoh, melalui lajnah kebajikan dan kemasyarakatan yang dibentuk, pelbagai unit kami wujudkan bagi memastikan kepentingan rakyat terpelihara. Selain menjaga kepentingan ahli dan para pendokong parti, pelbagai segmen masyarakat yang dikatagorikan sebagai kumpulan rentan termasuklah orang kurang upaya, warga emas yang disebut warga assabiqun, wanita dan kanak-kanak menjadi tumpuan dalam gerak kerja semasa.

Dengan dokongan pelbagai lapisan masyarakat, di lajnah ini juga kami terus menekuni usaha dalam mendekatkan warga penunggu kota yang biasa disebut sebagai gelandangan agar terus dekat kepada Islam. Apa yang sedang kami laksanakan dalam lajnah ini hanyalah sebahagian dari gerak kerja semasa pendokong PAS selain dari kerja-kerja pilihan raya sebagaimana diketahui umum.

Justeru amatlah tidak tepat apabila dikatakan PAS hanya mendahului hal-hal berkaitan perundangan Islam tanpa mempedulikan isu-isu yang menyelebungi kesejahteraan dan kesentosaan rakyat. Asal PAS itu sebagai gerakan Islam, apa yang terkandung di dalam syariat itulah menjadi keutamaan dan tumpuan para pendokong parti.

PAS sebagai badan siasah

Sebaik saja PAS itu wujud di arena politik, ia memberi ruang kepada PAS untuk meletakkan agenda pemerkasaan Islam pada satu lagi cabang dalam sistem kenegaraan kita. Jika badan-badan bukan kerajaan lain menumpukan gerak kerja yang berhubungkait dengan institusi pentadbiran atau disebut eksekutif, melalui pentas politik PAS berpeluang meneruskan gerak kerjanya di cabang perundangan atau disebut sebagai legislatif.

Ia dapat dicapai bilamana PAS menghantar calon-calonnya untuk bertanding dalam pilihan raya bagi menduduki kerusi-kerusi dalam dewan-dewan perundangan sama ada Dewan Rakyat di peringakt persekutuan mahupun Dewan-dewan Undangan Negeri di peringkat negeri. Pada tahap ini, tumpuan PAS tentunya bukan sekadar hal-ehwal berkaitan pentadbiran dan eksekutif lagi.

Bagaimana isu teknikal dan birokrasi dalam selok-belok pentadbiran dan eksekutif hanya akan menjadi sebahagian tumpuan dalam aspek tugas di dewan-dewan perundangan. Yang lebih utama daripada menjadi entiti semak dan imbang, tugas para pendokong PAS sebaik berada dalam dewan-dewan perundangan termasuklah memastikan setiap perundangan yang ada mematuhi kehendak syariat Islam.

Dengan erti kata lain, dalam memastikan setiap perundangan itu bersifat patuh syariah, tugas penambahbaikan kepada isu-isu pentadbiran dan eksekutif akan terus berjalan di bahagian tersebut yang operasinya selari dengan badan-badan perundangan. Bahkan dalam memastikan isu-isu pentadbiran dan eksekutif diberi penambahbaikan, tugas para pendokong PAS yang menduduki dewan-dewan perundangan lebih kepada mengemukakan cadangan dan memantau prosedur sedia ada agar kelancaran pentadbiran tidak terganggu dengan pelbagai kerenah birokrasi.

Jika para pendokong PAS yang bergelar ahli-ahli Yang Berhormat hanya fokus dan menumpukan kepincangan dan kelemahan dalam birokrasi pentadbiran dan eksekutif, fungsi mereka sebagai penggubal perundangan akan terganggu dan terencat. Bahkan itulah seharusnya juga difahami oleh setiap mereka yang menduduki dewan-dewan perundangan yang peranan utamanya sebagai penggubal undang-undang.

PAS dan RUU 355

Sesuai dengan PAS badan siasah yang berteraskan Islam, tidak ragu-ragu lagi bahawa Islamlah kiblat dalam PAS berpolitik. Politik PAS adalah untuk Islam dan ia tidak mungkin akan dikompromi.

Apatah lagi apabila telah ada para pendokong PAS bergelar ahli-ahli Yang Berhormat, sudah pasti di sana tumpuan kami menjadikan sedaya dapat nilai-nilai syariat dilaksanakan dalam setiap perundangan. Tambahan pula di Malaysia yang mengamalkan dual-system iaitu sivil dan Islam, memperkasakan perundangan Islam itu tetap menjadi keutamaan PAS di arena perundangan dalam dewan-dewan perundangan yang dikuasai dan diduduki oleh para pendokong parti.

Yakni dewan-dewan perundangan yang kami kuasai sebagaimana di Kelantan dan pernah di Terengganu serta Kedah, PAS akan berusaha menggubal dan meluluskan perundangan yang sesuai dengan kehendak Islam. Ia tentu berbeza dalam dewan-dewan perundangan yang mana PAS hanyalah sebagai ahli biasa dan bukan kerajaan yang memerintah termasuklah di peringkat Parlimen Malaysia.

Dalam keadaan PAS hanya menjadi ahli biasa dewan, tetap memperkasa perundangan Islam menjadi agenda para pendokong PAS. Setiap ruang dan peluang akan dimanfaatkan bagi memastikan nilai-nilai patuh syariat diletakkan dalam setiap perundangan yang ada.

Lebih-lebih lagi dalam menekuni usaha membawa kesejahteraan kepada rakyat, perundangan Islam yang telah tersedia lengkap sudah tentu menjadi keutamaan dalam hal ini. Dalam memberi penilaian kepada apa yang dilakukan oleh para pendokong PAS dalam usaha ini sekali-kali tidak boleh mengesampingkan apa yang sedang dijuaraii oleh para petugas PAS dalam aspek-aspek yang selainnya yang saya contohkan di atas.

Keyakinan para pendokong PAS dalam membawa agenda Islam di setiap ruang dalam dewan perundangan tidak akan terpisah dengan prinsip-prinsip asas yang sedia termaktub di dalam Al-Quran, Sunnah, Ijmak dan Qias. Demikianlah dalam usaha RUU 355, dengan sifat Akta 355 ini sebagai perundangan induk kepada bidangkuasa jenayah Islam di Malaysia, ia sangat menairk perhatian. Sudah pasti antara fokus menjadi keutamaan kami adalah memastikan had hukuman di dalam Akta induk ini sehampir dan semampu boleh dekat kepada kehendak syariat.

Jika ada suara sumbang yang menuduh PAS sebagai mengutamakan politiknya dalam RUU 355, jawapan saya sudah tentu dalam bentuk positif. Mana mungkin PAS mengesampingkan politiknya yang diasaskan kepada Islam dalam setiap langkahan yang dilaksanakan. Politik yang dibawa oleh PAS adalah untuk kepentingan Islam. Asal ia memberi kredit kepada Islam, sekali-kali tidak akan ditinggalkan oleh PAS.

Salah faham dan cabaran halangan mendaulatkan Islam dalam perundangan.

Dalam mendepani pelbagai perbezaan pandangan (jika pun boleh dikatakan demikian), saya punyai pandangan yang berbeza. Apa yang perlu kami depani adalah salah faham dan cabaran halangan mendaulatkan Islam itu sendiri. Ia bukan sekadar perbezaan pandangan biasa.

Sekadar salah faham, saya percaya pelbagai program telah digerakkan bahkan sedang dan akan terus diusahakan oleh pelbagai pihak sama ada di dalam mahupun di luar organisasi PAS.

Yang perlu lebih diberi perhatian oleh mereka yang mendokong usaha mendaulatkan Islam ini adalah rupa bentuk cabaran kepada halangan mendaulatkan Islam itu sendiri. Bahkan cabaran ini lebih tersusun dan sukar ditangani tanpa perencanaan dan pemerhatian yang benar-benar rapi.

Begitu pula cabaran ini bukan hanya perlu ditanggapi oleh PAS, bahkan ia perlu diwaspadai oleh setiap pendokong Islam di mana saja kita berada.

Dalam memahami suasana bagi mendepani cabaran yang ada, beberapa perkara asas suka saya kongsikan dalam ruangan ini:

1.Dakyah-dakyah yang sengaja direkacipta bagi melengahkan dan menyulitkan usaha pemerkasaan undang-undang Islam.
2.Umat Islam yang tidak serius dalam mendaulatkan Islam kerana kurangnya ilmu dan pengetahuan.
3.Kebimbangan pihak-pihak anti Islam akan berdaulatnya Islam dalam perundangan.

Sekurang-kurangnya tiga cabaran inilah yang dapat saya ketengahkan pada waktu ini untuk sama-sama difikirkan. Cuba kita perhatikan satu persatu cabaran yang dinyatakan berikutnya.

“Dakyah yang sengaja direkacipta bagi melengahkan dan menyulitkan usaha pemerkasaan undang-undang Islam.”

Dapat kita saksikan pelbagai dakyah dan ungkapan diwujudkan bagi menjustifikasikan usaha menghalang dan menidakkan usaha yang sedang dijalankan bagi mendaulatkan Islam. Sama ada diwujudkan secara sengaja mahpupun kerana terpengaruh dengan pihak-pihak tertentu, apa yang jelas justfikasikasi yang direka itu kadangkala dilihat masuk akal.

Seumpama memperkasa undang-undang syariat di Malaysia haruslah dimulai dengan usaha pemerkasaan meningkatkan mutu dalam pentadbiran dan birokrasi pentadbiran keadilan mahkamah syariah. Dakyah ini seolah-oleh memkebelakangkan sistem legislatif, eksekutif dan judisiari yang sedang diamalkan di negara ini.

Sentiasa harus kita ingat bahawa sistem kenegaraan kita yang berasaskan tiga pemecahan kuasa iaitu legislatif, eksekutif dan judisiari berjalan saling beriringan. Masing-masing sentiasa perlu melalui proses penambahbaikan dan pemerkasaan.

Bagi RUU 355, ia adalah bidang tugas dan tanggungjawab khusus yang perlu dipenuhi oleh ahli-ahli Dewan Rakyat dan Dewan Negara.

Begitu juga ungkapan perlunya suasana yang kondusif dan sejahtera rakyat untuk usaha memperkasa perundangan Islam mengambil alih. Bagi para pendokong PAS, ungkapan ini hanyalah olok-olokan yang sengaja diadakan. Keyakinan pendokong Islam hanya satu iaitu suasana yang kondusif, sentosa dan sejahtera adalah penghasilan daripada pemerkasaan undang-undang Islam itu sendiri.

Dengan kata-kata lain, suasana sejahtera rakyat akan terhasil sebaik perundangan Islam itu disempurnakan satu persatu dalam batasan kemampuan yang ada.

“Umat Islam yang tidak serius dalam mendaulatkan Islam kerana kurangnya ilmu dan pengetahuan”

Kejahilan umat Islam dan ketidakpedulian para pencinta Islam itu sendiri memberi ruang untuk pelbagai alasan dangkal disebarluas bagi menyulitkan usaha pemerkasaan perundangan Islam. Kadangkala alasan dan hujah sengaja dicipta dalam bahasa mudah dan perkiraan logik agar senang diterima dan disebar.

Dapat kita saksikan alasan diadakan dan terus berlegar biarpun pelbagai penerangan dan penjelasan diberikan namun ia umpama mencurah air di daun keladi. Alasan dan hujah yang sama dikitar semula untuk masa dan tempat yang berbeza.

Dalam mendepani cabaran inilah betapa perlunya umat Islam meletakkan asas kefahaman ilmu yang sebenar. Bagaimana memahami Islam yang perlu diterjemah dalaam suasana semasa sangat meruntun kesungguhan dan iltizam yang tinggi.

“Kebimbangan pihak-pihak anti Islam akan berdaulatnya Islam dalam perundangan”

Dua cabaran di atas akan sentiasa diintai oleh musuh-musuh Islam bagi memudahkan gerak kerja mereka. Mereka tidak perlu menzahirkan diri mereka yang sebenar. Begitu pula tidak perlu mereka mengisytiharkan penolakan mereka terhadap Islam itu sendiri.

Mereka cukup arif dan mengerti tentang sensitiviti setempat yang ada. Justeru, pelbagai strategi dan langkah penuh bijaksana disusun bagi mencapai hasrat dan matlamat yang mereka perjuangkan.

Status perundangan sedia ada perlu mereka pertahan. Aspirasi memperkasa perundangan Islam perlu dimatikan atau dimandul agar pertumbuhannya terencat dan terbantut.

Cukup kita menilai apa yang pernah disebut oleh Mahkamah Agong dalam suatu penghakiman pada tahun 1988, nilai moral atau Islam dalam perundangan bukanlah tugas mahkamah untuk ia diserlahkan. Ia adalah suatu tugas para aktivis, ahli-ahli politik dan dewan-dewan perundangan bagi memastikan asas perundangan atau disebut “Grundnorm” bertepatan dengan kehendak Islam.

Sebagai sebuah sistem perundangan yang melahirkan pelbagai statut melalui dewan-dewan perundangan, apa jua yang diperundangkan bersifat “creatures of the statut”. Dalam bahasa mudah, tiada harus dimasukkan sebarang aspirasi dalam perundangan selain apa yang termaktub secara nyata.

Dalam melaksanakan penerapan perundangan Islam yang sifatnya meliputi kerohanian selain secara zahir, secara istiqamah nilai-nilai bertepatan dengan Islam wajib diadakan dalam perundangan secara berterusan.

Usaha dalam memperkasakan perundangan Islam melalui RUU 355 dilihat sebagai langkah terkehadapan ke arah meletakkan Islam sebagai sistem yang berdaulat dalam perundangan negara. Inilah yang amat ditentang dan tidak dapat diterima oleh golongan anti Islam yang mempertahankan sistem perundangan yang tidak berasaskan nilai-nilai moral dan kerohanian.

Sebagaimana yang telah diperingatkan, mereka cukup arif perihal situasi dan keadaan sensitiviti setempat. Justeru pertentangan mereka cukup licik dan teratur. Mereka akan melakukan apa sahaja termasuklah mempamerkan wajah-wajah Islam bagi menyulit dan menghalang usaha pemerkasaan perundangan Islam.

Justeru jangan kita hairan dan pelik istilah-istilah seumpama Maqasid Syariah dan sepadan dengannya digunakan bagi menjustifikasikan sikap mereka dalam membangkang apa saja usaha sebagaimana dapat kita lihat dalam RUU 355.

Terus tekad dengan kepimpinan yang ada.

Saya cukup berkeyakinan betapa Yang Berhormat Tuan Guru Presiden cukup sedar rintangan dan cabaran yang kita depani. Yang perlu dilakukan setiap pendokong PAS adalah terus istiqamah dan menyokong dengan apa cara sekali pun dalam usaha yang sedang dilaksanakan.

Dalam pada itu, tajamkanlah pemerhatian kita dengan setiap perkembangan dengan ilmu dan kefahaman yang sebenar. Cabaran media terbuka pada hari ini sangat menuntut kewaspadaan para pendokong Islam bagi memilih maklumat yang tepat dan sebenar.

Di mana saja posisi kita berada, perkemaskanlah setiap usaha agar gahnya langkah tidak tercalar dengan kesilapan-kesilapan kecil dari dalam. Paling utama, teruslah perkuat pergantungan dan munajat kita kepada Allah SWT. Sesungguhnya tiadalah kekuatan kita melainkan apa yang Allah SWT kurniakan dan izinkan.

Memorandum Cadangan Meminda Akta Membaharui Undang-Undang (Perkahwinan Dan Perceraian) 1976 (#AKTA164) 

MEMORANDUM 


SEKRETARIAT UMAT KEPADA Y.A.B. PERDANA MENTERI MALAYSIA & PEGUAM NEGARA MALAYSIA 

BERKENAAN CADANGAN MEMINDA AKTA MEMBAHARUI UNDANG-UNDANG (PERKAHWINAN DAN PERCERAIAN) 1976 (AKTA 164) 

Kami, SEKRETARIAT UMMAT, mewakili lebih 500 NGO Islam dan Melayu, bersama konsesus SELURUH ahli dan ahli bersekutu, ingin membawa kepada perhatian Y.A.B. Perdana Menteri berkenaan tuntutan pihak kami berkenaan cadangan Pindaan Akta 164 di Parlimen. 


MENGINGATKAN kepada Y.A.B. Perdana Menteri berkenaan Sumpah Ke Bawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang Di Pertuan Agong yang diwajibkan untuk memelihara kepentingan Islam pada semua masa sebagaimana yang termaktub di dalam Perlembagaan. Sebagai pihak yang menjalankan amanah pemerintahan YDP Agong ini, kerajaan harus bertindak di dalam kerangka menghormati kesucian sumpah ini. 

MENEGASKAN bahawa cadangan meminda Akta membaharui Undang-Undang (Perkahwinan dan Perceraian) 1976 (Akta 164) adalah bertentangan dengan Perlembagaan Persekutuan. 

MENEGASKAN bahawa isu agama anak bawah lapan belas tahun mempunyai perbezaan dengan isu hak penjagaan anak. 

MENUNTUT Kerajaan mengambilkira Ordinan Undang-Undang Pentadbiran Agama Islam (Selangor) 1952, apabila seseorang itu memeluk agama Islam, anak mualaf tersebut secara automatik akan beragama Islam. Namun kini, undang-undang baru ingin diperkenalkan yang memerlukan kedua-dua ibu bapa bersetuju. 



MENUNTUT Kerajaan mengambil kira ketetapan Persidangan Penyelarasan Undang- Undang Syarak/Sivil Kali ke 19 yang sebulat suara memutuskan antara lain mana- mana pasangan bukan Islam yang memeluk Islam dan mempunyai anak-anak di bawah umur lapan belas tahun hendaklah menjadi orang Islam selaras dengan hukum syarak. 

MENGINGATKAN kepada pihak kerajaan bahawa cadangan pindaan tersebut akan memberi kesan kepada kes-kes berlalu yang masih belum diputuskan. Terdapat pelbagai kes yang telah diputuskan mahkamah dan kesan pindaan ini hanya akan memperlekehkan keputusan yang telah dibuat. 

MENGINGATKAN Pindaan yang disyorkan ini juga tidak mengambil kira ketetapan mesyuarat olih alim ulama seluruh negara. Pendekatan diambil ini untuk meminda undang-undang akan menjadikan sesuatu perkara yang sah menjadi tidak sah. 

SEKRETARIAT UMMAT, akan sentiasa memantau dan menggerakkan usaha bagi memastikan semua bentuk agenda yang melibatkan kepentingan Islam di dalam Perlembagaan akan terus dipelihara dan dihormati oleh semua pihak. 

Aminuddin Bin Yahaya Pengerusi 
SEKRETARIAT UMMAT

Mohon Bantuan Sumbangan Untuk Keluarga Siti Noor Aishah


Siti Noor Aishah, pelajar Sarjana Usuluddin (Akidah) Universiti Malaya, yang ditahan SOSMA pada 22 Mac 2016, kerana dituduh memiliki 12 buku yang diharamkan, telah diperintahkan untuk dibebaskan oleh Pesuruhjaya Kehakiman, Datuk Mohamad Shariff Abu Samah, pada 29 September tahun yang sama.

Hal ini kerana pihak pendakwaan gagal membuktikan kes prima facie di akhir kes pendakwaan. Tiada bukti buku yang dimiliki diharamkan pihak kerajaan.

Siti Noor Aishah kemudiannya ditahan dibawah Akta Pencegahan Jenayah (POCA) pada hari yang sama beliau dibebaskan.

Selepas hampir 2 bulan ditahan tanpa bicara dibawah POCA (tidak termasuk 7 bulan penahanan bawah SOSMA), Siti Noor Aishah dibebaskan dari tahanan pada pagi 26 November 2016.

Namun beliau dipakaikan dengan alat peranti pemantauan eletronik (EMD) dan diarahkan untuk melapor diri ke Bukit Aman setiap hari Jumaat selama 8 minggu. 

Beliau kemudiannya diarahkan untuk ditahan di mukimnya di Terengganu dan dipakaikan EMD selama 2 tahun, dan perlu melaporkan diri di IPD Dungun setiap minggu.

27 Mac 2017, Siti Noor Aishah ditahan semula dibawah SOSMA, selepas pendakwaraya membuat permohonan keatas keputusan Mahkamah Tinggi yang membebaskan Siti Noor Aishah.

BANTUAN BUAT KELUARGA

Keluarga Siti Noor Aishah, merupakan sebuah keluarga miskin dari Dungun, Terengganu. Beliau terpaksa mengeluarkan wang untuk urusan pergi balik ke Mahkamah di Kuala Lumpur. Bayaran peguam pula, dibantu oleh orang kampung yang prihatin.

Siti Noor Aishah, hampir sahaja memilih untuk mengaku bersalah kerana tidak sanggup melihat keluarga bersusah payah.

Mewakili SUARAM, dan masyarakat sivil keseluruhannya, kami memohon sedikit sumbangan yang boleh disalurkan terus kepada keluarga. Maklumat akaun peribadi keluarga seperti berikut:

Bank: Bank Simpanan Nasional
No Akaun: 1100441000154606
Nama Pemegang Akaun: Atam bin Jusof (Ayah Siti Noor Aishah)

Sebarang pertanyaan, mohon berhubung dengan Penyelaras SUARAM, Amir Abd Hadi ditalian 012-3744647.

Terima kasih

Baru Bian Tiru Bani Israel Cara Tafsir Perlembagaan


Pengerusi PKR Sarawak, Baru Bian menegaskan bahawa mereka tetap akan menentang RUU355 walaupun sekiranya Sabah dan Sarawak dikecualikan daripada akta ini.

Dia tak faham ke, RUU355 ni hanya beri keharusan kepada negeri untuk pertingkatkan jumlah hukuman, bukan mewajibkan negeri ikut semua hukuman maksima. Tak timbul pun soal berkecuali atau tidak. Kalau Sabah Sarawak tak mahu, mereka boleh kekalkan enakmen sedia walaupun RUU355 diluluskan. Bukan setakat Sarawak, kalau Pulau Pinang sendiri tak mahu pinda enakmen mereka, tak jadi masalah dari sudut undang-undang!

Antara perkara menarik yang dinyatakan beliau, penentangan dibuat kerana berpegang kepada perkara 8 Perlembagaan Persekutan yang menyebut:

(1)Semua orang adalah sama rata di sisi undang-undang dan berhak mendapat perlindungan yang sama rata di sisi undang-undang.

(2)Kecuali sebagaimana yang dibenarkan dengan nyata oleh Perlembagaan ini, tidak boleh ada diskriminasi terhadap warganegara semata-mata atas alasan agama, ras, keturunan, tempat lahir atau jantina dalam mana-mana undang-undang

Beliau menyatakan RUU355 adalah satu bentuk diskriminasi dan pelanggaran hak kesamarataan di sisi undang-undang. Justeru ia bercanggah dengan peruntukan perlembagaan.

Bagaimana beliau sampai boleh tafsir sedemikian? Tidakkah beliau baca klausa yang jelas menyebut "Kecuali sebagaimana yang dibenarkan dengan nyata oleh Perlembagaan ini"? Klausa ini telah menafikan semua asas penentangan beliau.

Perkara 3 Perlembagaan Persekutuan secara jelas menyebut bahawa Islam adalah agama rasmi bagi persekutuan ini. Justeru segala urusan undang-undang yang melibatkan Islam adalah dalam terma "yang dibenarkan dengan nyata oleh undang-undang". Maka ia menjadi hak orang Islam yang mesti dihormati semua rakyat Malaysia, selagi tidak bercanggah dengan undang-undang lain.

Senarai kedua Jadual Kesembilan Perlembagaan juga memperuntukkan bahawa agama merupakan bidang kuasa negeri-negeri. Walaubagaimanapun dalam menjalankan prosedur kehakiman syariah, mereka perlukan punca kuasa dari Perlembagaan. Maka akta 355 adalah antara punca kuasa mahkamah syariah negeri-negeri. Lalu apa benda yang bercanggah dengan perlembagaan?

#RUU355 juga dibawa mengikut prosedur undang-undang yang sepatutnya. Mahkamah telah memutuskan sebagaimana yang dinyatakan oleh peguam yang mewakili Presiden PAS, Dato Takiyudin Hasan dalam isu saman RUU355 oleh 4 individu sebelum ini, bahawa usul persendirian RUU355 tidak bercanggah dengan undang-undang. Saman tersebut telah ditolak oleh mahkamah dan RUU355 dibenarkan untuk dibawa ke parlimen.

Walaupun Perlembagaan Persekutuan masih banyak cacat-celanya sebagaimana adat semua makhluk, tapi sangat tidak disangka, ada juga yang berhelah dalam menafsirkan perlembagaan. Di ambil sebahagian dan dibuang sebahagian. Sama macam perangai Bani Israel dalam menafsirkan al-Quran.


(Alang Ibn Shukrimun)

Telegram:
http://tinyurl.com/AlangIbnShukrimun

Facebook:
https://m.facebook.com/alangshukrimun/

Polis siasat majlis istiadat anugerah gelaran 'Datuan'


KOTA BHARU: Polis akan mengambil keterangan beberapa individu daripada sebuah pertubuhan berkaitan majlis istiadat penganugerahan gelaran 'Datuan' di sebuah hotel di sini, 3 Mac lepas.

Ketua Polis Kelantan, Datuk Dr Ab Rahman Ismail berkata pihaknya membuka kertas siasatan berkaitan kes berkenaan selepas menerima tiga laporan polis pada 26 Mac lepas mendakwa wujud perkara mencurigakan ketika majlis penganugerahan tersebut.

Beliau berkata, pertubuhan tersebut mengadakan majlis istiadat anugerah diraja dengan memakai dan mengenakan pakaian tertentu yang dikhuatiri seperti memberi darjah kebesaran palsu kepada penerima.
"Selain itu, maklumat mengatakan penganjur majlis anugerah itu juga mengenakan bayaran tertentu kepada penerima dan ia dikhuatiri akan mencemar institusi diraja Kelantan.

"Polis akan menubuhkan jawatankuasa di peringkat kontinjen bagi menilai dan menyiasat laporan berkenaan. Kita akan melihat beberapa aspek seperti gambar dan merakam percakapan beberapa individu dalam tempoh terdekat," katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kelantan di sini, hari ini.

Ab Rahman berkata polis juga akan merakam percakapan beberapa saksi utama yang dipercayai boleh membantu siasatan termasuk yang dipertua pertubuhan terbabit serta mereka yang menganjur dan menjayakan majlis.

Selain itu, polis juga akan menyiasat kesahihan pertubuhan berkenaan dan berapa lama ia telah aktif serta jumlah keanggotaan pertubuhan tersebut.

Katanya, siasatan juga akan melihat sama ada mereka memakai lambang seperti dalam laporan polis yang dibuat kerana ia adalah bertentangan dengan Enakmen A54 Enakmen Undang-Undang dan Nama-Nama (Mencegah dari Salah Guna) (Pindaan 2015), jika sabit kesalahan boleh didenda RM50,000 atau penjara 10 tahun.

"Kami akan mendapatkan khidmat nasihat daripada pihak protokol dan adat istiadat negeri bagi mengesan adakah wujud kesalahan dalam penganjuran majlis terbabit," katanya.

-- BERNAMA

Perlu Segera Tindakan Pro-Aktif  Elak Kemalangan Monorail Berulang

Hak-hak seorang OKU yang dijamin dalam Artikel 9 CRPD, penguatkuasaan S27 Akta 2008 dan Teras Pertama dalam Pelan Tindakan seharusnya disedari oleh pihak-pihak berwajib dalam memastikan akses kepada sistem pengangkutan awam benar-benar selamat dan sesuai untuk setiap OKU penglihatan khususnya dan seluruh OKU umumnya.Kami menggesa pihak Kementerian Pengangkutan bersama Suruhanjaya Pengangkutan Darat dan Prasarana Malaysia Berhad lebih prihatin dalam memastikan kemalangan seumpama ini tidak berulang - Mohammad Faizal Che Yusof, Pengerusi Sekretariat Pertubuhan-pertubuhan Bukan Kerajaan Bagi OKU Penglihatan Malaysia

Pihak sekretariat yang mewakili pertubuhan-pertubuhan utama bukan kerajaan bagi OKU penglihatan meluahkan rasa sangat dukacita terhadap kemalangan yang telah menimpa seorang OKU penglihatan di Stesen Monorail KL Central pada 28 Mac 2017, semalam.


Peristiwa yang dialami oleh saudara Goh Harp Boon merupakan kes yang kesepuluh seumpamanya yang menimpa OKU penglihatan di stesen-stesen Monorail.

Dengan komitmen pihak Negara dalam Convention On The Rights Of Persons With Disabilities “CRPD”, pewartaan Akta Orang Kurang Upaya 2008 “Akta 2008” dan perlancaran Pelan Tindakan Kebangsaan Orang Kurang Upaya 2016-2022 “Pelan Tindakan”, kejadian seumpama ini seharusnya tidaklagi berlaku malangnya ia terus berulang.


Hak-hak seorang OKU yang dijamin dalam Artikel 9 CRPD, penguatkuasaan S27 Akta 2008 dan Teras Pertama dalam Pelan Tindakan seharusnya disedari oleh pihak-pihak berwajib dalam memastikan akses kepada sistem pengangkutan awam benar-benar selamat dan sesuai untuk setiap OKU penglihatan khususnya dan seluruh OKU umumnya.

Kami menggesa pihak Kementerian Pengangkutan bersama Suruhanjaya Pengangkutan Darat dan Prasarana Malaysia Berhad lebih prihatin dalam memastikan kemalangan seumpama ini tidak berulang.

Kemudahan pengangkutan awam seharusnya diadakan dengan tahap keselamatan yang terbaik untuk semua pengguna temrasuklah pengguna OKU penglihatan khususnya dan OKU keseluruhannya.

Kami juga merakamkan setinggi terima kasih kepada keprihatinan pihak Yang Berhormat Menteri Datuk Rohani Abdul Karim yang menziarahi mangsa kemalangan di hospital tengahhari tadi.

Sekian untuk sebaran.

Mohammad Faizal Che Yusof
Pengerusi Sekretariat Pertubuhan-pertubuhan Bukan Kerajaan Bagi OKU Penglihatan Malaysia
0129376539

Che Abdullah nafi laporan Utusan


Masa depan PKR di Kelantan kita belum tahu lagi. Saya dah baca (berita berkenaan) tapi berita itu tak betul, ditulis dalam konteks yang salah.Saya ditanya (wartawan), berapa kawasan yang buat usul putuskan hubungan (dengan PKR). Jadi saya kata, kita (PAS negeri) terima sahaja usul dan belum kira berapa (usul) yang minta kaji hubungan tahaluf siyasi. - YB Che Abdullah


Setiausaha Perhubungan PAS Kelantan menafikan beliau memberi gambaran kepada Utusan Malaysia bahawa parti itu akan mengambil semula kerusi parlimen dan dewan undangan negeri (DUN) yang ‘dipinjamkan' kepada PKR pada pilihan raya umum ke-13 (PRU13).

Datuk Che Abdullah Mat Nawi berkata kenyataan yang dibuatnya telah diambil dari konteks salah.
Malah, katanya, beliau sendiri tidak tahu mengenai kedudukan PKR di Kelantan sehingga ia diputuskan oleh Jawatankuasa Pusat PAS serta dibahaskan dalam muktamar yang akan berlangsung di Kedah hujung bulan depan.


“Masa depan PKR di Kelantan kita belum tahu lagi. Saya dah baca (berita berkenaan) tapi berita itu tak betul, ditulis dalam konteks yang salah.

“Saya ditanya (wartawan), berapa kawasan yang buat usul putuskan hubungan (dengan PKR). Jadi saya kata, kita (PAS negeri) terima sahaja usul dan belum kira berapa (usul) yang minta kaji hubungan tahaluf siyasi.

“Lalu dia tanya, apakah PAS Kelantan akan buat keputusan untuk memutuskan hubungan dengan PKR? Saya kata (persoalan sama ada hubungan diteruskan atau tidak) tertakluk dengan keputusan di peringkat pusat,” katanya kepada Malaysiakini.

Utusan Malaysia hari ini ini melaporkan PAS Kelantan akan mengambil kembali kerusi parlimen dan DUN yang diistilahkannya sebagai ‘dipinjamkan' kepada PKR di Kelantan pada PRU13 selepas mengambil kira keadaan politik semasa membabitkan hubungan kedua-dua parti yang semakin retak.


Akhbar itu juga memetik Che Abdullah sebagai berkata, perkara itu berlaku kerana PKR sering berada sepentas dengan pemimpin Pakatan Harapan (HARAPAN) yang dianggotai DAP untuk menyerang kerajaan negeri Kelantan.

Kata Che Abdullah, beliau turut ditanya wartawan akhbar berkenaan sama ada PAS akan memutuskan hubungan dengan PKR sekiranya dipersetujui dalam muktamar nanti dan mengambil kembali kerusi PKR di negeri itu.

“Lalu dia (wartawan) tanya, kalau pusat dah buat keputusan putuskan tahaluf siyasi dengan PKR, adakah PAS akan ambil kerusi itu, dan saya kata, mestilah. Kita akan ambil tindakan selaras dengan keputusan yang dibuat diperingkat pusat.

“Soalan dia mari (datang) awal (dan bersifat spekulasi) sama ada PAS dan PKR akan berpecah. Kalau pecah, memanglah PAS akan bertanding di kerusi PKR bertanding. Saya dah sebut dari awal, belum tahu lagi (keputusan sebenar sebab) PAS pusat yang akan buat keputusan,” katanya.

Mengulas lanjut, beliau yang juga Exco Pertanian, Industri Asas Tani, Bioteknologi dan Teknologi Hijau Kelantan berkata PAS akan terus menjalinkan kerjasama dengan PKR sehingga ia diputuskan dalam muktamar tahunan PAS atau keputusan di peringkat Pusat.


“Sekarang belum ada keputusan. Dalam muktamar akan bincang panjang lebar tapi belum ada keputusan. Kita masih teruskan hubungan dengan PKR sehingga ada keputusan lain,” katanya.
Kelantan memiliki 14 kerusi parlimen dan pada PRU13, PKR bertanding di tiga tempat iaitu Tanah Merah, Ketereh dan Machang, manakala di peringkat DUN, parti itu diberi ruang di Pengkalan Kubor, Kuala Balah, Guchil dan Nenggiri.

Bagaimanapun hanya satu kerusi yang dimenangi oleh PKR iaitu DUN Guchil.

Sumber: http://www.malaysiakini.com/news/377401


© all rights reserved
made with by templateszoo