NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Soal Jawab RUU355 (SIRI 4): Masa Akta 355 Diperkenalkan Pada Tahun 1965 Dan Dipinda Pada Tahun 1984, Tidak Ada Pun Kontroversi, Tetapi Kenapa Sekarang Timbul Macam-Macam Kecoh Hingga Perlu Ada Demonstrasi Dan Ceramah Sana-Sini?

Perhimpunan dapat memberikan impak yang berbeza berbanding program ceramah atau forum. Perhimpunan juga adalah satu bentuk pendidikan bagi masyarakat yang selama ini kurang peka dengan perkembangan semasa. Secara tidak langsung perhimpunan juga dapat menunjukkan suara umat Islam yang mahukan hak dan kebebasan mereka beramal dengan agama Islam dapat dijamin dengan sebaik-baiknya. 


Soal Jawab RUU355 (Siri 4): Masa Akta 355 diperkenalkan pada tahun 1965 dan dipinda pada tahun 1984, tidak ada pun kontroversi, tetapi kenapa sekarang timbul macam-macam kecoh hingga perlu ada demonstrasi dan ceramah sana-sini?

Jawapan:

1. Pindaan Akta 355 jadi kontroversi kerana kedudukan Mahkamah Syariah sekarang tidak sama dengan keadaan tahun 1965 dan 1984. Ada perubahan besar pada mahkamah Syariah bermula tahun 1988. 

2. Sebelum tahun 1988, bidang kuasa Mahkamah Syariah boleh diganggu oleh mahkamah sivil seperti Mahkamah Tinggi. Sesetengah keputusan Mahkamah Syariah dibatalkan oleh mahkamah sivil. Maka ada 1988 diperkenalkan pindaan kepada Perkara 121 Perlembagaan Persekutuan bagi mewujudkan Perkara 121(1A) yang menetapkan bahawa Mahkamah Tinggi tidak boleh campur tangan dalam perkara yang di bawah bidang kuasa Mahkamah Syariah. 

3. Kesannya amat positif dari sudut mengangkat kedudukan Mahkamah Syariah dan mengurangkan campurtangan mahkamah sivil dalam perkara di bawah bidang kuasa Mahkamah Syariah. Namun ia membawa kesan sampingan yang menimbulkan rasa tidak puas hati warga bukan Islam.

4. Kesan sampingan ini melibatkan konflik bidang kuasa antara mahkamah Syariah dan mahkamah sivil. Terdapat dua kategori utama kes yang membabitkan konflik bidangkuasa iaitu: (1) kes berkaitan penentuan status agama atau kes murtad; (2) kes penentuan agama serta hak penjagaan anak bila salah seorang pasangan memeluk Islam.

5. Akibat konflik ini ialah rasa prejudis sebahagian masyarakat bukan Islam terhadap mahkamah Syariah.

6. Rasa tidak senang ini dihangatkan lagi dengan agenda jahat sesetengah pihak yang cuba untuk menjadikan isu ini sebagai umpan sokongan politik.

7. Parti-parti tertentu seperti DAP cuba untuk menunjukkan bahawa merekalah juara membela masyarakat bukan Islam. Jadi apabila ada usaha untuk menaikkan bidang kuasa mahkamah Syariah, mereka bersungguh-sungguh menjadikannya sebagai isu politik, walau pun pindaan Akta 355 misalnya tidak ada kaitan langsung dengan konflik bidang kuasa tadi.

8. Keadaan ini diburukkan lagi dengan kewujudan gerakan liberal di kalangan orang Islam yang konsisten menentang sebarang usaha untuk memartabatkan Islam. Bagi mereka agama adalah urusan peribadi dan pemerintah tidak boleh menguatkuasakan urusan yang dikira sebagai kebebasan peribadi. Mereka bercakap atas hujah demokrasi, kebebasan, hak asasi dan hak wanita. 

9. Pemikiran aliran liberal ini meresap dalam fikiran orang Islam tanpa disedari. Bahkan ada kelompok yang dahulunya mempunyai semangat Islam, akhirnya terpesona dengan hujah liberal sehingga turut menari rentak kelompok liberal untuk membantah usaha menegakkan Syariah. 

10. Selain daripada faktor di atas, kontroversi kepada pindaan Akta 355 sekarang juga berlaku kerana timbul salah faham bersabit kaitan pindaan ini dengan perlaksanaan Enakmen Kanun Jenayah Syariah II Kelantan.  Undang-undang jenayah Syariah atau disebut sebagai hudud menjadi satu lagi umpan politik parti-parti tertentu untuk menimbulkan ketakutan masyarakat bukan Islam terhadap Islam. 

11. Atas sebab-sebab yang dinyatakan di atas, maka tidak lah pelik kenapa pindaan yang dicadangkan sekarang ini berbeza dengan situasi pada tahun 1965 dan 1984.  Oleh yang demikian, usaha penerangan, pendidikan dan perbincangan amat penting bagi menjayakan cadangan pindaan ini. Salah faham dan kekeliruan perlu diselesaikan. Peranan umat Islam adalah untuk saling membantu memberikan sokongan dan penjelasan bukannya menambahkan lagi kekeliruan.

12. Usaha pendidikan dan penerangan ini termasuklah dengan mengadakan perhimpunan aman. Perhimpunan dapat memberikan impak yang berbeza berbanding program ceramah atau forum. Perhimpunan juga adalah satu bentuk pendidikan bagi masyarakat yang selama ini kurang peka dengan perkembangan semasa. Secara tidak langsung perhimpunan juga dapat menunjukkan suara umat Islam yang mahukan hak dan kebebasan mereka beramal dengan agama Islam dapat dijamin dengan sebaik-baiknya. 

Dr Fathi Yusof
Gombak, Selangor
© all rights reserved
made with by templateszoo