NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

RUU 355: DAP perlu ikut jejak PKR

Dari dahulu lagi kita mahukan supaya jalan untuk membentangkan RUU 355 tidak dihalang sebab ia dilakukan menerusi proses demokrasi.

Oleh Wan Anis Ilyani Wan Mohammad Azhar

SHAH ALAM: DAP digesa mengambil sikap yang serupa dengan PKR yang bersetuju supaya Rang Undang-undang Persendirian bagi meminda Akta Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) 1965 atau Akta 355 dibentang dan dibahas di Parlimen.

Ketua Pemuda PAS Kelantan, Ahmad Fadhli Shaari juga meminta DAP tidak berterusan menolak hasrat PAS itu, sebaliknya mendengar dan meneliti hujah rang undang-undang (RUU) berkenaan yang akan dibentangkan kelak.

"Jika itulah sikap PKR yang terkini, maka kita sambut baik dan kalau boleh mahu DAP pun bersikap sedemikian.

"Kita mahu DAP menghormati hak PAS yang berada dalam tunas demokrasi. RUU ini dibentang mengikut proses demokrasi berpelembagaan. Jadi saya seru mereka tidak meneruskan penentangan mereka," katanya kepada Antarapos, hari ini.

Fadhli berkata demikian mengulas perdirian PKR yang bersetuju RUU 355 itu dibentang dan dibahaskan di Parlimen dalam sesi akan datang.

Presiden PKR, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail berkata partinya menghormati hak Datuk Seri Abdul Hadi Awang sebagai ahli parlimen untuk mengemukakan rang undang-undang berkenaan.

Namun dalam masa sama, Wan Azizah mengakui PKR akan mengekalkan pendiriannya mengenai cara-cara untuk memartabatkan mahkamah syariah, dan akan menunggu penjelasan Hadi ketika pembentangan rang undang-undang sebelum mencapai pendirian muktamad mengenai perkara itu.

Mengulas lebih lanjut, Fadhli berkata kesemua pihak, terutamanya parti-parti pembangkang yang menolak cadangan pindaan RUU 355 sedari awal lagi perlu membenarkan PAS membentangkan kandungan disebalik cadangan itu.

"Dari dahulu lagi kita mahukan supaya jalan untuk membentangkan RUU 355 tidak dihalang sebab ia dilakukan menerusi proses demokrasi.

"Kita pun tak pernah memaksa supaya parti-parti yang dahulunya di dalam Pakatan Rakyat (PR) menerima secara total RUU 355 ini kerana itu merupakan hak PAS sebagai parti yang mengamalkan proses demokrasi," jelas Fadhli.

Rang Undang-Undang Persendirian bagi meminda Akta Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) 1965 atau Akta 355 dibentang oleh Hadi pada 26 Mei tahun lalu.

RUU 355 bercadang meminda bidang kuasa mahkamah syariah untuk mengeluarkan hukuman bagi kesalahan takzir yang kini masih terhad kepada maksimum tiga tahun penjara atau denda RM5,000, atau enam kali sebatan.

Akta itu kali terakhir dipinda pada 1984, apabila hukuman dinaikkan daripada penjara enam bulan dan denda RM1,000.--Antarapos
© all rights reserved
made with by templateszoo