Header Ads

Penganalisis: Himpunan 355(#H355) bukti kekuatan PAS


"DAP dan Gerakan perlu memikirkan semula bantahan mereka terhadap RUU itu kerana ia boleh menyebabkan umat Islam konservatif berfikir mereka terlalu degil untuk menerima pindaan itu dan tidak akan menerima pakai hudud. PAS juga tidak patut dianggap sebagai parti lemah kerana melalui perhimpunan ini, ia membuktikan sebaliknya" - Dr Awang Azman Pawi

PETALING JAYA: Kehadiran ribuan peserta Himpunan 355(#H355) membanjiri Padang Merbok dan ratusan peserta di himpunan balas anjuran NGO semalam menunjukkan kekuatan dan kemampuan PAS, kata 2 penganalisis politik.

Himpunan 355(#H355) dianjurkan PAS untuk mendapat sokongan rakyat terhadap rang undang-undang persendirian bagi meminda Akta Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) 1965 atau RUU 355 yang dibawakan presidennya, Dato' Seri Abdul Hadi Awang untuk memperkasakan Mahkamah Syariah.

RUU itu dibantah ramai yang mendakwa ia adalah jalan belakang untuk PAS melaksanakan hudud pada akhirnya. Bantahan itu diulangi Bebas di himpunan balas yang diadakan serentak dengan Himpunan 355(#H355), petang semalam.

Penganalisis politik dari Universiti Malaya, Dr Awang Azman Pawi percaya Himpunan 355(#H355) mencerminkan aspirasi rakyat dan bukti kekuatan PAS.

“Kehadiran itu menunjukkan sokongan akar umbi terhadap pindaan yang dicadangkan itu, terutamanya penyokong PAS yang terdiri daripada orang Melayu Islam yang ramai jumlahnya,” katanya.

Beliau berkata, ia juga jelas yang NGO Islam menunjukkan diri mereka sebenar pada himpunan itu.
“Terdapat sokongan daripada NGO Islam yang, selama ini, memilih mendiamkan diri tetapi kini mengambil keputusan menunjukkan sokongan terbuka terhadap pindaan itu.”

Awang Azman turut mengulas kehadiran Dewan Himpunan Penyokong PAS Pusat (DHPP) dan beberapa kumpulan bukan Islam di perhimpunan itu.

“Ini adalah penting kerana ia menunjukkan di sebalik idea yang mengatakan orang bukan Islam tidak menyokong pindaan dicadangkan itu, ada juga orang bukan Islam yang menyokong pindaan itu dan yakin ia tidak akan mengancam penganut agama lain.”

Beliau mendakwa kehadiran ramai penyokong yang PAS berjaya kumpulkan untuk himpunannya mempunyai beberapa implikasi.

“Pertama, PAS boleh menggunakan dengan baik pindaan dicadangkan itu sebagai agenda politik utamanya untuk menarik penyokong akar umbi.

“Kedua, parti seperti DAP dan Gerakan perlu memikirkan semula bantahan mereka terhadap RUU itu kerana ia boleh menyebabkan umat Islam konservatif berfikir mereka terlalu degil untuk menerima pindaan itu dan tidak akan menerima pakai hudud.

“PAS juga tidak patut dianggap sebagai parti lemah kerana melalui perhimpunan ini, ia membuktikan sebaliknya.”

Profesor Madya Dr Faisal S Hazis dari Universiti Kebangsaan Malaysia mengaitkan kehadiran besar untuk himpunan di Padang Merbok menunjukkan kemampuan PAS.

“Ia tidak semestinya menggambarkan sokongan untuk pindaan dicadangkan itu. Saya rasa ia (jumlah kehadiran besar) sebahagian besar disebabkan PAS adalah penganjur perhimpunan itu.

“PAS mempunyai jentera dan sokongan ahlinya, manakala Bebas hanya sebuah NGO, jadi saya yakin PAS mempunyai kapasiti lebih baik untuk menganjurkan perhimpunan besar berbanding Bebas,” katanya kepada FMT.

Beliau mengulas kehadiran ratusan peserta dalam himpunan balas anjuran NGO dikenali sebagai Bebas yang turut dihadiri ahli baru DAP, Datuk Zaid Ibrahim.

“Saya fikir ia langkah strategik kerana pengundi – khasnya orang Melayu luar bandar – masih mempunyai persepsi negatif terhadap DAP dan jika mereka menunjukkan kebencian terhadap RUU 355 secara terbuka, ia akan terus mengekalkan tanggapan itu.

“Mereka membuat pendirian jelas dan menentang cadangan pindaan itu supaya mereka tidak perlu hadir di perhimpunan tersebut. Begitu juga dengan Barisan Nasional (BN) Sarawak dan MCA yang menyatakan akan mengundi menentang RUU Hadi.

“Akhirnya, mereka juga mahu mengelak daripada dilabelkan sebagai anti-Islam atau anti-Melayu.”
Hanya Zaid dan Timbalan Ketua Pemuda Gerakan, Andy Yong berucap pada himpunan balas di Petaling Jaya itu, semalam.

Ribuan peserta menghadiri Himpunan 355(#H355) di Padang Merbok bagi menunjukkan sokongan terhadap RUU Hadi itu, manakala kurang 200 orang menyertai “Himpunan Rakyat Tolak Usul Hadi” di Taman Jaya, semalam.

Kedua-dua perhimpunan diadakan pada masa sama, tetapi himpunan di Petaling Jaya tamat pada jam 6 petang.