NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Pemuda UMNO Tak Halang Ahli Sertai Himpunan 355

Gambar: MalaysiaGazeette
Pergerakan Pemuda UMNO tidak akan menghalang mana-mana ahlinya daripada menyertai Himpunan RUU 355 
KUALA LUMPUR –  Pergerakan Pemuda UMNO tidak akan menghalang mana-mana ahlinya daripada menyertai Himpunan RUU 355 yang dianjurkan Pas Sabtu ini dan menyifatkan penyertaan mereka atas kapasiti peribadi.
Pendirian tersebut dinyatakan Naib Ketua Pemuda UMNO, Senator Khairul Azwan Harun yang menegaskan tidak ada bantahan atau sekatan untuk mana-mana ahli menyatakan sokongan mereka dengan turut serta dalam himpunan nanti.
“Berhubung Himpunan RUU 355 kita tiada halangan kiranya ahli pemuda nak bersama dalam himpunan itu.
“Kita tiada halangan terserah kehendak masing-masing, tiada halangan. Tidak ada bantahan dan halangan untuk sesiapa pergi nanti,” kata Khairul Azwan semasa ditemui selepas Mesyuarat Exco Pemuda di bangunan PWTC malam ini.
Pas akan mengadakan satu himpunan hujung minggu ini bagi mendapatkan sokongan ke atas Rang Undang-Undang Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) (Pindaan) 2016 yang dibawa Presidennya, Datuk Seri Abdul Hadi Awang pada 24 November tahun lepas di Dewan Rakyat.
Terdahulu awal hari ini, pihak polis sudah memberi kelulusan kepada pihak penganjur Himpunan RUU355 untuk mengadakan perhimpunan aman di Padang Merbok bermula 3 petang hingga 12 tengah malam.
Pas menjangka seramai 200,000 orang hadir ke himpunan tersebut yang dijadual bermula pukul 2 petang dan berakhir jam 11 malam.
Sepanjang tempoh itu pelbagai program telah diatur termasuk, menjemput seramai 21 pemidato daripada NGO dan tokoh-tokoh terkemuka tanah air.
Antara penceramah yang disebut Abdul Hadi sendir Mufti Wilayah Persekutuan, Datuk Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri, bekas Presiden Jalur Tiga Malaysia (Jati), Datuk Dr Hasan Ali.
Beliau juga menasihatkan peserta yang hadir supaya berhimpun dengan aman dan membuat beberapa persediaan seperti membawa sejadah dan air untuk berwuduk. – MalaysiaGazette
http://malaysiagazette.com/v2/blog/2017/02/15/pemuda-umno-tak-halang-ahli-sertai-himpunan-ruu355/
© all rights reserved
made with by templateszoo