Header Ads

PAS tak perlu tunggu sebulan - TGHH

Kita sudah buat keputusan, semua parti ada hubungan dengan DAP dan AMANAH, kita tak ada hubungan dengan mereka.


AMPANG: PAS tidak perlu menunggu sebulan untuk menyertai Pakatan Harapan (PH) seperti yang ditawarkan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM).

Presidennya Datuk Seri Abdul Hadi Awang menegaskan PAS kekal dengan dasar untuk tidak bekerjasama dengan parti yang mempunyai hubungan dengan DAP dan Parti Amanah Negara (Amanah).

“Tak perlu tunggu sebulan dengan PPBM. Kita sudah ada dasar. Dasar (kita) tidak kerjasama dengan parti yang ada hubungan dengan DAP dan AMANAH.

“Kita sudah buat keputusan, semua parti ada hubungan dengan DAP dan AMANAH, kita tak ada hubungan dengan mereka.

“Tak perlu tunggu (PPBM). Bila dia dah ada hubungan dengan DAP dan AMANAH, habislah,” katanya kepada pemberita dalam sidang media selepas merasmikan Konvensyen Kebajikan PAS di Auditorium Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ) di Ampang hari ini.

Malah jelasnya, PAS akan membuat keputusan mengenai hubungan dengan PKR dalam Muktamar parti Islam itu pada 28 April ini di Alor Setar.

“PKR pun kita akan buat keputusan masa Muktamar nanti,” katanya.

Namun PAS masih berteka-teki mengenai sama ada akan meneruskan hubungan dengan PKR atau tidak.

Naib Presidennya, Datuk Mohd Amar Nik Abdullah berkata, Pengerusi PPBM, Tun Dr Mahathir Mohamed tidak perlu memberi tempoh kepada PAS kerana pendirian PAS jelas iaitu tidak akan menyertai PH.

Sekiranya PPBM masih lagi berhasrat untuk menjalinkan kerjasama politik, parti baru itu perlu keluar dari PH dan menyertai Gagasan Sejahtera.

“Dia (Tun Mahathir) serang PAS, perlekeh PAS, namun tiba-tiba mengajak PAS…kita sudah buat keputusan kita tidak akan sertai PH kerana ada Amanah dan DAP tetapi boleh kerjasama dengan pembangkang lain.

“Kita tawarkan PPBM dan PKR tinggalkan PH dan masuk bersama kami dalam Gagasan Sejahtera dan ada peluang untuk tumbangkan BN.

“Itu kita tunggu pandangan syura, sebab PAS Pusat belum bincang dan buat keputusan kalau nak kerjasama boleh tapi tidak dalam PH,” katanya ketika diminta mengulas mengenai PPBM yang memberi tempoh sebulan kepada pemimpin PAS untuk memutuskan sama ada mahu menyertai PH ataupun tidak. Pengerusinya, Tun Dr Mahathir Mohamad berkata walaupun perkara itu masih di peringkat perbincangan dengan PAS susulan pertemuan kedua-dua parti pada 1 Februari lepas.

Mohd Amar berkata walaupun sebelum ini PPBM dan PAS sudah mengadakan rundingan, namun belum ada kata putus lantaran Majlis Syura serta Jawatankuasa PAS Pusat belum membuat sebarang keputusan.

Pada masa sama, PAS masih membuka pintu rundingan dengan pembangkang namun tidak melalui PH. ---Astro Awani