NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

PAS pertikai campur tangan kerajaan negeri

PAS mempunyai bukti bahawa kerajaan negeri sengaja mencampuri urusan fatwa apabila mengarahkan semua fatwa yang diputuskan Mesyuarat Jawatankuasa Fatwa Negeri Pulau Pinang perlu melalui Majlis Mesyuarat Kerajaan (MMK) Negeri terlebih dahulu, sebelum dipersembahkan kepada Yang di-Pertuan Agong.


KUALA LUMPUR: Pemuda PAS Pulau Pinang mendakwa wujud campur tangan politik Kerajaan Negeri berhubung pelantikan Mufti dan urusan fatwa di negeri itu.

Ketuanya, Afnan Hamimi Taib Azamudden, berkata campur tangan politik kerajaan negeri dalam urusan fatwa itu pernah dibincangkan dalam Mesyuarat Jawatankuasa Fatwa Negeri Pulau Pinang dan di peringkat dalaman parti berkenaan pada 2015.

Katanya, masalah berkenaan sudah beberapa kali dibangkitkan di peringkat dalaman parti, yang mana mesyuarat itu dipengerusikan sendiri oleh Presiden Parti Amanah Negara, Mohamad Sabu, yang juga bekas Timbalan Presiden PAS dan Pesuruhjaya PAS negeri ketika itu.

“Sebagai seorang bekas Ahli Jawatankuasa Fatwa Negeri Pulau Pinang hingga Disember 2015, saya menegaskan bahawa dakwaan wujudnya campur tangan politik terhadap proses mengeluarkan fatwa adalah benar dan bukan fitnah yang direka.

“Mesyuarat Badan Perhubungan PAS negeri yang membincangkan isu itu pada waktu itu juga turut bersetuju supaya Mohamad Sabu sendiri akan mewakili PAS bagi menyuarakan bantahan melalui saluran dalaman pakatan pembangkang,” katanya dalam satu kenyataan di sini, baru-baru ini.

Afnan Hamimi berkata, PAS negeri mencabar EXCO Agama Pulau Pinang, Datuk Abdul Malik Abul Kassim, mengambil tindakan undang-undang terhadap parti itu jika dakwaan berkenaan adalah tidak benar.

Sementara itu, dalam catatan di Facebook, beliau mendakwa kontrak Mufti Pulau Pinang, Datuk Seri Hassan Ahmad sebelum ini tidak disambung dan dipercayai kerana ada kaitan dengan isu fatwa kalimah Allah di negeri berkenaan.

Katanya, kontrak pelantikan Mufti adalah di bawah bidang kuasa EXCO Agama dan menjadi tanggungjawabnya untuk menjawab isu berkenaan bagi pihak kerajaan negeri dan tidak meletakkan isu fatwa kalimah Allah untuk dijawab.

“Agaknya, mengapa Datuk Seri Hassan bekas Mufti Pulau Pinang tidak disambung kontrak sebagai Mufti sebelum ni? Adakah kerana isu fatwa kalimah Allah di Pulau Pinang? Kontrak mufti di bawah bidang kuasa Exco Agama.

“Khabarnya selepas isu fatwa kalimah Allah tu, Ketua Menteri, Lim Guang Eng minta EXCO Agama keluarkan arahan supaya semua fatwa mesti dimaklumkan terlebih dulu dalam mesyuarat Exco Kerajaan Negeri sebelum dipersembah kepada Yang di-Pertuan Agong.

“Datuk Seri Hassan selaku mufti bantah arahan itu. Hujahnya ialah tiada keperluan dan tidak kena dengan Seksyen 48 Enakmen Pentadbiran Agama Islam (Negeri Pulau Pinang) 2004. Kemudian selepas itu kontrak Hassan tidak disambung dan digantikan dengan Datuk Dr Wan Salim Wan Mohd Noor (mufti sekarang),” katanya.

Sebelum ini, Setiausaha PAS negeri, Iszuree Ibrahim, mendakwa PAS mempunyai bukti bahawa kerajaan negeri sengaja mencampuri urusan fatwa apabila mengarahkan semua fatwa yang diputuskan Mesyuarat Jawatankuasa Fatwa Negeri Pulau Pinang perlu melalui Majlis Mesyuarat Kerajaan (MMK) Negeri terlebih dahulu, sebelum dipersembahkan kepada Yang di-Pertuan Agong.

Katanya, keadaan ini sekali gus melanggar Seksyen 48 Enakmen Pentadbiran Agama Islam Negeri Pulau Pinang 2004, dimana fatwa hendaklah terus disyorkan terus kepada Yang Dipertua Majlis Agama Islam negeri dan tidak perlu melalui MMK. (BHONLINE)
© all rights reserved
made with by templateszoo