Header Ads

Kayuh dari Baling-KL sokong RUU355

Usaha kayuhan ini lebih kepada menyedarkan umat Islam agar turun ke H355 sabtu selain merayu kepada seluruh ahli parlimen Islam untuk menyokong usul Rang Undang-Undang (RUU) 355 apabila dibentang nanti. - Zainon Ismail

BALING - Bekas Ketua Kumpulan Mujahidin Malaysia( KMM) hari ini memulakan kayuhan basikal secara solo dari Masjid Pekan Baling ke Padang Merbok, Kuala Lumpur bagi menyatakan sokongan terhadap Himpunan Raksasa 355, Sabtu ini.

Zainon Ismail, 60, berkata, kayuhan menggunakan mini basikal jenis B 201 dijangka tiba di Padang Merbok pagi hari himpunan.

"Usaha kayuhan ini lebih kepada menyedarkan umat Islam agar turun ke H355 sabtu selain merayu kepada seluruh ahli parlimen Islam untuk menyokong usul Rang Undang-Undang (RUU) 355 apabila dibentang nanti.

"Bermula dari Baling  saya akan melalui jalan Gerik dan mungkin akan bermalam di Masjid Felda Lawin, Gerik Perak malam ini. Pagi esok selepas subuh saya akan bergerak mengikut melalui jalan Pekan Kati ke Sungai Siput dan seterusnya menuju ke Lebuh Raya Jelapang," katanya di Masjid Pekan Baling, hari ini.


Terdahulu, Zainon dengan berbekalkan buah kurma, madu dan air mineral memulakan kayuhan pada jam 10 pagi.

Menurutnya, latihan diambil bagi melaksanakan misi kayuhan ini adalah selama dua bulan dengan mendaki dan menuruni bukit.

"Latihan mendaki dan menuruni bukit Gadong di Kampung Kuala Kedua Mukim Siong selama dua bulan diharap membantu meningkatkan daya ketahanan fizikal.

"Kayuhan saya turut diiringi semangat seruan perang Tabok di zaman Rasulullah, semangat jihad sewaktu berperang di Afhganistan 1988 serta semangat istiqamah ustaz Ibrahim Libya dalam menegakkan syiar Islam," katanya.

Beliau yang bekas tahanan Akta Keselamatan Dalam Negeri( ISA) 2001-2006 berkata, tazkirah penjelasan RUU 355 akan diadakan di setiap masjid disinggahi .

"Sesuai dengan matlamat kayuhan, saya akan adakan tazkirah mengenai kepentingan melaksanakan RUU 355 kepada umat Islam,"katanya

Katanya lagi, dia bersedia melakukan kayuhan dari Kuala Lumpur ke Baling sekiranya pelaksanaan RUU 355 diluluskan dalam Dewan Parlimen.

"Itu adalah cara saya mengucapkan terima kasih kepada ahli parlimen dan kerajaan Malaysia," katanya .
Sementara itu, isteri, Siti Rokiah Hassan, berkata, misi kayuhan suaminya hanya diketahui saat-saat akhir.

"Saya dan keluarga tidak menyangka dia akan melakukan kayuhan secara berseorangan, mohon doa seluruh masyarakat agar perjalanannya pergi dan balik selamat,"katanya.

Bagi pihak berminat untuk mendengar pencerahan RUU 355 di lokasi persinggahan, boleh hubungan Zainon Ismail di talian 013-4405713.
Sumber: http://www.sinarharian.com.my/nasional/kayuh-dari-baling-kl-sokong-ruu355-1.628722