NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Jangan polemikkan isu agama

Kita harus menghormati tuntutan agama lain namun apa yang jadi isu adalah bila orang bukan Islam digunakan oleh orang Islam sendiri yang menentang Rang Undang-undang 355 (RUU355) ini demi kepentingan diri

KUALA LUMPUR - Rakyat di negara ini dinasihatkan agar tidak menjadikan agama sebagai polemik memandangkan ia merupakan isu yang sensitif.



Timbalan Pengerusi 2 Kongres Rakyat, Dr N Balachandran berkata, dalam konteks agama, setiap pihak perlu matang dan tidak mewujudkan kebencian antara agama lain bagi memastikan keharmonian dalam masyarakat.



"Kita harus menghormati tuntutan agama lain namun apa yang jadi isu adalah bila orang bukan Islam digunakan oleh orang Islam sendiri yang menentang Rang Undang-undang 355 (RUU355) ini demi kepentingan diri,"katanya ketika Program Bicara Khas Himpunan RUU355 yang diadakan di Harakah Bazaar, hari ini.



Dalam pada itu, Balachandran yang juga merupakan Ketua Penerangan Dewan Himpunan Penyokong PAS (DHPP) memaklumkan bahawa Islam seharusnya memimpin dan bukannya dipimpin oleh pihak lain.



Ujar beliau, disebabkan itu, mana-mana parti yang ingin bersama PAS seharusnya mengikut parti ini demi kesejahteraan dan keharmonian rakyat.



"Dalam hal berkaitan RUU355 ini, ia tak sepatutnya diambil dalam konteks politik kerana ia isu agama.


"Ada yang kata RUU355 ini pecah belahkan rakyat namun apa yang memecah belahkan rakyat adalah parti perkauman,"katanya.


© all rights reserved
made with by templateszoo