NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Food Flotilla for Myanmar: Bangladesh benarkan berlabuh di Pelabuhan Teknaf

Kementerian Luar mengesahkan bahawa kerajaan Bangladesh bersetuju membenarkan kapal ‘Humanitarian Mission – Food Flotilla for Myanmar’ berlabuh di Pelabuhan Teknaf.


KUALA LUMPUR, 4 Feb: Kementerian Luar mengesahkan bahawa kerajaan Bangladesh bersetuju membenarkan kapal ‘Humanitarian Mission – Food Flotilla for Myanmar’ berlabuh di Pelabuhan Teknaf.

Kebenaran itu diberi berikutan pertemuan antara Menteri Luar Datuk Seri Anifah Aman dan Pesuruhjaya Tinggi Bangladesh di Malaysia Md Shahidul Islam.

“Perkara itu kini selesai hasil hubungan baik antara Malaysia dan Bangladesh,” kata kementerian itu dalam kenyataan hari ini.

Menurut kenyataan itu, Malaysia mengucapkan penghargaannya kepada kerajaan Bangladesh atas kesediaannya membenarkan flotila itu menghulurkan bantuan kemanusiaan kepada pelarian Rohingya di sekitar pelabuhan berkenaan.

Terdahulu, media melaporkan bahawa kerajaan Bangladesh tidak membenarkan kapal itu berlabuh di Pelabuhan Teknaf untuk mengagihkan bantuan kemanusiaan kepada pelarian Rohingya yang berada di Bangladesh.

Kapal itu merancang untuk berlabuh di Yangon, Myanmar, sebelum menuju ke Teknaf, Bangladesh, pelabuhan yang terletak paling hampir dengan kira-kira 65,000 pelarian Rohingya di negara itu.

‘Food Flotilla for Myanmar’ dianjurkan Kelab Putera 1Malaysia dan Majlis Perundingan Islam Malaysia (MAPIM) dengan kerjasama Turkiye Diyanet Vakfi (TDV) Foundation dari Turki.

Flotilla berkenaan, yang membawa kira-kira 2,200 tan makanan, berlepas dari Pelabuhan Klang semalam setelah disempurnakan pelepasan pelayarannya oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak, dan dijangka tiba di Yangon, Myanmar pada 7 atau 8 Feb.

Kira-kira 230 sukarelawan dari 13 negara yang menganggotai pasukan perubatan, pendidikan serta pengamal media tempatan dan antarabangsa, di samping wakil pertubuhan bukan kerajaan tempatan dan luar negara, menyertai misi itu.— Bernama
© all rights reserved
made with by templateszoo