Header Ads

Bukan PAS cipta tiga penjuru

PAS lawan Umno di Kelantan. PAN juga isytiharkan akan bertanding di semua kerusi PAS di Kelantan.Kalau mereka nak jadikan pembangkang ini satu lawan satu, mereka seharusnya mencari cari kerusi lain, bukan ambil kerusi kita. PAS tidak cipta pertandingan tiga penjuru.

GOMBAK - PAS tidak pernah mencipta tiga penjuru dalam pilihan raya, demikian menurut Ketua Penerangan PAS, Nasrudin Hassan.

Beliau berkata demikian berhubung pertandingan tiga penjuru yang dijangka berlaku antara BN, PAS dan juga Pakatan Harapan untuk PRU14.

Menurutnya, dengan kewujudan PAN serta parti baharu iaitu Bersatu, kedua-dua parti ini jelas menunjukkan minat untuk bertanding, terutamanya di kawasan PAS.

“Contohnya, PAS lawan Umno di Kelantan. PAN juga isytiharkan akan bertanding di semua kerusi PAS di Kelantan.

“Kalau mereka nak jadikan pembangkang ini satu lawan satu, mereka seharusnya mencari cari kerusi lain, bukan ambil kerusi kita. PAS tidak cipta pertandingan tiga penjuru,” katanya.

Katanya, Pakatan Harapan perlu membuat pembahagian kerusi antara parti mereka, tetapi jangan ambil kerusi PAS.

Menurutnya, sejak awal kewujudan PAS, pertandingan hanyalah pertembungan satu lawan satu dengan BN sahaja.

“Sejak PAS menyertai pilihan raya sekitar tahun 1951, kita hanya lawan Umno. Adakala panas, adakala sejuk, ikut musim ketika itulah.

“Dari situ wujud pertembungan sihat di mana kerajaan dan pembangkang berlawan satu lawan satu, cuma itu dahulu,” katanya.

Katanya, kerusi Parlimen ada 222 dan PAS cuma bertanding kurang 80 kerusi.

“Kalau kami nak bertanding lebih pun, mungkin 90 kerusi sahaja, tak sampai separuh pun. Selebihnya, parti lain boleh ambil.

“Sasaran PAS juga lebih kepada kawasan Melayu Islam. Kita tahu, perkiraan politik ni kalau kawasan tak sesuai seperti Sabah, Sarawak, wang deposit pun tak akan dapat balik. Jadi, kita pun tak mahulah deposit hangus,” ujarnya.

Beliau menambah, untuk berhadapan PRU14, PAS tidak akan mudah memberi kerusi kepada mana-mana parti begitu sahaja.

“Kita mengambil kira beberapa faktor seperti perkiraan politik, kemudian keuntungan dasar perjuangan parti dan ketiga desakan ahli parti.

“Mereka (ahli) bekerja untuk memastikan PAS menang, tiba-tiba ada parti lain nak ambil mudah sahaja, mana boleh macam tu,” katanya.

Nasrudin turut berharap pembahagian kerusi diberikan mengikut kekuatan parti bukannya berbentuk rampasan.

“Kalau cawangan dan akar umbi pun tak ada, hanya mahukan kerusi serta gunakan jentera PAS untuk menang, tak boleh jadi macam tu.

“Kemudian bila dah menang, buat onar pulak, lagilah tak boleh. Ia tidak selari dengan dasar perjuangan parti.

“Nampak seperti bekerjasama, tetapi dari satu sudut, mereka menyerang sesama kita. Ia (pemberian kerusi) tidak akan jadi realiti,” katanya. - Sinar Harian