Header Ads

Bantah RUU 355 boleh jejas perpaduan rakyat

Kita di Malaysia ini hanya nyamuk-nyamuk dan agas-agas kecil sahaja, semua pihak di negara ini perlu rujuk sejarah dan senario perundangan dunia.
KUALA LUMPUR 18 Feb. – Masyarakat bukan Islam diingatkan tidak menentang usaha pindaan Rang Undang-Undang Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) Pindaan 2016 kerana perbuatan sedemikian adalah satu perlanggaran terhadap adab perpaduan di negara ini.

Menegaskan perkara itu, Pre­siden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang berkata, mereka perlu konsisten menghormati adat tersebut dengan meraikan hak-hak orang Islam dan kedudukan agama Islam dalam Perlembagaan Persekutuan.

Beliau berkata, mereka yang masih bersikap negatif terhadap RUU 355 diminta melihat semula sejarah perundangan dunia yang telah mengiktiraf undang-undang Islam.

“Untuk menggubal undang-undang antarabangsa bagi menjamin keamanan dunia, mereka (pembuat undang-undang) terpaksa membaca terjemahan al-Quran dan pada program himpunan ilmuwan Islam dan Barat pada awal 70-an mengiktiraf kedudukan syariat Islam.

“Kita di Malaysia ini hanya nyamuk-nyamuk dan agas-agas kecil sahaja, semua pihak di negara ini perlu rujuk sejarah dan senario perundangan dunia,” katanya ketika berucap pada program Himpunan RUU 355 di sini hari ini.

Dalam pada itu, Abdul Hadi yang juga Ahli Parlimen Marang berkata, dunia hari ini menyaksikan kegagalan undang-undang manusia yang bukan sahaja tidak mampu bendung jenayah malah merebak seluruh dunia

“Izinkan syariat Islam dilaksanakan daripada kamu mencemuh usaha memperkasakan mahkamah syariah, lebih baik kamu bincang undang-undang lapuk yang guna tali gantung, tidak mengira siapa jadi saksi dan hakim kerana undang-undang yang tidak ada roh.

“Sepatutnya ini dibincang oleh mereka bukan pertikai undang-undang Islam dengan kejahilan tanpa ilmu dan pengetahuan,” katanya.---Utusan Online