NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Siapa selepas ini?

Berikutan tindakan agresif SPRM itu, lebih ramai tokoh, pegawai kanan kerajaan, pegawai syarikat milik kerajaan (GLC) dan ahli politik akan ditahan serta didakwa.
SHAH ALAM 9 Jan. - Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) me­ngotakan janji untuk memastikan setiap minggu akan ada tangkapan atau pertuduhan terhadap individu yang terlibat dengan rasuah apabila mendakwa bekas Pengarah Urusan Tabung Ekonomi Kumpulan Usaha Niaga (TEKUN) Nasional, Datuk Abdul Rahim Hassan hari ini di Mahkamah Sesyen di sini atas pertuduhan membabitkan jenayah itu, dua tahun lalu.

Penahanan dan pendakwaan ke atas Abdul Rahim membuktikan Ketua Pesuruhjaya SPRM, Datuk Dzulkifli Ahmad mengotakan janjinya bahawa selepas ini tiada lagi amaran diberikan kepada mana-mana individu termasuk penjawat awam yang terlibat dalam pe­nyalahgunaan kuasa dan rasuah.

Difahamkan berikutan tindakan agresif SPRM itu, lebih ramai tokoh, pegawai kanan kerajaan, pegawai syarikat milik kerajaan (GLC) dan ahli politik akan ditahan serta didakwa.

Sementara itu di Mahkamah Sesyen di sini, Abdul Rahim, 62, yang tidak sampai setahun dilepas tanpa dibebaskan daripada tuduhan salah guna jawatan bagi mendapatkan suapan didakwa di antara pukul 8.30 dan 9 malam, 13 Januari 2015 melalui khidmat pesanan ringkas (SMS) meminta suapan RM36,000 daripada pengarah syarikat kutipan hutang, Pasadana Sdn. Bhd., Abdul Muhsin Abdul Rahman sebagai dorongan untuk mempercepatkan proses bayaran tuntutan syarikat terbabit.

Jumlah tersebut merupakan 10 peratus daripada RM360,009.08 iaitu hasil kutipan Hutang Lapuk TEKUN Nasional bagi bulan November 2014 yang dibuat oleh syarikat terbabit.

Bagi pertuduhan kedua, bekas Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) TEKUN Nasional itu didakwa menerima wang suapan tersebut di lobi Kelab Shah Alam Selangor, kira-kira pukul 9 malam, 15 Januari 2015.

Abdul Rahim yang baru pulang menunaikan umrah kelmarin, mengaku tidak bersalah terhadap kedua-dua pertuduhan tersebut.

Kedua-dua pertuduhan itu dikemukakan mengikut Seksyen 16(a)(A) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 24 akta sama yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda RM10,000 atau lima kali ganda nilai suapan, mengikut mana le­bih tinggi.

Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan-timbalan Pendakwa Raya dari Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Aida Adha Abu Bakar dan Wan Ahmad Nizam Wan Omar manakala tertuduh diwakili peguam bela, Datuk Hasnal Rezua Merican.

Pada 26 November 2015, Abdul Rahim mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur atas dua pertuduhan menggunakan jawatannya bagi mendapatkan rasuah dengan meluluskan permohonan pinjaman program perintis TEKUN berjumlah RM200,000 kepada sebuah syarikat e-learning yang mempunyai hubungan kekeluargaan dengannya.

Pada prosiding hari ini, Aida Adha mencadangkan agar wang ikat jamin tertuduh ditetapkan RM20,000 bagi setiap pertuduhan dan syarat tambahan dikenakan sekiranya mahkamah ingin meminda jumlah tersebut.

Hasnal Rezua membantah nilai tersebut memandangkan kedua-dua pertuduhan akan dibicarakan bersama dan tiada sebarang bukti yang menunjukkan anak guamnya akan melarikan diri sekiranya jaminan ditetapkan pada kadar yang rendah. Beliau turut mencadangkan tertuduh dikenakan ikat jamin sebanyak RM18,000.

Hakim Asmadi Hussin kemudian membenarkan Abdul Rahim diikat jamin RM18,000 dengan seorang penjamin bagi kedua-dua pertuduhan dan diperintah menyerahkan pasportnya kepada mahkamah.

Mahkamah turut menetapkan perbicaraan kes itu selama lima hari bermula 13 Mac ini. Pengurusan kes terbabit ditetapkan pada 8 Februari ini.

(Utusan Online)


© all rights reserved
made with by templateszoo