NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

RUU 355: PAS nafi raih sokongan bukan Islam

PAS tidak memaksa golongan bukan Islam menyokong matlamat PAS meminda akta itu, tetapi cukup jika dapat memahaminya.


PETALING JAYA: Pertemuan PAS dengan Gereja St Anne di Pulau Pinang semalam adalah usaha berterusan parti itu untuk berdialog dengan golongan bukan Islam berhubung isu pindaan Akta Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) 1965 atau RUU 355, kata timbalan presidennya Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man.

Beliau berkata, PAS tidak memaksa golongan bukan Islam menyokong matlamat PAS meminda akta itu, tetapi cukup jika dapat memahaminya.

“Tidak timbul soal orang bukan Islam perlu sokong atau tidak, mereka tidak sokong pun tidak mengapa, yang penting mencari persefahaman.

“Hasil dialog sangat positif. Kedua-dua pihak setuju dialog sebegini perlu diperbanyakkan,” katanya ketika dihubungi.

Katanya lagi, antara program bersama yang sudah diaturkan adalah perlawanan boling antara PAS dan masyarakat bukan Islam di Kulim, Kedah pada pertengahan Februari nanti.

Semalam, Tuan Ibrahim bersama-sama PAS Pulau Pinang berkunjung ke Gereja Katolik St Anne di Bukit Mertajam bagi berdialog berhubung isu itu.

Pada 18 September lalu, Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang juga mengadakan dialog dengan Persekutuan Persatuan Hokkien bagi membincangkan isu sama, walaupun dilaporkan tidak berakhir dengan baik.

Rombongan Tuan Ibrahim semalam disambut Biskop Sebastian Francis yang juga Presiden Persidangan Biskop Katolik Malaysia, Singapura dan Brunei.

Mengulas lanjut, Tuan Ibrahim berkata kunjungan itu adalah sebahagian daripada lawatannya ke Pulau Pinang dan diaturkan PAS kawasan.

“Memang setiap kali kunjungan pimpinan, pertemuan dengan pemimpin agama bukan Islam akan diaturkan, termasuk daripada agama Buddha.

“Tambahan pula biskop memang ada hubungan baik dengan arwah Datuk Nik Aziz Nik Mat dan pimpinan lain,” katanya lagi.

Himpunan RUU 355 bukan untuk cetus polemik

Ketika pertemuan itu, katanya lagi PAS menjelaskan Himpunan RUU 355 yang dijadualkan pada 18 Februari ini bukanlah untuk menimbulkan polemik, apatah lagi ketegangan di kalangan masyarakat.

“Ia bukan perarakan atau demonstrasi tetapi lebih kepada sesi penerangan untuk menjelaskan soal RUU 355,” katanya.

PAS juga menjawab persoalan pihak gereja yang langkah tersebut adalah permulaan kepada hukum hudud dan berisiko melibatkan masyarakat bukan Islam.

“Sekali lagi kita jelaskan yang ia hanya untuk memperkasakan Mahkamah Syariah, pada masa sama mahkamah itu tetap tidak berkuasa membicarakan orang bukan Islam,” katanya.

Selepas sekali lagi menangguh pembentangan usul itu pada sesi Dewan Rakyat 24 November lalu, Hadi dijangka akan membentangkannya pada sesi Mac 2017.

Himpunan RUU 355 untuk jaga maruah Islam, kata PAS. (FMT NEWS)
© all rights reserved
made with by templateszoo