NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

PPBM, Jangan Tersilap Langkah



Oleh: Sulaiman Mohamed

Tertubuhnya Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) dari satu aspek membawa satu nilai tambah baru kepada lanskap politik pembangkang di negara ini, khasnya menjelang PRU 14.

Nilai tambah tersebut, antaranya adalah dalam aspek barisan kepimpinan pembangkang yang menjadi lebih kredibel, lebih meyakinkan dengan adanya bekas pimpinan kanan negara yang mempunyai pengalaman pentadbiran yang begitu luas. Tun Mahathir sendiri, Tan Sri Mubyidin Yassin, Dato Seri Mukhriz dan Tan Sri Rashid (baru sertai PPBM) adalah tokoh tokoh yang mempunyai latar belakang pentadbiran negeri dan negara di peringkat tertinggi. Ini sukar ditemui dalam kalangan pimpinan pembangkang lain.

Maka dengan PPBM serta kepimpinannya, barisan pemvangkang mampu menawarkan sesuatu yang lebih meyakinkan. Sekalipun keupayaan PPBM memobilisasi sokongan rakyat sukar untuk ditelah lantaran sifatnya belum sampai setahun jagung. Namun  kekuatan pembangkang sedia ada melalui sokongan bukan Islam yang di bawa DAP dan sokongan pengundi Melayu di bawa PAS bersama nilai tambah PPBM, memberi potensi kekuatan gabungan pembangkang yang benar benar berwibawa menggugat status quo Umno/BN.

Namun, potensi besar pembangkang ini hanya dapat direalisasikan dengan satu syarat : Gabungan Pembangkang.

Gabungan Pembangkang hanya membawa erti jika kekuatan Pas dan Dap dapat digembelingkan. Tindakan Dap menmutuskan hubungan secara unilateral dengan Pas, telah memusnahkan hubungan yang wujud di dalam Pakatan Rakyat sebelumnya. Sikap Dap yang menentang inisiatif syariah secara terang terangan telah memaksa Pas akhirnya mengambil keutusan berkerat rotan dengan Dap.

PPBM boleh memainkan peranan sebagai orang tengah. Maka satu lagi nilai tambah PPBM terserlah. PPBM perlu bijak dan cermat memainkan peranan antara Pas dengan pasaran Melayu-Islam, dan Dap dengan pasaran pengundi Cina. Kejayaan Dato Seri Anwar memainkan peranan ini di dalam PR satu masa dahulu, sekarang mesti diulangi oleh Tun Mahathir dan PPBM.

Langkah TSMY untuk tidak menyertai Pakatan Harapan (PH) adalah tepat. Tepat dalam konteks peranan mereka sebagai orang tengah. Jika PPBM memilih untuk sertai PH, maka PPBM bukan lagi orang tengah, bahkan menjadi orang berpihak. Pas sudah tentu tidak boleh menganggap PPBM sebagai orang tengah kerana PH sudah bersama Dap,PKR dan Amanah di dalam PH.

Malangnya, akhir akhir ini, PPBM khasnya Tun Mahathir, seperti hilang kompas. Halatuju, jatidiri dan peranan PPBM menjadi kabur dan sukar difahami orang ramai terutamanya orang Melayu (dan Pribumi).

Hubungan yang begitu intim antara PPBM dan Dap terasa janggal dan pelik. Komuniti pro-pembangkang atau anti-Umno dalam kalangan orang Melayu menjadi hairan dengan pendirian dan sikap Tun M yang menjadi seperti jurucakap Dap. Bahkan Tun meletakkan dirinya seolah olah hulubalang Dap. Dalam bahasa yang lebih jelas tanpa selindung, Tun dan PPBM seolah olah menjadi "tali barut" Dap.

Keadaan ini meresahkan bukan sahaja orang ramai yang telah mula berminat dengan PPBM awalnya, bahkan juga keresahan dalam kalangan pimpinan PPBM sendiri. Saya berbicara dengan beberapa pimpinan PPBM yang jelas melahirkan kekecewaan di atas sikap Tun yang kurang sabar dan tidak mengendahkan pandangan serta teguran pimpinan lain.

Mereka juga mengakui bahawa orang Melayu semakin menjauhi PPBM. Program ceramah yang melibatkan PPBM dan Dap, nescaya tidak mendapat sambutan orang Melayu.

Sedangkan PPBM adalah sebuah parti yang perjuangkan orang Melayu dan Pribumi. Benar kah?

PPBM nampak semakin mirip kepada parti campuran seperti PKR dan Amanah.

Jika pasaran PPBM adalah orang Melayu, bukan kah PPBM patut lebih mendekati PAS? 

Kenapa pula PPBM begitu menyanjungi Dap dan semakin kerap menyerang PAS? 
Bukan kah dengan persefahaman PAS, PPBM boleh bertanding di kerusi Melayu melawan Umno, di mana Pas sendiri tidak cukup kuat di situ? Jadi, dengan sokongan Pas dan sebahagian orang orang Umno, PPBM mempunyai peluang mengalahkan Umno. Di kawasan seperti ini, Dap tidak banyak dapat membantu PPBM.

Maka atas rasional apa, Tun Mahathir dan PPBM mengambil langkah yang mengelirukan seperti sekarang? 

Kenapa berbincang secara senyap dengan Dap menyusun siapakah PM. TPM dan seterusnya? Agenda Melayu dan Pribumikah ini?

Sudah lupalah PPBM langkah kanan mereka sebagai orang tengah membina gabungan kekuatan pembangkang?

Adakah PPBM yang bermula dengan sinar harapan, akan  berakhir dengan kekeliruan dan kecelaruan?

Namun masa masih ada, walaupun tidak panjang. Mungkin sesuatu yang drastik perlu dilakukan oleh Tan Sri Muhyidin, Dato Seri Mukhriz dan Tan Sri Rashid bagi mengembalikan PPBM di atas landasannya yang betul.

https://www.facebook.com/sulaiman.mohamad.92102/posts/159045674588183
© all rights reserved
made with by templateszoo