NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Perjanjian Tun M, Kit Siang sukar dilaksanakan - PAS

Perjanjian itu, ia bukan sesuatu yang mudah untuk dilaksanakan kerana pembentukan kerajaan memerlukan pembabitan dan persetujuan banyak pihak.

KUALA LUMPUR: Perjanjian antara Tun Dr Mahathir Mohamad dan Lim Kit Siang membabitkan jawatan Perdana Menteri dan Timbalan Perdana Menteri jika pembangkang menguasai Putrajaya pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) sukar dilaksanakan.

Naib Presiden PAS, Datuk Iskandar Abdul Samad, berkata jika benar wujud perjanjian itu, ia bukan sesuatu yang mudah untuk dilaksanakan kerana pembentukan kerajaan memerlukan pembabitan dan persetujuan banyak pihak.

Beliau berkata, tiada parti atau gagasan parti yang berupaya membentuk kerajaan secara bersendirian, sebaliknya memerlukan kerjasama yang lebih meluas.

Tegasnya, PAS sehingga kini belum membuat sebarang keputusan mengenai bentuk kerjasama dengan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM).

Beliau berkata, sebarang keputusan tidak akan dibuat berdasarkan khabar angin seperti perjanjian antara Dr Mahathir Mohammad dan Kit Siang, sebaliknya mesti dibuat secara profesional berdasarkan fakta konkrit.

“PAS hanya akan bekerjasama dengan pihak yang menghormati prinsip dan dasar PAS, juga pihak yang tidak mencampuri urusan dalaman PAS,” katanya dalam kenyataan, pagi ini.

Iskandar yang juga Pesuruhjaya PAS Selangor, berkata buat masa ini, PAS masih menjemput pimpinan PPBM, termasuk Presidennya,Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Timbalan Presiden parti itu, Datuk Seri Mukhriz Mahathir ke program mereka. (BHONLINE)
© all rights reserved
made with by templateszoo