NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

PAS Mendahului Usaha Membantu Mangsa Banjir


Petugas-petugas PAS terutama unit Amal  melakukan operasi pembersihan rumah ke rumah, membersihkan masjid, sekolah dan lain-lain lagi. Dakwah bil hal ini berjaya meruntuhkan tembok kaca antara gerakan Islam dengan masyarakat, terutama penyokong UMNO BN yang sangat skeptikal dengan perjuangan Islam

Oleh: DR RIDUAN MOHAMAD NOR

Fajar awal 2017 dikejutkan dengan banjir yang melanda Kelantan dan Terengganu, dua buah negeri jantung hati orang Melayu yang juga merupakan pengkalan kepada PAS semenjak dekad 50an. Hujan yang mencurah -curah semenjak hujung Disember 2016 akhirnya menakung air sehingga beberapa daerah terkesan teruk dengan banjir awal tahun. Rantau Panjang, Pasir Mas, Tanah Merah, Jeli, Pasir Puteh antara daerah yang ditenggelami air di Kelantan. Manakala Besut, Setiu, Dungun dan Hulu Terengganu terpaksa memindahkan ribuan mangsa banjir ke tempat pemindahan.

Semenjak hari pertama banjir, PAS melalui Khidmat Malaysia dan rangkaian sivilnya telah turun ke medan operasi, membantu pemindahan mangsa banjir, menyediakan makanan serta membantu pengemasan rumah mangsa-mangsa banjir. Anggota Jabatan Amal dengan identiti baju merah merun dengan jumlah ribuan anggotanya telah bermandi keringat membantu rakyat, disertai oleh ahli-ahli Legislatif PAS.

Benar, banjir ini mungkin tidak seteruk tsunami, gempa bumi, krisis peperangan, namun bencana banjir juga membawa kepada kesan psikologi yang mendalam terhadap rakyat negara ini bahkan kebijakan kerajaan dalam menguruskan bencana yang dipertikaikan rakyat. Semenjak hari pertama yang menyaksikan susun atur plan strategik keselamatan negara yang sangat lemah.  

Benar, kenaikan air adalah secara mendadak namun banjir pada musim tengkujuh adalah sebahagian daripada sketsa bencana rutin negara. Sepatutnya pihak kerajaan di bawah selia atur Majlis Keselamatan Negara (MKN) telah begitu profesional dan terarah dalam pelan pemindahan penduduk, sistem amaran banjir, pengumuman awam yang efektif, penggunaan aset negara seperti ATM, bot, hospital medan, klinik bergerak, generator dan juga sinergi pelbagai pihak jaringan  sivil dalam operasi sokongan bantuan banjir.

Jaringan sivil atau masyarakat sivil telah menunjukkan peranan yang efektif saat negara kita ditimpa musibah, berbondong NGO dengan pelbagai jenama turun ke lapangan dan medan membantu masyarakat. Peranan yang cekap dan terus sampai kepada akar umbi peserta musibah. PAS sendiri sebagai gerakan Islam telah menggerakkan seluruh ahlinya untuk turut berkhidmat, bermula fasa pemindahan mangsa, penghantaran makanan, penyediaan makan minum mangsa sehinggalah operasi pasca banjir yang lebih mencabar. Walau tanpa sorotan lensa dan juga kerlipan lampu publisiti, NGO dan gerakan swadaya terus menabur bakti dan merasai denyut nadi rakyat.

Mangsa banjir amat berterima kasih dan terpanar dengan kelibat "tentera merah" atau anggota Unit Amal yang semenjak awal terus membantu mangsa, bahkan ada yang ditimpa kemalangan semasa bertugas. Anak muda berfikrah Islam ini dengan dilatari pelbagai latar belakang sosio ekonomi menjadi benteng paling hadapan dalam mana-mana bencana negara ini. Mereka menumpahkan keringat tanpa mengharapkan tanda jasa, upah mahupun pujian manusia. Guratan wajah penat namun terukir senyuman yang paling indah daripada anggota amal sehingga mampu mengharumkan gerakan Islam yang bukan sahaja berpencak di medan siasah yang bermusim tetapi bersiaga disetiap masa untuk menyelami kejerihan rakyat.

Setiap kali banjir berakhir juga, petugas-petugas PAS terutama unit Amal  melakukan operasi pembersihan rumah ke rumah, membersihkan masjid, sekolah dan lain-lain lagi. Dakwah bil hal ini berjaya meruntuhkan tembok kaca antara gerakan Islam dengan masyarakat, terutama penyokong UMNO BN yang sangat skeptikal dengan perjuangan Islam. Bantuan banjir daripada pintu rumah kepintu rumah juga lebih berkesan berbanding apa yang dibuat oleh pemimpin kerajaan yang mengerah rakyat berhimpun untuk mengagihkan bantuan. Rakyat menjadi muak dengan majlis propaganda politik pemerintah walhal nilai bantuan adalah amat kecil.

Dalam kesungguhan pesta membantu bencana banjir ini juga, pelbagai NGO berada dibarisan hadapan membantu rakyat kelantan dan Terengganu. Antaranya Muslim Care Malaysia yang menggerakkan aset mereka seperti bot- bot, kenderaan pacuan empat roda. Juga mengagihkan bantuan makanan kepada mangsa banjir walau tanpa suluhan lensa publisiti. Juga NGO seperti KAMI, Papisma, Pertubuhan Nisa', Pertubuhan Asatizah, dan lain-lain lagi.



© all rights reserved
made with by templateszoo