NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

PAS bijaksana membuka tirai Malaysia baharu - Azmin

Kami yakin kebijaksanaan dan pengalaman luas kepimpinan PAS
KUALA LUMPUR: Parti Keadilan Rakyat (PKR) mengesahkan parti itu masih meneruskan perbincangan dan rundingan dengan PAS.

Timbalan Presiden PKR, Datuk Seri Azmin Ali menegaskan pendirian beliau memahami dan menghormati tumpuan yang sedang diberikan oleh pimpinan tertinggi PAS menjelang muktamar akan berlangsung tidak lama lagi.

“Kami yakin kebijaksanaan dan pengalaman luas kepimpinan PAS.

“Anggota PAS juga mahukan sebuah kerajaan bersih dan mereka komited kepada prinsip keadilan dan pembenterasan rasuah demi menyelamatkan negara untuk generasi masa depan,” kata Azmin dalam satu kenyataan media hari ini. (AstroAwani)

Berikut kenyataan media Azmin mengenai pendirian parti itu terhadap PAS:


KENYATAAN MEDIA

26 JANUARI 2017

Malaysia sedang dilanda krisis ekonomi dan dicengkam oleh tatakelola curang yang belum pernah dialami sebelum ini. Akibatnya, rakyat menderita dan maruah negara tercemar.

Krisis ini menuntut kepimpinan negara yang wibawa, berintegriti dan dihormati rakyat. Ini memerlukan muafakat rakyat yang perlu diterjemahkan dalam bentuk perpaduan di kalangan parti-parti politik, NGO dan individu yang komited kepada reformasi.

Rakyat Malaysia semakin matang dan telah menerima hakikat sistem dua parti. Rakyat bersedia melakukan perubahan. Justeru itu, para pemimpin perlu memiliki sikap tawadhu’ untuk bersatu menyahut aspirasi rakyat.

Sejak setahun yang lalu, ombak besar telah melanda senario politik negara yang menuntut pimpinan parti politik mengkaji semula strategi memenangi hati rakyat.

Pakatan Harapan dibentuk. Penubuhan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) bermatlamat untuk kembali kepada khittah perjuangan Melayu dan Islam. Perkembangan baru ini bakal menjana tsunami 2.0 menjelang Pilihan Raya Umum ke-14.

Parti Keadilan Rakyat (KEADILAN) bersedia untuk memainkan peranan bagi memperkukuhkan gabungan politik parti-parti progresif, bahkan untuk mengangkat muafakat ini ke peringkat yang lebih efektif dalam membicarakan perjuangan peduli rakyat.

Dalam konteks ini, KEADILAN menyambut baik kenyataan YB Lim Kit Siang bahawa DAP bersedia bekerjasama dengan semua pihak termasuk PAS demi menumbangkan BN. Saya menganggap kenyataan ini sebagai satu langkah positif menuju ke arah penyatuan semua parti politik dengan meletakkan kepentingan rakyat dan negara sebagai keutamaan tertinggi.

Ini pastinya menuntut kebijaksanaan dan pendekatan inklusif dengan mengenepikan perbedaan pendekatan dan politik kepartian demi matlamat menyeluruh yang lebih penting iaitu menyelamatkan negara dan bangsa daripada belenggu pemimpin rasuah dan kerajaan kleptokrat.

Negara dan nasib rakyat hanya boleh dibela oleh parti-parti progresif yang bersatu padu dalam menghadapi BN yang sedang nazak. Namun, muafakat ini hanya boleh tercapai melalui perbincangan dan perundingan. Kita perlu akur bahawa perundingan adalah suatu proses yang rumit. Kita mesti melakukannya demi rakyat dan negara. Saya yakin perkara yang rumit ini boleh dirungkai jika semua pihak mengamalkan sikap terbuka dan bertolak ansur.

Saya juga amat memahami dan menghormati tumpuan yang sedang diberikan oleh pimpinan tertinggi PAS menjelang muktamar tahunan 2017 yang akan berlangsung tidak lama lagi.

Kami yakin kebijaksanaan dan pengalaman luas kepimpinan PAS. Anggota PAS juga mahukan sebuah kerajaan bersih dan mereka komited kepada prinsip keadilan dan pembenterasan rasuah demi menyelamatkan negara untuk generasi masa depan.

KEADILAN masih meneruskan perbincangan dan rundingan dengan PAS, Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) dan parti-parti lain demi membuka tirai Malaysia Baru. Program bersama terus berjalan baik terutama di peringkat Negeri Selangor dan di akar umbi demi membela nasib semua rakyat.

DATO’ SERI MOHAMED AZMIN ALI
© all rights reserved
made with by templateszoo