NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

PAS Berhak Buat Himpunan 355

Pada saya mereka berhak untuk berbuat demikian. Kerajaan tidak boleh menghalang mana-mana pihak untuk menganjurkan perhimpunan.


KUALA LUMPUR: PAS mempunyai hak untuk mengadakan perhimpunan asalkan ia mengikut syarat yang ditetapkan di bawah Akta Perhimpunan Aman 2012, kata Menteri Pelancongan dan Kebudayaan Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz.

Beliau berkata, akta itu membolehkan rakyat Malaysia menganjurkan perhimpunan jika ia memenuhi syarat-syarat yang tertakluk di bawahnya.

"Mereka perlu mematuhi syarat-syarat akta, seperti perhimpunan tersebut perlu diadakan di satu tempat, maksudnya ia tidak boleh 'bergerak' dan pihak penganjur telah mendapat kebenaran daripada pemilik tempat perhimpunan.

"Jika tidak, perhimpunan itu akan menjadi satu perhimpunan haram," katanya Ahad.

PAS mengumumkan akan mengadakan satu perhimpunan untuk memberi penerangan kepada orang ramai khususnya umat Islam mengenai pindaan terhadap Akta Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) 1965 atau dikenali sebagai Akta 355.

Himpunan RUU 355 itu dijadualkan akan diadakan pada 18 Februari ini.

Menjawab mengenai bantahan MCA terhadap perhimpunan yang dicadangkan itu, yang mana presidennya Datuk Seri Liow Tiong Lai menyifatkannya sebagai 'memecah-belahkan', Nazri berkata, parti itu boleh membantah tetapi tidak boleh menghalang PAS daripada mengadakan perhimpunan.

"Jika MCA menentang (himpunan dan RUU), mereka boleh mengadakan satu lagi perhimpunan pada hari lain untuk menunjukkan bantahannya.

"Ini adalah demokrasi, jadi semua orang mempunyai hak, hak untuk menyokong dan hak untuk menentang," katanya.

(mStar)


Pas Boleh Adakan Himpunan Di Dataran Merdeka

KUALA LUMPUR: Tiada halangan untuk PAS menganjurkan perhimpunan di Dataran Merdeka pada 18 Feb depan asalkan mengikut peraturan ditetapkan dan mendapat kebenaran pihak polis dan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur, kata Anggota Majlis Tertinggi UMNO Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz.

Beliau berkata berdasarkan Akta Perhimpunan Aman 2012, kerajaan tidak boleh menghalang mana-mana pihak untuk menganjurkan perhimpunan atau demonstrasi bagi menyokong atau membantah sesuatu perkara atau isu asalkan mematuhi akta dan peraturan berkaitan.

“Pada saya mereka berhak untuk berbuat demikian… asalkan mengikut syarat dan mendapat kebenaran daripada pihak berkaitan,” katanya pada sidang media selepas merasmikan Persembahan Gendang 24 Perayaan Terbesar di Dunia di Sekolah Rendah Jenis Kebangsaan (Cina) Tsun Jin di Kampung Pandan, di sini, pada Ahad.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas kenyataan Timbalan Presiden PAS Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man mengenai perhimpunan besar-besaran yang akan diadakan di Dataran Merdeka pada 18 Feb bagi memberi penerangan kepada orang ramai khususnya umat Islam mengenai pindaan terhadap Akta Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) 1965 atau dikenali sebagai Akta 355.

Platform itu akan digunakan untuk memperjelaskan kewajaran usul Rang Undang-Undang Persendirian yang dibawakan Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang berkaitan pindaan akta itu dan mengapa ia mesti disokong oleh semua umat Islam, khususnya anggota Parlimen.

— BERNAMA


© all rights reserved
made with by templateszoo