Header Ads

PAS anjur himpunan RUU 355

Kita memurnikan suasana dan kurangkan tekanan serta menghilangkan kebimbangan. Himpunan bertemakan 'Syariat Diperkasa, Rakyat Sejahtera' itu mendapat dukungan daripada lebih 200 NGO Islam dalam negara. 
SHAH ALAM: Umat Islam Malaysia akan disatukan secara besar-besaran pada Himpunan RUU355 sebagai sokongan kepada usaha meminda akta tersebut di Parlimen pada Mac nanti.

Himpunan yang mensasarkan penyertaan seramai 300,000 hadirin sempena angka 355 pada akta tersebut akan diadakan pada Sabtu, 18 Februari bermula jam 3 petang hingga 11.30 malam di Dataran Merdeka, Kuala Lumpur.

Timbalan Presiden PAS, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, himpunan itu juga sebagai solidariti umat Islam terhadap segala isu yang perlu dimuafakati bersama NGO-NGO dan masyarakat dalam konteks negara dan ummah sejagat.

"Supaya kita dapat beri penjelasan terhadap kewajaran untuk akta ini dipinda dan mengapa dengan mengharap sokongan khususnya dari Ahli-ahli Parlimen. 

"Juga sebagai suntikan semangat untuk kita menghadapi cabaran dan tentangan dari mereka yang tidak memahami serta dibimbangi mengambil kesempatan mencetuskan suasana tidak harmoni.

"Jadi dengan himpunan ini kita memurnikan suasana dan kurangkan tekanan serta menghilangkan kebimbangan.

"Juga untuk menghilangkan kekeliruan dengan mendidik masyarakat untuk berhimpun secara aman harmoni mengikut peraturan dan akta sedia ada," ujarnya pada sidang media khas di Dewan Banquet, Majlis Bandaraya Shah Alam, di sini.

Menurutnya, himpunan bertemakan 'Syariat Diperkasa, Rakyat Sejahtera' itu mendapat dukungan daripada lebih 200 NGO Islam dalam negara. 

Menurutnya, ketika ini pihak beliau sedang menghubungi pihak-pihak terlibat untuk persiapan tempat dan jemputan kepada semua pihak termasuk kalangan bukan Islam.

Pada sidang media itu, beliau juga mengisytiharkan pelancarkan logo khas himpunan dan ungu sebagai warna rasmi himpunan. - HARAKAHDAILY 7/1/2017