NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Limau mandarin tiada sulfur dioksida

Akta Makanan 1983 memang membenarkan penggunaan sulfur dioksida sebagai bahan pengawet, termasuk buah-buahan segar seperti limau mandarin, tetapi pada kadar tidak melebihi 30mg/kg.


KUALA LUMPUR: Tiada limau mandarin yang dikesan mengandungi sulfur dioksida,” kata Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah.

Katanya, keyakinan itu berdasarkan pemantauan dilakukan pihaknya sepanjang 2015 hingga tahun lalu dan akan terus memantaunya di pasaran bagi memastikan ia selamat dimakan.

Beliau berkata, Peraturan-Peraturan Makanan 1985 di bawah Akta Makanan 1983 memang membenarkan penggunaan sulfur dioksida sebagai bahan pengawet, termasuk buah-buahan segar seperti limau mandarin, tetapi pada kadar tidak melebihi 30mg/kg.

“Sulfur dioksida sudah dinilai dan disahkan selamat untuk digunakan dalam makanan pada kadar tertentu oleh badan penilai antarabangsa Joint FAO/WHO Expert Committee on Food Additive (JECFA).

“Sulfur dioksida tidak berbahaya kepada manusia apabila digunakan dalam kadar dibenarkan tetapi ia boleh menyebabkan lelah terhadap orang yang sensitif apabila terhidu atau tertelan,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Beliau mengulas berita yang tersebar di laman sosial berkaitan limau mandarin yang didakwa mengandungi sulfur dioksida.

Mengulas lanjut, Noor Hisham berkata, setiap bungkusan makanan untuk jualan termasuk limau mandarin yang ditambah sulfur dioksida lebih daripada 10mg/kg, mesti dilabel dengan pernyataan “mengandungi sulfur dioksida”.

Katanya, ini termaktub di bawah subperaturan 20(6) Peraturan-Peraturan Makanan 1985 dan jika ingkar boleh didenda tidak lebih RM5,000 atau penjara tidak lebih dua tahun.

“Di bawah subperaturan 11(1) (j), Peraturan-Peraturan Makanan 1985, bagi makanan import termasuk limau mandarin, nama serta alamat pembungkus dan pengimport, termasuk nama negara dari mana makanan itu berasal hendaklah dinyatakan pada label.

“Sesiapa membuat pelabelan palsu boleh dikenakan penjara tidak lebih daripada tiga tahun atau denda atau kedua-duanya seperti yang diperuntukkan di bawah Seksyen 16, Akta Makanan 1983,” katanya.

(BHONLINE)



© all rights reserved
made with by templateszoo