Header Ads

DUPP: Pandangan Timbalan Presiden Gerakan Berpotensi Merobekkan Perpaduan Rakyat


" Pandangan Timbalan Presiden Gerakan yang dilaporkan oleh media bahawa sekolah agama adalah ancaman sebenar perpaduan adalah lebih bersifat emosi, rasis dan prejudis. Dewan Ulamak PAS Pusat menasihatkan ahli politik dan pimpinan negara agar lebih berhati-hati dan bertanggungjawab dalam mengeluarkan pandangan secara terbuka." - YB Dato' Dr Mohd Khairuddin bin Aman Razali at-Takiri

Kenyataan Media Ketua Penerangan
Dewan Ulamak PAS Pusat

Pandangan Timbalan Presiden Gerakan Berpotensi Merobekkan Perpaduan Rakyat

1. Kerajaan Persekutuan sememangnya mempunyai tanggungjawab sosial untuk membantu sekolah agama dengan peruntukan kewangan selaras dengan kedudukan Islam sebagai Agama Persekutuan. Apa yang telah dilaksanakan hari ini oleh kerajaan Persekutuan perlu diperkasa dan diperkukuhkan lagi.

2. Sekolah agama di samping menjadi pusat pendidikan akademik berasaskan kurikulum rasmi negara telah berfungsi sebagai pusat pendidikan akhlak dan moral yang membantu kelangsungan pembangunan insan dalam negara sejak puluhan tahun.

3. Sekolah agama juga berfungsi sebagai ejen perpaduan di kalangan rakyat menerusi pengajaran Islam yang sememangnya menekankan aspek perpaduan dan keadilan di kalangan rakyat serta kedamaian sejagat.

4. Hasil pengajaran agama di sekolah agama memberi sumbangan besar melahirkan masyarakat muslim yang sangat bertoleransi sehingga menerima kehadiran pelbagai bangsa, kaum dan agama di negara ini. Ia telah terbukti sepanjang sejarah pembentukan Malaysia.

5. Perpaduan antara rakyat negara ini perlu dipupuk dengan memperkukuhkan kefahaman beragama tentang Islam di kalangan rakyat beragama Islam yang menjadi penduduk majoriti negara Malaysia kerana Islam adalah agama yang mendokong dan mempromosi perpaduan, keadilan dan hak asasi di kalangan manusia berbilang bangsa dan agama.

6. Pandangan Timbalan Presiden Gerakan yang dilaporkan oleh media bahawa sekolah agama adalah ancaman sebenar perpaduan adalah lebih bersifat emosi, rasis dan prejudis. Ia boleh menjadi punca perpecahan di kalangan rakyat negara ini. Malah tidak jauh jika dikatakan ia juga berunsur hasutan yang merosakkan kestabilan bermasyarakat.

7. Dewan Ulamak PAS Pusat menasihatkan ahli politik dan pimpinan negara agar lebih berhati-hati dan bertanggungjawab dalam mengeluarkan pandangan secara terbuka.

Sekian

Dato' Dr Mohd Khairuddin bin Aman Razali at-Takiri
Jumaat 13hb Januari 2017

Sumber: https://pas.org.my/artikel-berita-dupp/10557-kenyataan-media-dupp-pandangan-timbalan-presiden-gerakan-berpotensi-merobekkan-perpaduan-rakyat