NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Hujan dijangka berterusan di Pantai Timur

Hujan sekejap-sekejap kadangkala sederhana lebat dijangka akan berterusan di tiga negeri di pantai timur, hari ini susulan amaran hujan lebat peringkat jingga yang dikeluarkan oleh Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia), semalam.
KUALA LUMPUR: Hujan sekejap-sekejap kadangkala sederhana lebat dijangka akan berterusan di tiga negeri di pantai timur, hari ini susulan amaran hujan lebat peringkat jingga yang dikeluarkan oleh Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia), semalam.

MetMalaysia menerusi laman web yang dikemaskini pada jam 6.10 pagi tadi, melaporkan kawasan yang terbabit adalah di Daerah Maran, Rompin, Pekan, Kuantan dan Jerantut di Pahang serta keseluruhan negeri Terengganu.

Turut terbabit, Daerah Tumpat, Pasir Mas, Kota Bharu, Bachok, Pasir Puteh, Machang, Tanah Merah, Jeli, Kuala Krai dan Gua Musang di Kelantan.

Selain itu, amaran angin kencang dan laut bergelora kategori kedua turut dikeluarkan membabitkan perairan Condore yang mana angin kencang Timur Laut dengan kelajuan 50 hingga 60 kilometer sejam (kmsj) dengan ombak mencapai ketinggian 4.5 meter dijangka berlaku di perairan itu yang mana berbahaya kepada semua aktiviti perkapalan dan pantai termasuk menangkap ikan dan perkhidmatan feri.

Angin kencang Timur Laut dengan kelajuan 40 hingga 50 kmsj dengan ombak mencapai ketinggian sehingga 3.5 meter turut dijangka berlaku di kawasan perairan Samui, Tioman, Reef North, Palawan dan Layang-Layang yang berbahaya kepada bot-bot kecil, rekreasi laut dan sukan laut.

Sementara itu, ribut petir di perairan Tioman, Reef South dan Labuan dijangka berterusan hari ini yang mana keadaan itu boleh menyebabkan angin kencang sehingga 50 kmsj dan laut bergelora dengan ombak mencapai ketinggian sehingga 3.5 meter dan berbahaya kepada bot-bot kecil.

Untuk perairan Malaysia, MetMalaysia turut mengeluarkan amaran kategori pertama yang mana angin kencang Timur Laut dengan kelajuan 40 hingga 50 kmsj dengan ombak mencapai ketinggian sehingga 3.5 meter dijangka berlaku di kawasan perairan Kelantan, Terengganu, Pahang dan Johor Timur.
Katanya, keadaan angin kencang dan laut bergelora ini adalah berbahaya kepada bot-bot kecil, rekreasi laut dan sukan laut.

Ribut petir di perairan Kelantan, Terengganu, Pahang, Johor Timur, Sarawak dan Labuan juga diramal berterusan hari ini, yang mana angin kencang sehingga 50 kmsj dan laut bergelora dengan ombak mencapai ketinggian sehingga 3.5 meter berbahaya kepada bot-bot kecil.

(BHONLINE)

© all rights reserved
made with by templateszoo