Header Ads

GAMIS Komited Sokong H355

Gamis komited untuk membantu himpunan 355 dengan menghantar sebanyak mungkin mahasiswa untuk hadir dalam himpunan tersebut.

Gabungan Mahasiswa Islam, Gamis telah bersama dalam arena politik mahasiswa sejak 1989. Hampir 27 tahun, Gamis bersama rakyat untuk memperjuangkan isu-isu rakyat di Malaysia.

Perjuangan,aspirasi dan hasrat kami masih sama iaitu memastikan Islam dirasai, dijiwai oleh setiap rakyat Malaysia.

Apabila dibentangkan Pindaan Akta 355, GAMIS menyahut usaha baik ini dengan membuat satu kajian bagi mengetahui bagaimana respon dan tahap kefahaman serta penerimaan mahasiswa terhadap pindaan ini.

Hasil kajian yang mendapat hampir tiga ribu responden ini menunjukkan bahawa hampir 96% mahasiswa menerima pindaan Akta tersebut serta ia harus dan wajar disegerakan. Manakala, baki 4% yang lain bukanlah tidak bersetuju dengan pindaan ini namun atas beberapa sebab tertentu.

Antara sebab tertinggi yang telah disenaraikan ialah pindaan Akta 355 bukan isu yang wajar diperjuangkan. Jika diteliti, kali terakhir akta ini dipinda ialah pada tahun 1984  iaitu 3 tahun penjara, Rm5000 denda, 6 kali sebatan.

Soalnya, adakah hukuman ini masih relevan dan realistik setelah hampir 33 tahun akta ini tidak dipinda? Adakah kita masih boleh merasa selesa dengan kebejatan sosial yang berlaku sekarang? Sudah pasti kedua jawapannya tidak.

Justeru itu, Gamis komited untuk membantu himpunan 355 dengan menghantar sebanyak mungkin mahasiswa untuk hadir dalam himpunan tersebut.

Penglibatan mahasiswa dalam arena kenegaraan perlu diteruskan kerana merekalah yang akan mewarisi tampuk kepimpinan akan datang. Usaha dan penggembelengan tenaga semaksimum mungkin akan dilaksanakan bagi menggerakkan seluruh kuasa mahasiswa untuk bersama-sama ke himpunan tersebut serta menyatakan sokongan terhadap pindaan Akta 355 ini.

Sesungguhnya, apa yang kita bincangkan hari ini bukanlah soal kepentingan peribadi mahupun kepentingan organisasi. Namun, apa yang kita bincangkan adalah tentang kepentingan umat Islam serta generasi yang akan datang iaitu merasai suasana kehidupan bernuansakan Islam yang sebenar.

Semoga kehadiran kita dalam himpunan ini memberi satu inspirasi serta hasrat kepada generasi akan datang.

Ayuh bersama mahasiswa!

'Melangkah Bersama Islam'

[Ringkasan ucapan Presiden GAMIS di Roadshow H355 Wilayah Persekutuan]