NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Disebalik Gesaan ‘SATU Lawan Satu’

Ada yang satu lawan satu menguntungkan kita, ada satu lawan satu menjahanamkan kita, ini kena faham. PAS tidak melihat teori ‘Satu Lawan Satu’ sebagai bacaan di atas kertas semata tetapi juga di bawah kertas di mana ia mempunyai situasi tersurat dan tersirat - Dato' Seri Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang

Oleh IZWAN ABDUL HALIM
izwan@harakah.net.my

SHAH ALAM: PAS tidak melihat teori ‘Satu Lawan Satu’ sebagai bacaan di atas kertas semata tetapi juga di bawah kertas di mana ia mempunyai situasi tersurat dan tersirat, demikian menurut Presiden PAS, Dato’ Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang.

“Ada yang satu lawan satu menguntungkan kita, ada satu lawan satu menjahanamkan kita, ini kena faham. Ini terpulang kepada pengamal politik, kalau saya sebut benda yang strategik, mungkin ramai rakan-rakan yang tersentak benda ini,” ujarnya pada majlis Dialog & Hi-Tea NGO Islam di Hotel UiTM, di sini 9 Januari lalu

Tersirat katanya, terdapat kalangan yang mahukan ‘Satu Lawan Satu’ kerana ingin mempertahankan 50 kerusi bukan Islam dan kemudian melakukan perubahan kerusi-kerusi diwakili Islam sebelum ini.

Terangnya, perlu disedari bahawa jumlah orang Islam di negara ini sudah melonjak kepada 65 peratus dan bukan Islam berbaki hanya 35 peratus, di mana berbanding BN, imbangan tidak berlaku dalam Pakatan Rakyat dahulu yang majoriti kerusi berada pada bukan Islam, menjadikan Islam minoriti.

Akui beliau, perubahan politik mesti dilakukan, namun malangnya masyarakat Malaysia tidak berminat dengan perubahan, berbeza dari negara-negara bukan Islam yang peka mengenai politik. 

Contohnya ujar Tuan Gurum masyarakat di United Kingdom tidak mengizinkan mana-mana parti memerintah melakukan kesilapan dan mereka akan menukar kerajaan termasuk berlaku Kerajaan Campuran kerana mahukan perubahan politik. 

Malah kesalinya, ramai orang Melayu-Islam tidak berminat dengan politik sedangkan perkara itu membahayakan sebagaimana pesanan Imam Ghazali bahawa ad-Din yakni agama adalah asas kehidupan manusia dan kuasa pemerintahan politik adalah pengawalnya, di mana agama akan runtuh tanpa kuasa politik.

“Ini bahayanya kita kena sedar, perlu beri perhatian kepada masalah politik, kita kena sedar. Islam mengajar kita, kalau kita membuat perubahan daripada zalim kepada adil. Jangan daripada zalim kepada yang lebih zalim, ini  kena faham. Dengan sebab itu Nabi menyuruh kita mencegah kemungkaran, sekiranya tidak (akan) berlaku kemungkaran yang lebih besar. 

“Ini dapat dinilai oleh pengamal-pengamal yang memahami secara mendalam. Sebarang perubahan mestilah perubahan yang membawa kepada yang makruf. Bukan mencegah mungkar membawa mungkar yang lebih besar. Mungkar ini bukan sahaja rasuah, bukan sahaja dosa-dosa maksiat, minum arak, berjudi, (tetapi) termasuk mungkar politik,” jelasnya. 

Tegas Tuan Guru, mungkar politik lebih bahaya daripada rasuah kerana banyak perkara dalam politik, sebab itulah perlu disedari bahaya kepada 65 peratus umat Islam andai kerusi dan kuasa politik Islam tergugat. 

Pun begitu nasihatnya, dalam melakukan perubahan politik perlu difahami budaya politik orang Melayu Islam di negara ini yang tidak boleh diubah dengan menggunakan pendekatan keras, drastik atau agresif. 

Kerana hujahnya, masyarakat di sebelah Selatan Benua Asia menganut Islam tanpa perang, berbeza dari masyarakat di belah Utara yang masuk Islam kerana peperangan.
© all rights reserved
made with by templateszoo