NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

DAP jangan 'gila talak' - Pemuda PAS

Dewan Pemuda PAS menyokong penuh pendirian Presidennya yang menutup terus pintu kepada DAP yang pandai berpura-pura suci.


KUALA LUMPUR: DAP diminta tidak bersikap ‘gila talak’ dan berhenti memaksa PAS menerima lamaran palsu mereka yang kononnya mahu menjalin kembali kerjasama dengan parti Islam berkenaan.

Naib Ketua Dewan Pemuda PAS, Ir Khairilnizam Khirudin, berkata DAP khususnya Lim Kit Siang perlu belajar menerima hakikat dan menghormati pendirian PAS yang sudah serik untuk bekerjasama dengan DAP.

Katanya, Dewan Pemuda PAS menyokong penuh pendirian Presidennya yang menutup terus pintu kepada DAP yang pandai berpura-pura suci.

“Sesungguhnya, sejarah tidak pernah menipu dan PAS tidak mudah lupa. DAP tidak pernah berhenti menghalang dan menghina prinsip perjuangan PAS. Dasar dan agenda PAS sejak dulu sehingga sekarang tidak pernah berubah iaitu mengangkat martabat Islam di Malaysia.

“DAP mengaku sebagai parti demokratik, tetapi parti itulah yang paling tegar menentang usaha Presiden PAS yang mengusulkan pindaan Rang Undang-Undang (RUU) 355, Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) (Pindaan) 2016 .

“Usul Pindaan terbabit dicadangkan di Parlimen, institusi agung demokrasi tetapi malangnya ia ditentang hebat oleh sebuah parti yang kononnya menjunjung demokrasi,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Sehubungan itu, Khairilnizam berkata, pihaknya berdiri teguh mempertahankan Datuk Seri Abdul Hadi Awang daripada serangan berterusan DAP, khususnya Kit Siang.

Katanya, ancaman saman oleh Kit Siang juga sedikit pun tidak menggentarkan PAS, bahkan menzahirkan lagi watak sebenar Ketua Ahli Parlimen DAP itu.

“Serangan fitnah dan persepsi jahat yang disebar oleh DAP terhadap Presiden kami bukanlah perkara baharu. Di ambang Muktamar Pemilihan PAS tahun 2015 lalu, DAP begitu giat campur tangan hal dalaman PAS bagi menjayakan misinya menjatuhkan kepemimpinan Presiden. DAP mahukan kepemimpinan PAS yang sedia ada tunduk patuh dan taat setia kepada Pakatan Rakyat ketika itu.

“Namun, apabila misi DAP mahu menukar kepemimpinan PAS gagal, ditubuhkan pula Parti Amanah Negara (PAN) bagi merobek kekuatan PAS. Namun, rancangan mereka gagal dan PAS tetap teguh, bahkan kian kukuh hari ini.

“PAN pula kini semakin dipandang sepi hingga ada kepemimpinan Pakatan Harapan sendiri yang mencadangkan supaya PAN dibubarkan saja, seolah-olah memberi isyarat kewujudan PAN itu tidak bernilai langsung,” katanya. (BHONLINE)




Kenyataan Media

Pemuda PAS Teguh Mempertahan Tuan Guru Presiden PAS Daripada Serangan DAP

1. Dewan Pemuda PAS Malaysia berdiri teguh mempertahankan Presiden PAS, Dato’ Seri Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang daripada serangan berterusan DAP khususnya Lim Kit Siang. Ancaman saman oleh Lim Kit Siang itu sedikit pun tidak menggentarkan PAS bahkan ia menzahirkan lagi siapa watak sebenar Penasihat DAP itu.?

2. Serangan fitnah dan persepsi jahat yang disebar oleh DAP terhadap Tuan Guru Presiden PAS bukanlah perkara baru. Pada ambang Muktamar Pemilihan PAS tahun 2015 dulu, DAP begitu giat campurtangan hal dalaman PAS bagi menjayakan misinya menjatuhkan kepimpinan Dato’ Seri Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang. DAP mahukan kepimpinan PAS yang sedia tunduk patuh dan taat setia kepada Pakatan Rakyat ketika itu.

3. Namun, apabila misi DAP mahu menukarkan kepimpinan PAS gagal, ditubuhkan pula PAN bagi merobek kekuatan PAS. Allah Maha Besar. Perancangan mereka gagal buat kesekian kalinya. PAS tetap teguh bahkan kian kukuh hari ini. PAN pula semakin dipandang sepi sehingga ada pimpinan Pakatan Harapan sendiri yang mencadangkan agar dibubarkan sahaja PAN itu seolah memberi isyarat kewujudan PAN itu tidak bernilai langsung.

4. Seterusnya, Lim Kit Siang mengubah strateginya lagi sehingga sanggup menjilat kembali ludahnya. Maka, dihulurkanlah “salam olive branch” kepada Tuan Guru Presiden PAS sebagai tanda mahu berdamai kononnya. Malang sekali, DAP menyangka PAS ini begitu mudah terpedaya dengan wayang opera palsu yang juga merupakan taktik lama DAP hendak mempergunakan PAS bagi meraih sokongan Melayu-Islam menjelang PRU 14.

5. Dewan Pemuda PAS Malaysia menyokong penuh pendirian Tuan Guru Presiden PAS yang menutup terus pintu kepada DAP yang pandai berpura-pura suci ini. Sesungguhnya, sejarah tidak pernah menipu dan PAS tidak mudah lupa . DAP tidak pernah berhenti menghalang dan menghina prinsip perjuangan PAS. Dasar dan agenda PAS semenjak dahulu sehingga sekarang tidak pernah berubah, iaitu mengangkat martabat syariat Islam di bumi Malaysia ini.

DAP mengaku sebagai parti demokratik, tetapi parti itulah yang paling tegar menentang usaha Tuan Guru Presiden PAS yang mengusulkan pindaan Akta 355 Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah). Usul Pindaan tersebut dicadangkan di Parlimen, institusi agung demokrasi tetapi malangnya ia ditentang hebat oleh sebuah parti yang kononnya menjunjung demokrasi.

6. Kami warga Pemuda PAS seluruh Malaysia tidak akan pernah duduk diam dan memerhati sahaja serangan bertubi dilancarkan oleh DAP terhadap Tuan Guru Presiden PAS.
Kepada Lim Kit Siang, belajarlah terima hakikat dan menghormati pendirian PAS yang sudah serik untuk bekerjasama dengan DAP. Usahlah DAP bersikap seperti “gila talak”, berhentilah memaksa PAS menerima lamaran palsu itu.

Ir Haji Khairilnizam Khirudin
Naib Ketua Dewan Pemuda PAS Malaysia
30 Januari 2017



© all rights reserved
made with by templateszoo