PAS ketika ini bertempur dengan Umno dan BN di semua peringkat. Kita memang ada pertempuran sekarang ini. Memang berlaga dengan Umno di semua peringkat.Jadi tak betullah jika katakan PAS tak hadir ke majlis pelancaran kerana nak adakan kerjasama politik dan sebagainya dengan BN.


PUCHONG – Ketidakhadiran pimpinan parti Pas pada Majlis Pelancaran Bersatu di Stadium Malawati, malam Sabtu lalu bukan disebabkan sayang kepada Pengerusi BN, Datuk Seri Najib Tun Razak dan ingin bersekongkol dengan parti itu.
Sebaliknya, keputusan dibuat disebabkan kehadiran Parti Amanah Negara (Amanah) dan DAP pada majlis tersebut.

Naib Presiden Pas, Datuk Iskandar Abdul Samad berkata, Pas tidak mempunyai hubungan politik dengan kedua-dua parti tersebut menyebabkan pimpinan sebulat suara mengambil keputusan tidak hadir ke pelancaran parti Bersatu.

Iskandar berkata, pihaknya kecewa pelbagai tuduhan dan dakwaan dilempar kepada Pas kerana isu ‘tidak hadir’ tersebut termasuk mengatakan ia seolah-olah menghina Pengerusi Bersatu, Tun Dr Mahathir Mohamad dan parti-parti pembangkang lain.

“Kita tidak hadir kerana kebetulan sebahagian kami ada urusan lain, saya dapat tahu Tun M mengatakan Pas seolah-olah hanya berpura-pura melawan Umno dan nak pecah-belahkan undi supaya BN menang.

“Tun tak patut katakan demikian kerana ahli Pas dah banyak jadi mangsa kezaliman Umno dan BN,” katanya.  

Beliau berkata, Pas ketika ini bertempur dengan Umno dan BN di semua peringkat.

“Kita memang ada pertempuran sekarang ini… memang berlaga dengan Umno di semua peringkat.
"Jadi tak betullah jika katakan Pas tak hadir ke majlis pelancaran kerana nak adakan kerjasama politik dan sebagainya dengan BN. Ketidakhadiran kami hanyalah perkara kecil,” katanya.

Iskandar berkata, Pas tiada masalah untuk menjemput pemimpin parti itu untuk bersama-sama dalam program dianjur mereka.

"Kita pernah jemput, Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin dalam program dianjur dan bakal mengadakan program bersama Timbalan Presiden Bersatu, Datuk Seri Mukhriz Mahathir dalam masa terdekat.

“Kita tiada masalah dari segi hubungan dengan Bersatu, jadi tidak betul dakwaan dilempar kepada kami.

“Mereka yang tuduh kami sayang BN dan Umno perlu kaji semula sejarah politik Malaysia, lihat apa yang dilalui Pas, memang kita tak akan lupa apa yang dilakukan oleh kerajaan Umno/Barisan Nasional,” katanya.