Header Ads

Awas Maklumat Risikan & Propaganda Media Barat

Maklumat risikan rekacipta dan propaganda media negara kuasa besar ini diangkat sebagai fakta yang dikelirukan terhadap umat Islam. 

KUALA LUMPUR – PAS meminta umat Islam supaya berhati-hati dengan maklumat risikan reka cipta dan propaganda media negara kuasa besar dunia yang bertujuan mengelirukan umat Islam.

Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang berkata, maklumat risikan reka cipta dan propaganda media asing itu akan diangkat sebagai fakta untuk mencapai tujuan seperti yang berlaku di Syria.

“Umat Islam mestilah cermat memahami bahawa apa yang berlaku adalah campurtangan strategik kuasa besar dunia untuk mewujudkan ketidakstabilan di bumi Syria sebagai tindakan menjaga kepentingan keselamatan Israel di rantau itu.

“Maklumat risikan rekacipta dan propaganda media negara kuasa besar ini diangkat sebagai fakta yang dikelirukan terhadap umat Islam. Negara-negara Arab seterusnya ditiupkan adu domba api peperangan Sunni-Syiah.

“Percaturan kompleks geo-politik sebegini memerlukan kefahaman dalam kalangan umat Islam supaya tidak dikelirukan oleh agenda zionis dan kepentingan mereka,” katanya dalam satu kenyataan semalam.

Justeru, kata Abdul Hadi, PAS mendesak supaya negara antarabangsa bertindak memastikan keadaan keselamatan di Syaria terpelihara dan kezaliman serta pembunuhan dinegara itu disiasat. – MYNEWSHUB.CC

Kenyataan Media Presiden PAS
PAS Alukan Gencatan Senjata Di Syria

Parti Islam Se-Malaysia (PAS) mengalu-alukan dengan positif perkembangan terkini proses gencatan senjata yang dipersetujui di kalangan pihak yang bertempur di Syria sebagaimana yang dilaporkan agensi media antarabangsa.
Umat Islam juga mestilah cermat memahami bahawa apa yang berlaku adalah campurtangan strategik kuasa besar dunia untuk mewujudkan ketidakstabilan di bumi Syria sebagai tindakan menjaga kepentingan keselamatan Israel di rantau itu. Maklumat risikan rekacipta dan propaganda media negara kuasa besar ini diangkat sebagai fakta yang dikelirukan terhadap umat Islam. Negara-negara Arab dipergunakan sebagai proksi dengan cagaran mempertahankan takhta kerajaan masing-masing sebagai umpannya dan seterusnya ditiupkan adu domba api peperangan Sunni-Syiah. Percaturan kompleks geo-politik sebegini memerlukan kefahaman di kalangan umat Islam supaya tidak dikelirukan oleh agenda zionis dan kepentingan mereka.
Secara umumnya PAS melihat keadaan yang tegang dan berdarah di bumi Syria sememangnya perlu dihentikan segera, kesejahteraan rakyat awam di kembalikan, dan pada masa yang sama sebarang cubaan provokasi jahat untuk menggagalkan gencatan ini mestilah dihalang dari berlaku terutamanya pada masa yang sangat kritikal ini. Formula ini adalah antara syarat awal dalam memastikan gencatan ini dapat dipertahankan.
Apabila keadaan keselamatan lebih terpelihara, maka baharulah isu berkaitan dengan kezaliman dan pembunuhan semasa tragedi berdarah ini berlaku mestilah disiasat dan diambil langkah konstruktif seterusnya yang bersesuaian dengan protokol undang-undang yang diterima diperingkat antarabangsa.
"Inilah Penyelesaian Kita"
ABDUL HADI AWANG
Presiden PAS
30 Rabiul Awwal 1438H / 30 Disember 2016M