Header Ads

Abang Jo Mulakan Tugas KM Sarawak


PETRA JAYA: Datuk Amar Abang Johari Abang Openg memulakan tugas rasmi sebagai Ketua Menteri di Wisma Bapa Malaysia, di sini pagi ini.


Ketibaan Abang Johari, 67, menggunakan kenderaan rasminya pada jam 9.10 pagi disambut Setiausaha Kerajaan Negeri Sarawak, Tan Sri Mohamad Morshidi Abdul Ghani.


Abang Johari kemudian terus ke Pejabat Ketua Menteri Sarawak di Aras 22, Wisma Bapa Malaysia.


Beliau mengangkat sumpah sebagai Ketua Menteri Sarawak keenam Jumaat lalu, berikutan kematian Tan Sri Adenan Satem akibat komplikasi jantung, 11 Januari lalu.


Abang Johari yang turut menjalankan tugas Presiden Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) dan Pengerusi Barisan Nasional (BN) Sarawak, memulakan tugas rasminya dengan membaca Al-Fatihah dan doa selamat sebagai memperingati Adenan. - BH