NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Trump hadapi ujian pertama

Hubungan Donald Trump dengan wakil-wakil rakyat daripada Parti Republikan menghadapi ujian awal selepas mereka meminta siasatan dilakukan berhubung dakwaan Agensi Perisikan Pusat (CIA) bahawa Rusia campur tangan dalam pilihan raya Presiden November lalu. Mereka juga mempertikaikan kewajaran Trump mencalonkan Tillerson untuk jawatan Setiausaha Negara berikutan calon berkenaan mempunyai hubungan perniagaan dengan Moscow dan mempunyai hubungan peribadi yang rapat dengan Pre­siden Rusia, Vladimir Putin.

NEW YORK – Hubungan bakal Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump dengan wakil-wakil rakyat daripada partinya, Parti Republikan menghadapi ujian awal selepas mereka meminta siasatan dilakukan berhubung dakwaan Agensi Perisikan Pusat (CIA) bahawa Rusia campur tangan dalam pilihan raya Presiden November lalu.

Mereka juga mengeluarkan amaran berhubung calon pilihan Trump untuk jawatan Setiausaha Negara.

Trump kelmarin berkata, dakwaan CIA tentang campur tangan Rusia baru-baru ini adalah ‘tidak munasabah’.

Beliau juga memuji Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) ExxonMobil, Rex Tillerson yang menjadi pilihan utamanya untuk memegang jawatan Setiausaha Negara AS walaupun mendapat tentangan daripada pemimpin Republikan lain.

Dua pemim­pin utama Republikan dalam Senat, John McCain dari Arizona dan Lindsey Graham yang mewakili Carolina Selatan menyertai dua pemimpin Parti Demokrat untuk meminta siasatan dilakukan berhubung dakwaan campur tangan Kremlin semasa pilihan raya November lalu.

McCain juga mempertikaikan kewajaran Trump mencalonkan Tillerson untuk jawatan Setiausaha Negara berikutan calon berkenaan mempunyai hubungan perniagaan sejak sekian lama dengan Moscow.

“Ia satu perkara yang membimbangkan bagi saya kerana beliau mempunyai hubungan peribadi yang rapat dengan Pre­siden Rusia, Vladimir Putin.

“Sangat jelas mereka melakukan banyak kerjasama besar secara bersama,” kata McCain yang merujuk kepada Tillerson.

Rusia dipercayai menjadi isu utama minggu ini apabila Trump dijadualkan menamakan lebih ramai anggota Kabinet beliau bagi mengisi kekosongan termasuk di Jabatan Tenaga, Pertanian dan Hal Ehwal Veteran.

Trump sebelum ini tidak menentang gesaan siasatan tentang isu penggodaman semasa kempen pilihan raya Presiden 2016 tetapi berkata, ia tidak sepatutnya memberi tumpuan kepada Rusia sahaja.

“Jika anda mahu melakukannya (menyiasat), saya berpendapat anda tidak seharusnya me­nuding jari kepada Rusia sahaja. Anda perlu menyiasat negara lain juga mungkin individu lain,” kata Trump. – Agensi

Sumber: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2016&dt=1213&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_01.htm
© all rights reserved
made with by templateszoo