Suu Kyi pengganas antarabangsa - DMDI - 1Media.My

Header Ads

Suu Kyi pengganas antarabangsa - DMDI

Penerima Hadiah Nobel Keamanan ini yang sanggup menutup mata, mulut dan telinga daripada melihat dan mendengar penderitaan Muslim Rohingya. Dia juga sudah menyinggung umat Islam dunia apabila melarang dan tidak mengiktiraf Rohingya, sekali gus mengharamkan penggunaan nama etnik itu di negaranya.


KUALA LUMPUR: Dunia Melayu Dunia Islam (DMDI) melabelkan Kaunselor Myanmar, Aung San Suu Kyi sebagai pengganas antarabangsa kerana tidak mempedulikan nasib rakyatnya sendiri.


Presiden DMDI, Tan Sri Ali Rustam, berkata penerima Hadiah Nobel Keamanan yang selama ini dilihat sebagai pejuang keamanan, demokrasi dan kemanusiaan secara tiba-tiba berubah pendirian.


Katanya, pemimpin Myanmar itu sudah menyinggung umat Islam dunia apabila melarang dan tidak mengiktiraf Rohingya, sekali gus mengharamkan penggunaan nama etnik itu di negaranya berdasarkan ucapan pada Mei lalu.


“DMDI rasa terkejut dengan sikap penerima Hadiah Nobel Keamanan ini yang sanggup menutup mata, mulut dan telinga daripada melihat dan mendengar penderitaan Muslim Rohingya.


“Suu Kyi turut mendakwa bahawa ketegangan ini berpunca daripada wujudnya kelompok Muslim yang mahu memperjuangkan kemerdekaan Wilayah Arakan.


“Justeru, DMDI berikrar menggunakan segala kekuatannya di 20 negara anggota seluruh dunia bagi menekan kerajaan Myanmar sehingga mereka bersedia meminda Perlembagaan 1982 dengan mengiktiraf Rohingya sebagai warga negara, sekali gus menghentikan keganasan yang berlaku,” katanya.


Beliau berkata demikian ketika berucap pada Forum Antarabangsa Rohingya: Stop Genocide di Dewan Perdana Felda di sini, hari ini.


Forum anjuran DMDI itu dihadiri seramai 1,200 peserta dengan menampilkan lima panel terdiri daripada Presiden Pertubuhan Kebajikan Serantau Muslim, Dr Raja Ahmad Iskandar Raja Yaacob; Presiden Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS), Zambri Mohd Isa; Presiden Pertubuhan Hak Asasi Manusia Etnik Rohingya Myanmar Malaysia (MERHOM), Zafar Ahmad Abdul Ghani; Pengerusi Majlis Ulama Rohingya, Mohd Jaber Mohd Subahan; dan Rektor Kolej Universiti Insaniah, Prof Datuk Dr Fakhrudin Abdul Mukti.


Mengulas lanjut, Ali berkata DNDI bercadang akan menghantar satu memorandum pada persidangan Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) di ibu negara ini tidak lama lagi supaya tahun 2017 dijadikan sebagai Tahun Solidariti Rohingya dalam usaha mendapat perhatian dunia.


“Saya bersama sekretariat akan berbincang dengan Kementerian Luar, Jabatan Perdana Menteri dan OIC supaya cadangan itu menjadi kenyataan,” katanya.


Sumber: http://www.bharian.com.my/node/223457


Photo - AFP