Header Ads

Salah Tafsir Penggunaan Ganja dalam Perubatan

masalah ketagihan terhadap ganja merupakan masalah yang serius di peringkat global dan bukan sesuatu yang boleh dipandang ringan


Salah Tafsir Penggunaan Ganja dalam Perubatan

Oleh: En Fahmi Hassan |
Ketua Penolong Pengarah
Bahagian Perkhidmatan Farmasi
Kementerian Kesihatan Malaysia

Penggunaan ganja atau kanabis telah direkodkan dalam sumber-sumber sejarah sejak ribuan tahun yang lampau. Pada zaman dahulu, selain digunakan sebagai ubat pelali, ia juga digunakan dalam ritual-ritual keagamaan dan spiritual. Akibat dari kesan khayal ganja, penggunanya pada zaman kuno dikatakan berupaya “meramal” masa depan dan melihat perkara-perkara ghaib apabila ia digunakan sewaktu bermeditasi.

Kesan khayal ganja berpunca daripada kesan psikoaktif bahan aktif di dalam ganja yang dikenali sebagai tetrahydrocannabinol. Bahan ini boleh mendatangkan kesan yang pelbagai kepada manusia. Pada dos tertentu, ia boleh menyebabkan kesan depresi kepada sistem pemikiran manusia. Kesan depresi ini akan menyebabkan sistem saraf manusia direndahkan. Keadaan ini akan menimbulkan perasaan ‘tenang’ dan mengantuk kepada penggunanya.

Pada dos yang lebih tinggi, bahan aktif tersebut akan menyebabkan halusinasi kepada pengguna. Kesan halusinasi ini akan menyebabkan pengguna terpisah daripada dunia nyata dan menyebabkan mereka terkeliru diantara alam realiti dan alam fantasi yang tercipta akibat kesan khayal. Kesan ini boleh menimbulkan rasa keseronokan atau euphoria yang seterusnya akan menyebabkan ketagihan.
Dewasa ini, terdapat beberapa pihak dalam negara ini telah menyuarakan hasrat mereka supaya penggunaan ganja dibenarkan. Alasan yang diberikan adalah; ganja mempunyai khasiat perubatan yang berupaya menyembuhkan pelbagai jenis penyakit.

Namun, setelah diperhalusi, didapati terdapat kecelaruan di dalam pemahaman mereka terhadap penggunaan ganja bagi tujuan perubatan.

Terma “medical marijuana” atau ganja bagi tujuan perubatan mempunyai tafsiran berbeza di antara pengkaji sains dan perubatan dan juga orang awam. Dalam dunia saintifik, “medical marijuana” adalah ubat-ubatan yang mengandungi bahan aktif ganja seperti cannabidiol yang dihasilkan setelah terdapat bukti kukuh melalui kajian-kajian makmal dan klinikal yang menunjukkan ia boleh mendatangkan faedah perubatan terhadap pesakit.

Ubat-ubatan tersebut telah diketahui kaedah penggunaan, dos, keselamatan dan kawalan terhadap kesan sampingan. Ubat-ubatan begini perlu dipreskripsikan oleh doktor dan penggunaannya perlu diselia bagi memastikan keberkesanannya terjamin.

Walaubagaimanapun, bagi sesetengah pihak, tafsiran bagi terma tersebut adalah berbeza. Mereka beranggapan, ganja dalam bentuk asal atau ekstraknya yang digunapakai dengan cara sedutan atau dimakan dengan hasrat untuk mendapatkan kesan positif terhadap kesihatan. Namun dakwaan ini belum dapat dibuktikan melalui kajian-kajian makmal dan klinikal.

Selain daripada itu, perkara ini merupakan satu kesalahan jenayah berat seperti yang termaktub bawah Akta Dadah Berbahaya 1952. Penggunaan seperti ini amat mudah disalahguna dan bakal menyebabkan masalah kesihatan dan sosial yang serius.

Sesetengah pihak cuba memperkecilkan kesan sampingan ganja terhadap kesihatan dan kesan ketagihan ganja terhadap pengguna. Mereka berpendapat bahawa faedah perubatan ganja adalah lebih besar daripada risiko penyalahgunaannya. Walaubagaimanapun, mereka lupa bahawa ubat-ubatan berasaskan ganja sebenarnya diiktiraf oleh dunia perubatan sekiranya ia dapat dibuktikan melalui kajian-kajian yang berkualiti. Ubat-ubatan tersebut telah digunakan di hospital-hospital dalam bentuk yang boleh merawat pesakit tanpa mendatangkan kesan khayal yang boleh menyebabkan ketagihan dan kesan sampingan yang lain.

Mengikut kajian yang dijalankan di Amerika Syarikat pada tahun 2013, terdapat lebih 800,000 penduduknya yang berumur 12 tahun dan keatas telah mendapatkan rawatan disebabkan oleh ketagihan terhadap ganja. Didapati 10% daripada mereka yang menyalahguna dadah berunsur ganja mempunyai ketagihan yang teruk ke atas penggunaan tersebut. Kajian tersebut juga menunjukkan daripada 6.9 juta orang yang menyalahgunakan dadah, 4.2 juta daripadanya adalah penyalahgunaan dadah berunsur ganja.

Selain daripada ketagihan, penyalahgunaan ganja juga telah dibuktikan melalui kajian-kajian perubatan berupaya mendatangkan masalah psikologi dan mental terhadap penggunanya. Semakin lama penyalahgunaan itu berlaku, kesan kesihatan mental yang bakal diperolehi juga akan menjadi lebih teruk. Terdapat juga kajian-kajian yang menunjukkan penyalahgunaan tersebut bakal mendatangkan kesan terhadap institusi pendidikan, keluarga dan masyarakat.

Justeru, keadaan ini menunjukkan masalah ketagihan terhadap ganja merupakan masalah yang serius di peringkat global dan bukan sesuatu yang boleh dipandang ringan. Desakan dari kumpulan-kumpulan yang ingin menghalalkan penggunaan ganja bakal mendatangkan masalah serius yang akan menyebabkan kerugian terhadap negara. Masyarakat seharusnya menolak dakyah-dakyah begini bagi memastikan taraf kesihatan fizikal dan mental masyarakat dapat dilindungi daripada masalah ketagihan yang baru.

Dari sudut keagamaan, penggunaan ganja telah difatwakan haram oleh Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan yang bersidang kali Ke-76 pada 21 – 23 Nov 2006. Pengharaman ini sepatutnya menjadi dalil yang kuat bagi masyarakat Islam khususnya untuk menolak sekeras-kerasnya usaha untuk menghalalkan penggunaan ganja di Malaysia.

Secara kesimpulannya, penggunaan ubat-ubatan berasaskan ganja tidak dinafikan penggunaannya oleh dunia perubatan sekiranya khasiat perubatannya telah dibuktikan melalui kajian-kajian yang berkualiti. Walaubagaimanapun, penggunaannya dalam bentuk asal untuk dihisap atau dimakan yang dikaitkan dengan khasiat perubatan tanpa kajian yang kukuh adalah ditolak kerana ia bakal menyebabkan kesan sampingan yang lebih buruk.

Oleh yang demikian masyarakat seharusnya tidak tertipu dengan mereka yang ingin menggunakan ganja untuk tujuan rekreasi tetapi berselindung di sebalik alasan perubatan. Orang awam boleh menghubungi Pusat Panggilan Farmasi Kebangsaan di 1 800 88 6722 sekiranya ingin bertanya mengenai soalan-soalan berkaitan ubat-ubatan.

Fahmi Hassan
Ketua Penolong Pengarah
Bahagian Perkhidmatan Farmasi
Kementerian Kesihatan Malaysia
(Harian Metro, 28 Febuari 2016)