NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Pesanan Pemuda Buat Orang Muda

Anak muda, Seimbangkan langkahmu dengan akal agar tidak mudah musuh menyangkal antara syariat dan logik akal. Panji Islam jadikan sandaran paksi memandu kehidupan insan menjadi satu kewajipan bukan pilihan.

Anak muda,
Dunia semakin penat dan tenat.
Ada ketika hilang punca 
adakala penuh muslihat mempersona..

Anak muda..
Jangan sekali menyangka dunia indah belaka,
jangan bermimpi dunia miliki segalanya,
jangan gembira dengan kemewahan dunia,
dunia bukan tempat kita selamanya..

Anak muda,
Dunia terus menjerut minda manusia
lantas kawalan deria beku
buta menilai kilauan permata
tuli mendengar kebenaran Maha Pencipta
bisu menutur bicara perjuangan.

Anak muda,
Dunia semakin mendaki usia tuanya
dimamah masa bersahaja
tidak mampu menarik kembali suka dan duka
tidak berdaya bangkit dari belenggu nafsu yang memenjara
seakan terkulai di lembah dusta.

Anak muda,
Seimbangkan langkahmu dengan akal
agar tidak mudah musuh menyangkal
antara syariat dan logik akal
Panji Islam jadikan sandaran
paksi memandu kehidupan insan
menjadi satu kewajipan bukan pilihan.

Anak muda,
Resam dunia tidak pernah ke mana
hanya kebebasan slogan dijaja
bebas sehingga langgar batas kewarasan minda
yang kaya bermaharajalela
berkuasa bertakhta dengan bongkaknya,
Sedangkan miskin menagih simpati
kais pagi makan pagi
bermimpi sinar pelangi menjadi realiti.

Anak muda,
Nasihat budi untuk dikongsi
menyentuh naluri menjentik hati
jauh sekali menungding jari
untuk dihayati dimana fungsi
akal kurniaan ilahi..

Oleh: Walid Ameerul Haq
Tasek Mewah..
© all rights reserved
made with by templateszoo