NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Panglima ATM jumpa rakan sejawat, Presiden Myanmar sebelum bersara

Perjumpaan sempena rangka lawatan perpisahan dengan rakan sejawatannya terutama di kalangan negara ASEAN sebelum bersara. Beliau turut menyampaikan rasa khuatir dan gusar dengan apa yang berlaku ke atas kaum Rohingya di Myanmar kerana ia boleh mewujudkan satu keadaan yang dieksploitasikan oleh Daesh.


KUALA LUMPUR: Angkatan Tentera Malaysia (ATM) hari ini menjelaskan perjumpaan Panglima ATM, Jeneral Tan Sri Zulkifeli Mohd Zin dengan Panglima Angkatan Tentera Myanmar, Jeneral Ming Aung Hlaing, Isnin lalu adalah sempena rangka lawatan perpisahan beliau dengan rakan sejawatannya terutama di kalangan negara ASEAN sebelum bersara.

Bahagian Hal Ehwal Awam (J7) Markas ATM, menerusi satu kenyataan, hari ini memberitahu, pada perjumpaan itu, Zulkifeli mengutarakan isu ancaman Daesh terhadap Malaysia dan juga negara-negara serantau yang berhampiran kepada rakan sejawatannya itu.

Katanya, Zulkifeli memaklumkan bahawa ancaman yang dibawa kumpulan militan itu adalah ancaman yang nyata dan Malaysia amat memandang serius perkara itu.

“Justeru, beliau menekankan kerjasama antara semua negara ASEAN amat diperlukan untuk menangani ancaman Daesh di rantau ini.

“Pada masa sama, beliau turut menyampaikan rasa khuatir dan gusar dengan apa yang berlaku ke atas kaum Rohingya di Myanmar kerana ia boleh mewujudkan satu keadaan yang dieksploitasikan oleh Daesh untuk memperkembangkan pengarah dan kuasa mereka di rantau Asia Tenggara,” katanya.

Katanya, Zulkifeli turut menyampaikan pandangan yang sama kepada Presiden Myanmar, Htin Kyaw ketika mengadakan pertemuan dengan presiden itu di kediamannya di Naypyitaw, Myanmar, pada hari yang sama.

Zulkifeli yang dilantik sebagai Panglima ATM sejak 15 Jun 2011 akan bersara berkuat kuasa 16 Disember ini dan tempatnya akan digantikan dengan Panglima Tentera Darat, Jeneral Tan Sri Raja Mohamed Affandi Raja Mohamed Noor.

Sumber: http://www.bharian.com.my/node/221386

Kredit photo - EPA


© all rights reserved
made with by templateszoo