NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

PAN tidak akan secemerlang PAS, kata penganalisis


PAS sudah ada satu jalan dengan bergerak sendiri dan kemudian meletakkan satu syarat bahawa PAS boleh berpakat dengan mana-mana parti yang boleh memperjuangkan Islam.
Ditulis Oleh  Azizul Osman

SHAH ALAM: Kewujudan PAN tidak akan mampu menyaingi PAS khususnya daripada segi perolehan kerusi dalam Pilihan Raya Umum ke 14 (PRU14) akan datang, demikian pandangan seorang penganalisis politik Syed Agil Syed Alsagoff.

Malah katanya penubuhan parti serpihan itu hanyalah satu 'taktik' pihak pembangkang dalam memastikan mereka terus mendapat undi masyarakat terutamanya Melayu Islam.

"PAN tidak akan mencapai satu kejayaan secemerlang PAS kerana PAS diwujudkan bertahun-tahun dan merupakan parti lama berada dalam arena politik.  

"Saya tidak menyatakan PAN adalah liabiliti (kepada PH) tetapi ia merupakan satu percubaan baru bagi PH untuk menarik sokongan pengundi terhadap gabungan tersebut," katanya ketika dihubungi Antarapos.

PAN pada ketika ini mempunyai enam kerusi Parlimen dan tujuh kerusi DUN yang dimenangi atas tiket PAS pada PRU13 yang lalu.

Enam kerusi parlimen tersebut adalah Kota Raja, Shah Alam, Sepang, Parit Buntar, Kuala Terengganu dan Kuala Krai.

Manakala tujuh kerusi DUN yang dimenangi atas tiket PAS pada PRU13 lalu, ialah Pengkalan Kundor, Changkat Jering, Kuala Semantan, Parit Yaani, Hulu Kelang, Morib dan Salor.

Parti itu sebelum ini menegaskan akan menurunkan calon disemua kerusi yang akan ditandingi PAS pada PRU14 akan datang.

Sekiranya itu berlaku, Syed Agil berpendapat PAN kurang berkredibiliti merebut kerusi yang sama daripada PAS.

Dalam pada itu, beliau berkata terdapat dua aspek yang menjadi punca mengapa PAS ditolak ketepi dalam membentuk pakatan baru selepas terkuburnya Pakatan Rakyat tahun lalu.

Menurutnya, ia kerana PH menganggap parti itu adalah liabiliti kepada gabungan tersebut kerana tidak boleh bekerjasama dengan PAN, tambahan parti serpihan itu membawa agenda Islam sebagaimana PAS.

"Kita perhatikan PAS sudah ada satu jalan dengan bergerak sendiri dan kemudian meletakkan satu syarat bahawa PAS boleh berpakat dengan mana-mana parti yang boleh memperjuangkan Islam.

"Kalau kita tengok sekarang nampaknya PAS boleh bekerjasama dengan Umno dan itu bergantung kepada pucuk pimpinan parti untuk tentukan arah tuju kerjasama antara PAS dengan Umno.

"Tindak tanduk PAS sekarang ini mencerminkan bahawa PAS sedang mencari satu gandingan lain dan kalau PAS tahu tidak mempunyai masa depan dengan PH maka mereka akan mencari platform baru untuk bergerak kerana tidak boleh bergerak dengan sendirinya. Kalau PAS bergerak secara sendiri, akan menyulitkan lagi parti tersebut untuk mempertahankan kemenangan dan kerusi mereka sebab PAN disokong oleh PH," katanya lagi.

PAN yang ditubuhkan sekumpulan bekas pemimpin PAS, kini menjadi sekutu PKR dan DAP membentuk PH bagi menghadapi Umno-BN pada PRU14 kelak.

Gabungan itu kini mengikat perjanjian bersama Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) yang ditandatangani pada 13 Disember lalu, bermatlamatkan untuk meletakkan satu calon mewakili gandingan itu untuk menentang Umno-BN pada PRU14.

© all rights reserved
made with by templateszoo