NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Orang Asli bina sekatan baharu di kawasan balak

Kerajaan negeri sedar ada pihak di belakang Orang Asli cuba menjadi juara isu balak 

KOTA BHARU: Penduduk Orang Asli membina semula sekatan baharu di kawasan Hutan Simpan Balah yang dirobohkan oleh Jabatan Hutan akhir bukan lalu. Mereka membina sekatan berkenaan di tempat sama iaitu di Simpang Petei, Pos Pasik serta Pos Bihai, di Gua Musang, pada Isnin lalu.

Sehubungan itu, Timbalan Menteri Besar, Datuk Mohd Amar Nik Abdullah, berkata kerajaan negeri sedang menunggu laporan daripada Jabatan Perhutanan mengenai sekatan terbaharu itu di tiga kawasan terbabit. Beliau berkata, kerajaan negeri menerima maklumat mengenai sekatan itu dan langkah sewajarnya akan diambil sebaik menerima maklumat lengkap daripada Jabatan Perhutanan.

"Kerajaan negeri sudah mengambil langkah proaktif dalam menyelesaikan isu berkenaan dan selepas sekatan itu dirobohkan di tiga tempat itu, aktiviti pembalakan setakat ini belum lagi dilaksanakan di kawasan terbabit. "Malah, kita (kerajaan negeri) juga membekukan lesen pembalakan serta tidak membenarkan pengeluaran balak dari kawasan berkenaan.

"Kerajaan negeri sedar ada pihak di belakang Orang Asli cuba menjadi juara isu balak yang cuba menangguk di air keruh," katanya ketika ditemui di pejabatnya di Kota Darulnaim, di sini, hari ini.

Mohd Amar berkata, kerajaan negeri sentiasa berusaha untuk mencari jalan penyelesaian terbaik supaya isu berkenaan dapat ditamatkan segera dan Orang Asli tidak dijadikan alat untuk mengganggu aktiviti pembalakan di kawasan berkenaan pada masa akan datang.

"Kita mempunyai Akta Kanun Tanah Negara di mana segala tindakan yang akan diambil oleh kerajaan negeri akan mengikut undang-undang. "Tetapi kerajaan negeri tidak zalim dan masih bertolak ansur, namun apabila sekatan kerap kali diadakan, ia seolah-olah menghalang dan mencabar kerajaan dalam menyelesaikan isu berkenaan," katanya.

Sebelum ini akhbar melaporkan Jabatan Perhutanan meroboh tiga sekatan haram di kawasan Hutan Simpan Balah pada 29 November dan menahan 54 Orang Asli kerana melakukan kesalahan mengikut Akta Perhutan Negara 1984.

Sumber : http://www.bhplus.com.my/node/223786

© all rights reserved
made with by templateszoo