NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Nitrogen Dalam Makanan Perlu Meruap Sepenuhnya

Selepas pembekuan produk makanan, cecair nitrogen akan meruap dengan cepat menjadi gas dan tidak kekal dalam produk makanan siap.

KUALA LUMPUR, 19 Dis (Bernama) -- Pengeluar atau penyedia makanan yang menggunakan cecair nitrogen dalam produk makanan perlu memastikan ia meruap sepenuhnya sebelum dijual bagi mengelak melecur atau radang dingin (frostbite).

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr. Noor Hisham Abdullah dalam kenyataan hari ini menjelaskan, cecair itu perlu digunakan pada tahap bersesuaian bagi mencapai tujuan yang dimaksudkan, iaitu untuk membekukan produk.

“Pada amnya, selepas pembekuan produk makanan, cecair nitrogen akan meruap dengan cepat menjadi gas dan tidak kekal dalam produk makanan siap.

“Oleh itu, isu keselamatan makanan berhubung makanan yang dihasilkan atau disediakan menggunakan cecair nitrogen tidak timbul,” katanya.

Beliau mengulas laporan media berhubung penggunaan cecair nitrogen dalam makanan yang didakwa menyebabkan kecederaan pada tangan seorang remaja lelaki selepas makan biskut ‘Dragon Breath’.

Dilaporkan, ibu mangsa membawa anaknya membuat laporan berhubung perkara itu di pejabat Persatuan Pengguna Kedah (CAKE) dan setakat ini persatuan itu mengesahkan menerima lima aduan daripada orang awam berhubung kejadian sama.

Dr. Noor Hisham menjelaskan, cecair nitrogen adalah gas nitrogen tidak berbahaya yang disejukkan ke suhu yang sangat rendah (-196C) sehingga menjadi cecair.

“Cecair nitrogen digunakan dalam banyak aplikasi industri makanan seperti penyejukan serta-merta ais dan dalam pembuatan ais krim.

“Cecair nitrogen juga digunakan dalam pembekuan serta-merta (flash freezing) makanan termasuk biskut untuk memberikan tekstur berkabus yang mana ia menghasilkan ‘novelty’ kepada pengguna apabila asap dihembus keluar semasa makan,” kata beliau.

Beliau berkata pengguna boleh melaporkan kepada Kementerian Kesihatan melalui pejabat kesihatan daerah atau Jabatan Kesihatan Negeri terdekat atau melalui laman sesawang Bahagian Keselamatan dan Kualiti Makanan (BKKM) http://fsq.moh.gov.my atau facebook BKKM jika ragu-ragu dengan status keselamatan makanan di pasaran tempatan. – BERNAMA

http://www.bernama.com/bernama/v8/bm/ge/newsgeneral.php?id=1313088
© all rights reserved
made with by templateszoo