Kerjasama PAS-UMNO semakin erat atas nama kepentingan Islam - 1Media.My

Header Ads

Kerjasama PAS-UMNO semakin erat atas nama kepentingan Islam

Meskipun berbeza fahaman politik, namun atas nama kepentingan Islam, bangsa, rakyat dan negara, maka perbezaan itu boleh diketepikan sementara untuk menemukan titik persamaan yang memulangkan keuntungan kepada Islam dan masa depan negara.

1. Pilihan raya umum ke-14 semakin hampir biarpun anak bulannya masih tidak diketahui bilakah ia bakal muncul. Namun tahun 2017 ini adalah tahun keempat bagi bagi penggal pilihan raya ke-13.

(Berdasarkan petunjuk Perlembagaan Malaysia, tempoh penggal parlimen adalah 5 tahun sejak mula bersidang.)

2. Sidang Parlimen Malaysia bagi penggal ke-13 bermula pada 24 June 2013 yang lalu. Ini bermakna ia akan berakhir pada 24 Jun 2018 (Ahad). Parlimen akan terbubar secara automatik pada 25 Jun 2018 (Isnin). Namun Yang di-Pertuan Agong boleh membubarkan Parlimen lebih awal dari tarikh tamat tempoh berasaskan nasihat daripada Perdana Menteri.

3. Kesimpulannya, kita kini berada dalam zon pilihan raya. Semua tumpuan parti politik terarah kepada persiapan menghadapi pilihan raya. PAS tentu sahaja telah mempersiapkan diri menghadapi pilihan raya umum ke 14 sejak hari pertama menerima keputusan pilihan raya umum yang lalu.

PAS sertai Umno?

4. Isu paling popular musim ini ialah apakah PAS akan menyertai Umno? Sementelah Perhimpunan Agung Umno yang sedang berlangsung turut menggamit perhatian rakyat mengenai isu ini.

5. Suka terlebih dahulu saya menjelaskan penggunaan terma atau perkataan yang digunakan dalam kenyataan atau persoalan yang berkait isu PAS dan Umno.

6. Apakah PAS akan bergabung dengan Umno? Apakah PAS mahu menyertai Umno? Adakah PAS boleh bekerjasama dengan Umno? Perkataan bergabung, menyertai, kerjasama dan sebagainya mesti diperjelaskan kepada umum, menepati sikap politik semasa dan dakwah yang didukung oleh PAS.

7. Pertama, wajar saya angkat kembali keputusan Majlis Syura Ulamak sebelum ini bahawa "PAS tidak akan bergabung dengan Umno dan tidak juga menyertai BN, sebaliknya bersedia untuk bekerjasama dengan mana-mana sahaja pihak demi kepentingan Islam dan ummatnya."

8.  Kedua, jelas disini ada perbezaan perkataan "bergabung" dan "menyertai" berbanding perkataan "kerjasama" yang digunakan oleh pihak PAS. Tentu sahaja "bergabung" dan "menyertai" adalah dua perkataan yang memberi maksud PAS menjadi salah satu parti komponen BN.

Pastinya keadaan sedemikian tidak boleh berlaku dan ia adalah polisi yang telah ditetapkan oleh PAS melalui penegasan Majlis Syura Ulamak bahawa PAS tidak akan bergabung dengan Umno dan menyertai BN.

9. Ketiga, "kerjasama" pula membawa maksud keterbukaan PAS untuk berbincang, duduk semeja, berunding dan menganjurkan aktiviti atau tindakan bersama dalam apa jua isu yang melibatkan kepentingan Islam, bangsa dan negara.

Meskipun berbeza fahaman politik, namun atas nama kepentingan Islam, bangsa, rakyat dan negara, maka perbezaan itu boleh diketepikan sementara untuk menemukan titik persamaan yang memulangkan keuntungan kepada Islam dan masa depan negara.

10. Beginilah PAS berpolitik. Politiknya bersulamkan dakwah Islamiyah untuk menjulang keadilan Islam yang menjadi rahmat kepada sekelian alam.

Beginilah PAS berdakwah. Dakwahnya tegak untuk memimpin politik dengan syariah dan akhlak Islami serta memacu politik matang dan sejahtera.

Check and Balance

11. PAS dan Umno tidak perlu bergabung supaya politik Malaysia subur dengan check and balance (semak dan imbang). Malah PAS akan terus memberi kritikan dan teguran membina kepada kerajaan yang diterajui oleh Umno agar tidak menyeleweng, rasuah dan menindas rakyat terbanyak.

PAS juga akan terus konsisten menentang sebarang bentuk kezaliman. Tiada kompromi padanya. Inilah politik PAS.

12. Namun tidak bermakna PAS, Umno dan lainnya mesti terus bercakaran dalam semua perkara sehingga merugikan Islam dan ummatnya. Sehingga timbul sifat benci membenci sesama ummat Islam, berkelahi jiran tetangga kerana berlainan parti, bertelagah suami isteri kerana bendera yang berbeza. Situasi begini tidak menyuburkan dakwah PAS.

Selayaknya halangan demikian ditiadakan agar PAS dapat bertemu dengan semua pihak yang bersedia menerima kehadhiran PAS dan tidak menentang perjuangannya. Inilah dakwah PAS.

Inilah Penyelesaian Kita
Nasrudin Hassan
Ketua Penerangan PAS Pusat 

HARAKAHDAILY 4/12/2016