NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Kenyataan Media Pengarah Jabatan Perhutanan Negeri Kelantan Berkenaan Operasi Penguatkuasaan Bersepadu Pengosongan Halangan (blockade) Di Kawasan Hutan Simpan Balah

 JPNK menafikan sekeras-kerasnya bahawa tindakan operasi penguatkuasan yang dijalankan pada 29 November 2016 adalah zalim, tidak berstrategi, bukan cara penyelesaian yang baik dan lain-lain lagi tohmahan.



KENYATAAN MEDIA PENGARAH JABATAN PERHUTANAN NEGERI KELANTAN

BERKENAAN OPERASI PENGUATKUASAAN BERSEPADU PENGOSONGAN HALANGAN (BLOCKADE) DI KAWASAN HUTAN SIMPAN BALAH

( 1 ) Jabatan Perhutanan Negeri Kelantan (JPNK) ingin membuat penjelasan terhadap Operasi Penguatkuasaan Bersepadu yang dijalankan pada 29 November 2016 ke atas pembinaan halangan (blockade) dan pondok-pondok tanpa sebarang kebenaran di atas kawasan Hutan Simpanan Kekal (HSK) Balah. Kenyataan media ini bertujuan memperjelaskan beberapa tanggapan dan persepsi kabur segelintir masyarakat yang menyatakan tindakan operasi penguatkuasaan ini adalah satu tindakan yang zalim, tidak mengikut prosedur malah menyatakan ini bukan caranya menyelesaikan isu tuntutan Orang Asli.

( 2 ) Rentetan isu halangan Orang Asli yang terlibat dalam kawasan HSK Balah, Perias dan Gunung Stong adalah seperti berikut:-

( a ) Blockade pertama telah didirikan oleh Orang Asli pada 27 Mac 2016 di kawasan perkampungan Orang Asli di Pos Gob bagi membantah aktiviti pengusaha hasilan. Rundingan dan pujukan telah dijalankan pada 10 April 2016 dan 8 Jun 2016 bertujuan membuka halangan tetapi masih tidak berhasil.

( b ) Rundingan sekali lagi diadakan bersama pihak pelesen dan penduduk perkampungan Orang Asli di Pos Gob pada 20 Jun 2016 telah mencapai kata sepakat dan halangan telah dibuka.

( c ) Walaubagaimanapun, pada 27 September 2016 kumpulan Orang Asli yang sebahagiannya bukan daripada kumpulan pertama yang membuat rundingan pada 20 Jun 2016, sekali lagi membuat blockade yang baharu dengan lokasi yg lebih jauh daripada perkampungan Pos Gob dan terletak di Kompartmen 245, HSK Balah. Ianya dilihat bertujuan menghalang aktiviti pengeluaran kayu balak dari kawasan pengusaha hasilan yang sah dan berlesen.

( d ) Lanjutan itu, pihak Kerajaan Negeri telah memutuskan pembekuan aktiviti pengusaha hasilan bermula pada 3 Oktober 2016 di sekitar kawasan berkenaan  yang melibatkan empat (4) lesen pengusaha hasilan. Dengan harapan kesemua pekerja dan alatan kekengkapan jentera dikeluarkan berserta dengan pengeluaran kayu-kayu balak yang telah ditebang. Pihak Berkuasa Negeri juga berharap dengan keputusan ini, isu blockade dapat diselesaikan dan seterusnya rundingan berhubung dengan tuntutan Orang Asli dan Kerajaan Negeri berlangsung dengan baik. Malangnya hal ini tidak berlaku, malah kayu-kayu balak yang telah ditebang sebelum keputusan penangguhan sementara diputuskan tidak langsung dibenarkan keluar.

( e ) Dengan  keputusan yang berhemah dibuat oleh Kerajaan Negeri tersebut, demi mengutamakan kehendak kebajikan Orang Asli di kawasan berkenaan, rupanya keadaan menjadi lebih menyedihkan apabila pembinaan pintu-pintu blockade telah diluaskan ke beberapa pintu baharu iaitu di kawasan Matau di Kompartmen 260, HSK Perias dan  Kompartmen 27, HSK Gunung Stong Selatan. Pembinaan ketiga-tiga blockade terus menyukarkan kehidupan Orang Asli Asal seperti yang dibangkitkan oleh penghulu-penghulu Orang Asli yang dilantik ketika pertemuan dengan YAB Ustaz Dato' Bentara Kanan Menteri Besar Kelantan. Blockade kali ini terus tidak membenarkan atau menghalang penjawat-penjawat awam melaksanakan tugas dan tanggungjawab yang diamanahkan.

( f ) Keadaan ini mencetuskan kebimbangan dan dikhuatiri pembinaan pintu _blockade_secara haram ini akan dibina diseluruh daerah Gua Musang. Untuk itu, pihak JPNK telah menguatkuasakan Seksyen 47, Enakmen Perhutanan Negara dengan memastikan sesiapa yg hendak memasuki HSK yang dikategorikan sebagai Hutan Tertutup perlulah memiliki Permit Memasuki HSK atau kebenaran bertulis Pengarah Perhutanan Negeri Kelantan.

( g ) Di atas nasihat YB Dato' Penasihat Undang-undang Negeri, pihak JPNK telah mengeluarkan notis pengosongan dan membuka halangan pada 6 November 2016 kepada semua pintu blockade dalam tempoh dua (2) minggu sebelum tindakan penguatkuasaan diambil.

( h ) Dengan memberi keutamaan agar penyelesaian untuk membuka blockade secara harmoni dijalankan, maka tempoh pengosongan dilanjutkan sehingga 29 November 2016 bagi memberi ruang pujukan, penjelasan dan pencerahan mengenai isu ini difahami oleh pihak Orang Asli. Walau bagaimanapun, usaha-usaha dalam tempoh ini tidak berhasil, maka tindakan operasi penguatkuasaan bersepadu bertujuan mengosongkan pembinaan pondok-pondok dan blockade yang dibina secara haram dilaksanakan.

( 3 ) Dari aspek perundangan, kegiatan pihak Orang Asli membina _blockade_dan pondok-pondok serta menduduki di atas kawasan HSK adalah suatu kesalahan yang jelas  di bawah Seksyen 32, Enakmen Perhutanan Negara (Pemakaian) Negeri Kelantan, 1984. Ini pula ditambah dengan pelbagai kesalahan lain iaitu:-

( a )  Pegawai dan kakitangan JPNK telah dihalang memasuki kawasan yang terlibat dan seterusnya membantutkan tugas dan tanggungjawab JPNK untuk melaksanakan program pemuliharaan, pengurusan, pemantauan dan penguatkuasaan hutan di kawasan berkenaan.

( b ) Menghalang pengeluaran hasil hutan yang sah yang sepatutnya dikeluarkan dan beberapa kayu balak yang telah disimpan di Matau sebelum arahan pemberhentian operasi pembalakan dihentikan sementara bermula bulan Oktober. Keadaan sekatan ini menyebabkan kayu-kayu balak yang telah ditebang menghadapi pereputan nilai dan menyebabkan hasil yang sepatutnya telah berkurangan.

( c ) Menyalahguna kuasa dengan menghalang pekerja-pekerja lesen pengusaha hasilan yang mempunyai kebenaran sub-lesen memasuki kawasan terlibat.

( 4 ) Sepatutnya sebagai rakyat Malaysia dan rakyat Negeri Kelantan semestinya menghormati undang-undang sedia ada yang  diterima pakai. Saya merasa kesal dengan pihak-pihak NGO yang mendakwa berlatar belakang pengamal undang-undang turut menyokong usaha blockade yang dibuat oleh Orang Asli sedangkan ianya jelas bertentangan dengan undang-undang sedia ada. Adakah mereka ini berhasrat mengajar Orang Asli bertindak memperjuangkan hak-hak dan tuntutan dengan melangkaui batas-batas perundangan?. Bukankah ada saluran dan prosedur tertentu bagi memperjuangkan hak-hak ini supaya ianya dapat direalisasikan dalam bentuk dasar dan undang-undang.

( 5 ) Dalam proses perundingan tuntutan ini, pihak Kerajaan Negeri telah mengambil langkah drastik menangguhkan operasi pengusaha hasilan di sekitar kawasan yang terlibat bagi membolehkan kajian dan semakan terperinci dijalankan serta penambahbaikan dilaksanakan. YAB Ustaz Dato' Bentara Kanan Menteri Besar Kelantan juga menyatakan Pos Gob seluas 973 ha telah diluluskan sebagai tanah rizab Orang Asli tetapi sedang dalam proses pewartaan. Kawasan berkenaan telah ditanda dalam rekod pelan JPNK. Bagi kawasan HSK yang diklasifikasikan sebagai Hutan Perlindungan seluas 15,000 hektar juga dibenarkan untuk dijadikan Kawasan Rayau Orang Asli sebagai tempat mencari keperluan makanan seharian. Rundingan lanjut diantara Orang Asli dan Kerajaan Negeri perlulah melalui Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA).

( 6 ) Walaupun begitu, isu penyelesaian pembukaan blockade masih tidak berhasil malah ianya tetap diteruskan pada masa itu. Pihak Kerajaan Negeri telah menetapkan bahawa blockade perlu dirobohkan dengan pendekatan seperti berikut:-

(a) Penerangan dan penjelasan.
(b) Mendengar segala tuntutan dan bantahan pihak Orang Asli  yang terlibat.
(c) Mengadakan perbincangan bersama penghulu-penghulu mukim yang dilantik.
(d) Mengeluarkan notis pengosongan.
(e) Aktiviti Pujukan dan Merayu
(f) Tindakan penguatkuasaan meroboh secara bersepadu.

( 7 ) Untuk itu, di atas penjelasan diatas, pihak JPNK menafikan sekeras-kerasnya bahawa tindakan operasi penguatkuasan yang dijalankan pada 29 November 2016 adalah zalim, tidak berstrategi, bukan cara penyelesaian yang baik dan lain-lain lagi tohmahan.

( 8 ) Saya mengambil kesempatan mengucapkan terima kasih kepada semua agensi penguatkuasaan yang terlibat iaitu JPNK, Polis Diraja Malaysia, PGA, SPRM, PTG, pihak MEDIA dan lain-lain lagi. Operasi ini dijalankan bukannya untuk memerangi sesiapa, ianya dijalankan secara bersepadu bagi memastikan penguatkuasaan undang-undang dilaksanakan dengan sempurna, tanpa pertumpahan darah atau pertelingkahan, ketelusan dan mempunyai nilai-nilai integriti serta beretika. Khusus kepada pegawai dan kakitangan JPNK, saya mengucapkan syabas dan rasa bangga di atas kesabaran semua melaksanakan tugas dan tanggungjawab dengan baik dalam insiden ini walaupun dilempar dengan pelbagai tohmahan, kutukan dan ugutan dari pihak-pihak tertentu. Teruskan usaha kita mengurus, memelihara dan memulihara khazanah hutan Negeri Kelantan dengan jayanya.

PENGARAH,
JABATAN PERHUTANAN NEGERI KELANTAN

02 Rabiul Awwal 1438H / 02 Disember 2016M
© all rights reserved
made with by templateszoo