NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Kanser Penyebab Utama Kematian Di Malaysia - KKM

Dapatkan Tips Mengelakkan Risiko Kanser
Kanser bermaksud pertumbuhan sel abnormal yang tidak terkawal di dalam badan manusia. Terdapat lebih 200 jenis kanser. Apa sahaja yang boleh menyebabkan sel badan membesar secara tidak normal berpotensi untuk mengakibatkan kanser; kategori umum ejen yang mengakibatkan kanser adalah seperti pendedahan terhadap bahan kompaun kimia atau toksik, pancaran radiasi, sesetengah patogen dan genetik manusia.

Baru-baru ini Ketua Pengarah Kesihatan Malaysia, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah menyatakan dalam satu kenyataan akhbarnya pada 25 November 2016 bahawa kanser atau barah merupakan salah satu penyakit tidak berjangkit yang utama di Malaysia. Ia adalah penyebab kematian yang ketiga terbanyak di Malaysia pada tahun 2015 iaitu sebanyak 13.56%, selepas kematian disebabkan oleh penyakit sistem peredaran darah (22.77%) dan penyakit sistem pernafasan (18.54%).

Satu penerbitan iaitu Laporan Registri Kanser Kebangsaan bagi Malaysia 2007-2011 (Malaysian National Cancer Registry Report 2007-2011), telah diterbitkan oleh Institut Kanser Negara yang memaparkan statistik, data dan perangkaan berkenaan kanser di Malaysia dalam tempoh bekenaan.

Penerbitan ini boleh dicapai di laman web www.nci.moh.gov.my semenjak Oktober 2016.

Menurut laporan berkenaan sebanyak 103,507 kes kanser baru dilaporkan dalam tempoh 2007 hingga 2011, dimana 45.2% daripadanya adalah lelaki manakala 54.8% lagi adalah wanita. Risiko untuk mendapat kanser bagi lelaki adalah 1 dalam 10 dan bagi perempuan pula adalah 1 dalam 9.

Lima kanser utama bagi lelaki yang dilaporkan adalah kanser kolorektal (16.3%), paru-paru (15.8%), hidung dan tekak (8.1%), lymphoma (6.8%) dan prostat (6.7%). Bagi wanita pula, lima kanser utama adalah kanser payudara (32.1%), kolorektal (10.7%), serviks (7.7%), ovari (6.1%) dan paru-paru (5.6%).

Pada masa ini, pengumpulan data bagi Registri Kanser Kebangsaan ini adalah bergantung kepada notifikasi secara sukarela (voluntary) dan manual. Namun, terdapat perancangan pada masa akan datang bagi pengumpulan data ini secara automatik. Satu sistem yang dikenali sebagai Patient Registry Information System (PRIS) sedang dibangunkan oleh Pusat Informasi Kesihatan, Kementerian Kesihatan Malaysia bagi membolehkan data didaftarkan secara elektronik dan disalurkan ke Malaysia Health Data Warehouse (MyHDW) untuk membantu pengumpulan data dan penerbitan laporan registri kanser dapat dibuat dengan lebih cepat.

Bolehkah kanser dielakkan?

Cancer Research UK menyebutkan bahawa 4 daripada 10 kes kanser boleh dielakkan melalui perubahan gaya hidup seperti:

1. Tidak merokok.
2. Menjaga berat badan.
3. Mengelakkan alkohol.
4. Mengambil diet pemakanan sihat.
5. Aktif.
6. Mengelakkan jangkitan penyakit seperti HPV.
7. Berjemur di bawah cahaya matahari pada waktu yang selamat.
8. Mengelakkan pekerjaan yang berisiko kanser.

© all rights reserved
made with by templateszoo