NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Jadikan sekolah tempat selamat

Beberapa kes kemalangan maut membabitkan murid sekolah sewajarnya mendapat perhatian masyarakat.

BEBERAPA kemalangan membabitkan murid tidak lama dulu mengejutkan ramai ibu bapa dan ahli masyarakat. Beberapa kes kemalangan maut membabitkan murid sekolah sewajarnya mendapat perhatian masyarakat.

Menjelang penggal pertama persekolahan tahun 2017 sekolah sewajarnya dijadikan tempat selamat kepada setiap murid. Pihak sekolah dengan kerjasama Persa­tuan ibu bapa dan Guru (PIBG) wajar merangka pelan strategik bagi keselamatan murid pada setiap masa. Ke­selamatan murid terutamanya di kawasan sekolah adalah menjadi tanggungjawab guru-guru dan juga ibu bapa.

Usaha-usaha bagi mengelakkan kemalangan maut di depan sekolah boleh dielakkan jika semua pihak berusaha mengatasi dan menangani dengan baik. Semasa menghantar dan menjemput anak-anak di sekolah, ibu bapa juga berperanan menjaga keselamatan anak ma­sing-masing dan tidak boleh hanya mengharapkan guru dan pengawal keselamatan.

PIBG di setiap sekolah pula seharusnya memainkan peranan antaranya, menyediakan pengawal lalu lintas semasa waktu puncak iaitu waktu murid masuk dan pulang dari sekolah.

Di samping itu, pihak sekolah melalui PIBG boleh be­kerjasama dengan pihak majlis perbandaran atau majlis tempatan bagi membina beberapa bonggol dan garisan kuning bagi mengelakkan kenderaan memecut laju di kawasan sekolah.

Kejadian seorang murid tahun satu Sekolah Kebangsaan (SK) Pegoh, Alor Gajah, Melaka, cedera parah di kepala dan patah tangan kiri selepas dilanggar sebuah kereta di hadapan sekolah tersebut baru-baru ini sewajarnya menjadi pengajaran kepada semua.

Kejadian seumpama ini bukan pertama kali berlaku, malah kerap kali terjadi disebabkan kecuaian pemandu yang tidak menghiraukan murid yang sedang melintas jalan di hadapan sekolah.

Sebelum itu seorang ibu mengalami pengalaman ngeri apabila menyaksikan anak bongsunya maut akibat dirempuh sebuah lori panjang semasa melintas di jalan hadapan SK Teluk Medan di Kilometer 103 Jalan Ipoh-Butterworth di Bagan Serai, Perak.

Menjadikan sekolah sebagai tempat selamat memerlukan kerjasama semua pihak terutama dalam kalangan murid sendiri yang sepatutnya diberikan penerangan bagi mengelakkan kemalangan maut.

Kerjasama pihak polis juga boleh mengatasi masalah ini jika kawasan sekolah tersebut terletak berhampiran de­ngan jalan raya utama atau lebuh raya yang banyak kende­raan bagi memudahkan murid sekolah melintas jalan.

Kawasan yang berisiko tinggi boleh menyebabkan kemalangan maut di depan dan di kawasan sekolah juga perlu dibina lampu isyarat bagi mengelakkan kemalangan yang membabitkan murid sekolah.

Larangan kenderaan lalu di kawasan sekolah juga patut dilakukan dua jam waktu masuk dan keluar persekolahan. Ini dapat mengelakkan berlakunya kemalangan maut yang membabitkan kenderaan berat yang boleh meragut nyawa murid sekolah.

Ibu bapa juga mesti faham tentang keselamatan anak-anaknya dan murid sekolah yang lain. Tidak perlulah menghantar anak sampai ke pintu masuk sekolah yang boleh menyebabkan kesesakan pada waktu puncak.

Ibu bapa boleh meletak kenderaan mereka agak jauh bagi mengelakkan kesesakan dan mengambil anak-anak di pintu sekolah bagi mengelakkan kesesakan dan kemalang­an. Ketegasan pihak sekolah melalui peranan PIBG yang mengusulkan perkara ini dalam mesyuarat PIBG perlu di­terima oleh semua pihak demi keselamatan bersama.

Jika dikaji sekolah adalah tempat mendidik murid supaya mereka merasakan sekolah adalah tempat yang sentiasa selamat. Ibu bapa juga perlu berperanan sebagai pendidik kepada anak-anak dengan memberi nasihat dan bimbingan bagi mengelakkan kemalangan di jalan raya terutamanya di kawasan sekolah.

Jika semua pihak mematuhi peraturan dan undang-undang tidak akan berlaku kemalangan membabitkan murid terutama kemalangan maut. Oleh itu, jadikan sekolah sebagai tempat yang selamat untuk menimba ilmu serta memanfaatkan apa yang kita pelajari di sekolah dan akhirnya diterjemahkan dalam kehidupan seharian.

DR. AMINUDIN MANSOR ialah pengamal media berkelulusan PhD Persuratan Melayu, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM).


http://www.utusan.com.my/rencana/jadikan-sekolah-tempat-selamat-1.425156


© all rights reserved
made with by templateszoo