Hubungan kian tegang - 1Media.My

Header Ads

Hubungan kian tegang

Kami tidak akan sesekali membiarkan China berterusan membuat tuntutan dengan hanya mengadakan seberapa banyak pengkalan buatan mereka di Laut China Selatan. Kami akan bekerjasama mengikut apa yang sepatutnya tetapi kami juga bersedia untuk mendepani mereka.

WASHINGTON 14 Dis. - Hubungan Amerika Sya­rikat (AS) dengan China kini semakin tegang apabila republik itu diingatkan supaya tidak lagi menuntut yang bukan sepatutnya terhadap kesemua kawasan perairan Laut China Selatan.

Menurut Ketua Pemerintah Angkatan Tentera AS di Pasifik. Laksamana Harry Harris, seandainya China berterusan bersikap agresif, AS bersedia untuk berdepan dengan negara komunis itu.

“Kami tidak akan sesekali membiarkan China berterusan membuat tuntutan dengan hanya mengadakan seberapa banyak pengkalan buatan mereka di Laut China Selatan. Kami akan bekerjasama mengikut apa yang sepatutnya tetapi kami juga bersedia untuk mendepani mereka,” ucapnya dalam satu majlis di Sydney, Australia baru-baru ini.

China mendakwa mempunyai hak ke atas semua kawasan Laut China Selatan yang dipercayai kaya dengan sumber asli dan menjadi laluan kapal perdagangan dengan nilai sehingga AS$5 trilion (RM22.1 trilion) setahun. Kawasan berkenaan juga dituntut oleh oleh Brunei, Malaysia, Vietnam, Taiwan dan Filipina.

AS telah beberapa kali mendesak China untuk me­nerima keputusan Mahkamah Tetap Timbang Tara (PCA) di The Hague yang mendapati tuntutan China ke atas sejumlah kawasan di Laut China Selatan sebagai tidak berasaskan undang-undang.

Bagaimanapun, China berte­rusan bersikap agresif dengan tidak menghormati keputusan yang dikeluarkan oleh PCA sebaliknya memperhebat pengawalan wilayah dan aktiviti ketenteraannya.

AS mendakwa Beijing telah menambah keluasan kawasan tanah yang dijadikan pangkalannya kepada lebih 3,200 ekar di Laut China Selatan sejak tiga tahun lalu selain membina landasan kapal terbang, pelabuhan, hangar pesawat dan juga me­nempatkan peralatan komunikasi.

Berikutan tinda­kan itu, AS telah melakukan satu siri rondaan dengan alasan untuk tujuan memastikan kebebasan untuk berlayar di kawasan tersebut di mana kali terakhir sekali dilakukan pada bulan Oktober lalu, sekali gus mengundang kemarahan Beijing dengan tidak menolak tindakan itu boleh berakhir dengan berlakunya bencana.

Pada hari Ahad lalu, Trump mencadangkan supaya dasar ‘Satu China’ dihapuskan bagi membolehkan AS menjalankan perniagaan dengan China dan Taiwan.

Cadangan itu dilihat keterlaluan oleh Beijing dan kini mereka mengambil sikap tunggu dan lihat terhadap Trump.

Sehari sebelumnya Menteri Luar China, Wang Yi memberi amaran kepada Trump bahawa sesiapa yang cuba mencabar kepentingan Beijing umpama seperti merugikan diri sendiri.

Sebelum itu, AS telah me­nimbulkan kemarahan China apabila bakal Presiden AS, Do­nald Trump menerima panggilan telefon Presiden Taiwan, Tsai Ing-wen pada 2 Disember lalu hingga mengundang bantahan diplomatik daripada China.

http://www.utusan.com.my/berita/luar-negara/hubungan-kian-tegang-1.419994