NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Gagasan syor dua cadangan basmi politik wang

Gagasan Sejahtera mengemukakan dua cadangan iaitu membasmi politik wang dan kawalan terhadap dana parti politik. Antara cadangan yang dikemukakan iaitu membenarkan parti politik menubuhkan syarikat perniagaan untuk membiayai parti masing-masing tetapi mesti bersaing denga adil, sebagaimana yang telah diputuskan oleh Tunku Abdul Rahman dan Tun Dr Ismail pada tahun 70-an lalu.
KUALA LUMPUR: Gagasan Sejahtera hari ini mengemukakan cadangan balas terhadap kajian yang akan disediakan berhubung Akta Sumbangan dan Perbelanjaan Politik yang diumumkan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Paul Low Seng Kuan pada 30 September lalu.

Timbalan Pengerusi Gagasan Sejahtera Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, terdahulu pihaknya telah menubuhkan jawatankuasa khas yang dipengerusikan oleh Tan Sri Kadir Sheikh Fadzil antaranya untuk mengkaji proposal yang diutarakan oleh menteri berkenaan.


Tuan Ibrahim berkata demikian kepada pemberita di Institut Integriti Malaysia selepas mengadakan pertemuan dan penyerahan memorandum kepada Paul Low.

"Kita menyerahkan cadangan balas ini kepada beliau dan berharap cadangan ini dikaji, diteliti dan dibawa ke parlimen dengan segera pada Mac 2017 nanti," ujar beliau.

Di dalam cadangan itu, Gagasan Sejahtera mengemukakan dua cadangan iaitu membasmi politik wang dan kawalan terhadap dana parti politik.

Menurut Kadir, antara cadangan yang dikemukan iaitu membenarkan parti politik menubuhkan syarikat perniagaan untuk membiayai parti masing-masing tetapi mesti bersaing denga adil, sebagaimana yang telah diputuskan oleh diputuskan oleh Tunku Abdul Rahman dan Tun Dr Ismail pada tahun 70-an lalu.

"Dan syarikat ini dipunyai parti politik tetapi perlu daftar dengan SPRM, ROS dan sebagainya, dalam masa sama tidak dikenakan cukai. Pada zaman Tunku Abdul Rahman ia berjalan dengan baik tetapi apabila syarikat diserahkan kepada kawan-kawan parti mulalah timbul banyak masalah," katanya kepada media.

Kadir berkata, di dalam akta itu juga perlu diperluaskan untuk membasmi politik wang misalnya di dalam pemilihan di dalam parti.

"Orang yang bertanding diugut oleh perwakilan, mereka perlu menyediakan wang berjuta-juta untuk menang satu jawatan. Maka terpaksa membiayai perbelanjaan cukup besar. 

"Soalnya di mana mereka dapat duit? Kalau tidak guna kedudukannya. Inilah punca rasuah yang cukup besar luaskan undang-undang ini untuk sekat politik wang," ujarnya.

Gagasan sebenarnya telah membentuk sebuah Jawatankuasa Bertindak Mengenai Amalan Politik Wang dan Budaya Rasuah pada Julai 2016, dua bulan sebelum draf Akta Sumbangan dan Perbelanjaan Politik diumumkan oleh Paul Low baru-baru ini.

Jawatankuasa bertindak itu telah menyediakan sebuah memorandum mengenai kawalan urus selia dan politik serta amalan politik wang. – HARAKAHDAILY 8/12/2016
© all rights reserved
made with by templateszoo