NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Bisikan bayu alam Tasik Kenyir

Satu-satunya pengangkutan yang ada ketika menyelusuri permukaan Tasik Kenyir adalah bot laju dan houseboat. Berada berjam-jam di atas bot tidak terasa penat apatah lagi bosan. Ini kerana angin tasik begitu dingin dan mendamaikan manakala panorama alam sekitar begitu mengasyikkan.
Satu-satunya pengangkutan yang ada ketika menyelusuri permukaan Tasik Kenyir adalah bot laju dan houseboat. Berada berjam-jam di atas bot tidak terasa penat apatah lagi bosan. Ini kerana angin tasik begitu dingin dan mendamaikan manakala panorama alam sekitar begitu mengasyikkan.
Itulah aset utama Tasik Kenyir tetapi apabila berkunjung ke Taman Tropika Kenyir (TTK) pencinta tumbuh-tumbuhan pastinya teruja. TTK merupakan salah sebuah komponen Kenyir Island Hopping yang dibangunkan sekitar tahun 2008 oleh Lembaga Kemajuan Terengganu Tengah (Ketengah) dengan usaha sama Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI). Taman Tropika Kenyir terletak hanya kira-kira 15 minit saja perjalanan menaiki bot laju dari jeti Pangkalan Teluk Gawi.
Pegawai Penyelidik Prinsipal MARDI, Dr. Muhamad Radzali Mispan berkata, pada tahun 2007, kira-kira 18 orang penyelidik dari MARDI telah menjalankan inventori di sekitar Tasik Kenyir. Tujuan utama inventori itu adalah untuk melihat ada potensi yang boleh dibangunkan di Tasik Kenyir. Hasil daripada inventori, MARDI telah membentangkan kertas kerja cadangan kepada Kerajaan Negeri Terengganu menerusi Ketengah, yang kemudiannya mengambil laporan tersebut sebagai idea untuk pembangunan pulau-pulau yang sedia ada,
“Pada ketika itu, Ketengah sedang membangunkan kawasan Island Hopping, terdapat kira-kira 10 buah pulau dengan lima buah tema tersendiri antaranya Taman Orkid, Taman Rama-Rama, Taman Botani, Taman Burung dan Taman Tropika,” katanya.
“Terdapat banyak jenis pokok hutan seperti balak yang bernilai tinggi telah dikenal pasti. Bukan itu saja, ketika proses infrastruktur dilaksanakan, pasukan penyelidik turut menemukan spesies-spesies pokok buah nadir hidup melata seperti pokok buah melaka, pokok setambun, pauh kijang, manggis beruang, salak hutan. Selain itu, turut ditemukan tumbuhan herba yang bernilai tinggi seperti kacip fatimah, tongkat ali, janggut baung, raja berangkat dan bermacam-macam jenis tumbuhan herba lain.
“Taman Tropika Kenyir kemudiannya memasuki pembangunan fasa kedua, antara tahun 2011 hingga 2015. Benih-benih pokok buah eksotik dikumpulkan dari seluruh negara kemudian ditempatkan di situ. Terdapat lebih 2,000 buah pokok dengan 120 spesies tumbuhan dan buah-buahan nadir atau eksotik telah ditanam. Kedua-dua fasa ini dibangunkan menerusi Unit Perancang Ekonomi (UPEN) Terengganu, bererti seluruh dana pembangunan dibiayai oleh kerajaan negeri itu sendiri,” jelas Muhammad Radzali lagi.
Dalam pada itu menurut Timbalan Pengarah, Pusat Penggunaan Sumber Agrobiodiversiti dan Persekitaran MARDI, Dr. Rosliza Jajuli, hasrat Kerajaan Negeri Terengganu ketika itu tidak lain ialah untuk menjadikan Taman Tropika Kenyir sebagai outreach program atau pusat maklumat buah-buahan eksotik. Ia sebagai salah satu cara memupuk minat orang ramai terhadap tumbuh-tumbuhan yang jarang diketahui. Bukan itu sahaja, buah-buahan nadir juga diketahui mempunyai khasiat yang lebih tinggi berbanding buah-buahan komersial.
“Hal ini dibuktikan selepas penyelidik mengenal pasti madu daripada sarang kelulut yang dijadikan sebagai agen pendebungaan di situ cukup istimewa kerana mengandungi dua kali ganda kandungan antioksidan serta khasiat yang lebih tinggi,” jelas Rosliza lagi.
Sebagai sebuah pusat konservasi untuk spesies buah-buahan eksotik, projek pembangunan taman tersebut menggunakan pendekatan konsep agro forestry atau Pertanian dalam Hutan (Perhutani) sebagai mekanisme utama. Penggunaan baja organik seperti biochar, baja bio daripada mikroorganisma setempat dan kompos daripada persekitaran digunakan secara meluas di kawasan taman berkenaan.
Malah, tiada bahan kimia digunakan untuk mengekalkan kelestarian kawasan taman. Secara tidak langsung, mekanisme seperti itu dapat meningkatkan kepelbagaian biologi ke arah ekosistem yang lebih stabil.
Pengurusan taman tersebut turut menyediakan pelbagai infrastruktur untuk keselesaan pelawat. Pengunjung akan disambut oleh pemandu pelancong yang akan memberi penerangan berkenaan kemudahan bangunan, ruang galeri, anjung dan kaunter maklumat. Kompleks Interpretatif menempatkan galeri utama yang menyediakan maklumat tentang kepelbagaian biologi di Tasik Kenyir dan Taman Tropika secara khususnya.
Taman Tropika Kenyir mempunyai kompleks pentadbiran yang turut menempatkan makmal penyelidikan, dewan, bilik mesyuarat dan surau. Dewan tersebut mampu menampung kapasiti seramai 50 orang dalam satu-satu masa.
Malah makmal penyelidik tersebut juga boleh digunakan oleh pihak luar dan pelajar dari institusi pengajian tinggi untuk menjalankan penyelidikan asas.
Bukan itu saja, terdapat chalet dan tapak perkhemahan disediakan untuk menampung keperluan pengunjung yang mahu bermalam di sini selain kemudahan asas seperti tandas serta laluan pejalan kaki.
https://www.utusan.com.my/sains-teknologi/teknologi/bisikan-bayu-alam-tasik-kenyir-1.419804
© all rights reserved
made with by templateszoo