Header Ads

Bersedia Untuk Pilihan Raya Umum Bulan Mei Tahun Hadapan.

 Kita perlu bersedia dengan pilihan raya umum yang mengejut. Selesaikan apa saja perkara yang belum diselesaikan dan lengkapkan segala persiapan. Inilah peluang terbaik untuk menumbangkan BN atau meluaskan penguasaan di  negeri-negeri.

Terdapat banyak petunjuk yang merumuskan bahawa Pilihan Raya Umum yang ke 14 akan berlangsung pada bulan Mei 2017.

Maklumat yang diperolehi dari agensi Kerajaan Persekutuan merupakan satu petunjuk yang kuat bahawa pilihan raya umum akan diadakan pada bulan tersebut.

Kesimpulan dibuat berdasarkan pelaksanaan projek-projek Kerajaan Persekutuan. Pada lazimnya projek-projek baru akan dilancarkan ketika tempoh kempen pilihan raya.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) juga telah juga mengeluarkan jadual taklimat untuk petugas-petugas pilihan raya.

Selain dari itu, masyarakat Cina akan menyambut Tahun Baru Cina pada akhir bulan Januari. Suasana perayaan akan berlarutan pada bulan Februari. Gerak kerja politik selalunya akan menjadi perlahan ketika musim-musim perayaan kecuali rumah-rumah terbuka. Tetapi tentu sekali BN akan menggunakan peluang sambutan tersebut untuk berkempen dan mengumumkan gula-gula untuk rakyat. Kemudian secara tiba-tiba Parlimen akan dibubarkan pada akhir bulan Mac atau pada bulan April agar satu pilihan raya umum diadakan dalam tempoh 60 hari.

Keadaan ekonomi negara juga akan mempengaruhi bila pilihan raya akan diadakan. Ringgit dijangka akan terus jatuh berbanding dengan Dollar Amerika Syarikat. Kerajaan BN boleh menunggu sehingga nilai Ringgit meningkat atau terus mengadakan pilihan raya umum sebelum Ringgit menjunam ke tahap yang lebih rendah. Pandangan ramai adalah pilihan raya akan diadakan tanpa menunggu nilai Ringgit dipulihkan.

PAS telah mengumumkan bahawa Muktamar PAS tahun ini akan diadakan pada akhir bulan April dan awal bulan Mei.

Memang tidak dapat dinafikan oleh sesiapa bahawa PAS adalah di antara pembangkang yang terkuat dengan jentera pilihan raya yang mantap. PAS menguasai Negeri Kelantan. Ia juga memiliki kerusi yang banyak di Kedah dan Terengganu dengan harapan yang cerah untuk merampas pentadbiran negeri-negeri tersebut. Di Selangor pula, PAS adalah sebahagian dari kerajaan negeri.

Adalah satu bonus besar kepada BN jika jentera pilihan raya PAS dapat dilumpuhkan atau di dalam keadaan tidak bersedia. Oleh yang demikian, tidak hairan jika Parlimen akan dibubarkan ketika Muktamar tahun ini untuk mengganggu persiapan pilihan raya PAS.

Pepercahan di kalangan pimpinan tertinggi UMNO juga merupakan satu faktor. Walau pun telah dinafikan tetapi perpecahan di dalam UMNO adalah satu perkara biasa. Pilihan raya awal mungkin dipanggil sebelum sebarang perpecahan menjadi semakin parah atau untuk menyatukan semula pimpinan tertinggi jika terdapat sebarang perpecahan.

Perpaduan di kalangan ahli-ahli PAS berada di dalam keadaan yang mantap setelah pimpinan yang kalah pada pemilihan 2014 menubuhkan Parti Amanah Negara atau PAN. Pimpinan dan ahli-ahli hari ini berada di dalam haluan yang sama.

Memang terdapat anasir-anasir luaran yang cuba memberi gambaran terdapat perpecahan di kalangan pimpinan tertinggi. Atau terdapat mereka yang sedang cuba melaga-lagakan pimpinan. Tetapi ahli-ahli telah cukup matang dan tidak mungkin termakan dengan umpan tersebut.

Oleh yang demikian, kita perlu bersedia dengan pilihan raya umum yang mengejut. Selesaikan apa saja perkara yang belum diselesaikan dan lengkapkan segala persiapan. Inilah peluang terbaik untuk menumbangkan BN atau meluaskan penguasaan di  negeri-negeri.

Dato' Iskandar A. Samad
20 Disember 2016