Beliau membuat pengumuman itu dalam laman Facebooknya dengan memuat naik salinan surat rasmi peletakan jawatannya itu yang dialamatkan kepada Setiausaha Agung Kafa, Datuk Ismail Md Noor.

"Saya berharap tugas ini (Presiden Kafa) dapat dipikul oleh mereka yang lebih mampu mengangkat kecemerlangan bola sepak Kelantan seperti mana yang berjaya dilakukan oleh negeri-negeri lain," katanya.
Annuar, yang menyandang jawatan itu sejak 2008, berkata beliau sentiasa berkeyakinan pasukan Kelantan mampu mencapai apa yang orang lain capai asalkan diberikan peluang berbuat demikian.

Annuar, yang juga Ahli Parlimen Ketereh, memimpin pasukan Kelantan sehingga memperolehi pelbagai kejayaan antaranya meraih tiga kejuaraan iaitu Piala Malaysia, Piala FA dan Liga Super pada 2012.

Sementara itu, Naib Presiden Kafa, Datuk Nassir Hamzah mengesahkan Annuar menghantar surat peletakan jawatan itu hari ini.

"Tetapi Exco Kafa belum bermesyuarat sama ada menerima atau menolak surat tersebut," katanya. –Bernama