NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Saranan Melaksanakan Qunut Nazilah Bagi Mendoakan Kesejahteraan Masyarakat Islam Rohingya



 Jakim mengambil inisiatif untuk mengadakan Qunut Nazilah pada solat Jumaat 25 November 2016 di semua Masjid-Masjid Utama Jakim. Jakim juga memohon kerjasama dan jasabaik pihak Majlis Agama Islam Negeri-Negeri dan Jabatan Agama Islam Negeri-Negeri di seluruh negara untuk meminta semua masjid di negeri masing-masing agar turut sama mengadakan Qunut Nazilah pada tarikh berkenaan. 



KENYATAAN MEDIA

KETUA PENGARAH
JABATAN KEMAJUAN ISLAM MALAYSIA (JAKIM)
BERKENAAN 

SARANAN MELAKSANAKAN QUNUT NAZILAH BAGI MENDOAKAN KESEJAHTERAAN MASYARAKAT ISLAM ROHINGYA
__________

1. Jakim memandang serius kezaliman yang berlaku di negara Myanmar terhadap masyarakat Islam Rohingya yang telah diseksa dan dibunuh di Rakhine, sebuah negeri di utara Myanmar. Ini adalah merupakan suatu bentuk pencabulan hak asasi manusia dan penghinaan terhadap umat Islam minoriti di negara Myanmar itu. Isu ini telah berlarutan dalam tempoh masa yang lama dan masyarakat Islam Rohingya masih belum mendapat pembelaan yang sewarnya. Ia juga telah mendapat perhatian pelbagai pihak di peringkat antarabangsa termasuk oleh Pertubuhan OIC.

2. Justeru itu, Jakim mengambil inisiatif untuk mengadakan Qunut Nazilah pada solat Jumaat 25 November 2016 di semua Masjid-Masjid Utama Jakim iaitu Masjid Negara Kuala Lumpur, Masjid Putra Putrajaya dan Masjid Tuanku Mizan Zainal Abidin Putrajaya serta di semua masjid-masjid dan surau-surau Jumaat di bawah Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI). Di samping itu, Jakim juga memohon kerjasama dan jasabaik pihak Majlis Agama Islam Negeri-Negeri dan Jabatan Agama Islam Negeri-Negeri di seluruh negara untuk meminta semua masjid di negeri masing-masing agar turut sama mengadakan Qunut Nazilah pada tarikh berkenaan. 

3. Qunut nazilah merupakan salah satu daripada tiga jenis qunut yang sunat dibaca dalam solat mengikut mazhab syafie selain qunut dalam solat subuh dan qunut pada separuh malam kedua terakhir dalam solat witir di bulan Ramadhan. Qunut nazilah sunat dibacakan ketika umat Islam didatangi bala bencana atau ditimpa musibah seperti ketakutan, ditimpa wabak dan sebagainya. Qunut ini tidak dibacakan jika umat Islam tidak didatangi dengan cubaan-cubaan seperti ini. 

4. Sehubungan itu, Jakim menyeru kepada semua pihak agar sama-sama kita memanjatkan doa ke hadrat Ilahi agar masalah yang dihadapi oleh masyarakat Islam Rohingya akan dapat diselesaikan dengan kadar segera dan masyarakat Islam Rohingya mampu untuk menjalankan aktiviti harian dengan lebih lancar dan sempurna. Semoga kita semua juga terus berdoa agar negara kita Malaysia kekal aman, makmur dan harmoni. 

Sekian, terima kasih

TAN SRI DATO’ HAJI OTHMAN BIN MUSTAPHA
23 November 2016                        

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo