NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Ramai ditahan susulan Bersih 5

Polis sedang mengesan beberapa pemimpin Bersih (kumpulan Baju Kuning) dan Gabungan NGO Gerakan Merah Malaysia (kumpulan Baju Merah) berhubung perhimpunan haram itu.
KUALA LUMPUR: Polis menahan pemimpin kumpulan Baju Kuning Hishammuddin Rais di Bangsar Utama pagi ini, menjadikan jumlah mereka yang ditahan berhubung perhimpunan haram di ibu negara seramai 15 orang setakat ini.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kuala Lumpur SAC Rusdi Mohd Isa berkata penahanan Hishammuddin itu bagi membantu siasatan berkaitan rusuhan mengikut Seksyen 147/511 Kanun Keseksaan.

Dalam pada itu, Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata polis sedang mengesan beberapa pemimpin Bersih (kumpulan Baju Kuning) dan Gabungan NGO Gerakan Merah Malaysia (kumpulan Baju Merah) berhubung perhimpunan haram itu.

Polis telah mengambil langkah berjaga-jaga dalam menjaga ketenteraman awam dengan menahan 14 pemimpin Baju Kuning dan merah termasuk Pengerusi Bersih Maria Chin Abdullah dan Pengerusi kumpulan Baju Merah Datuk Seri Jamal Md Yunos, masing-masing semalam dan awal pagi ini, sebelum pun perhimpunan haram itu bermula.

Menurut Ketua Polis Kuala Lumpur Datuk Amar Singh Ishar Singh penahanan kebanyakan daripada 14 orang itu bertujuan mencegah berlakunya rusuhan, pecah keamanan dan menggugat ketenteraman awam pada perhimpunan haram itu.

Setakat pukul 3.30 petang ini, polis berjaya menghalang daripada berlakunya sebarang pertembungan antara penyokong kumpulan Baju Kuning dan kumpulan Baju Merah apabila tidak membenarkan mereka menghampiri kawasan Dataran Merdeka dengan menutup laluan-laluan utama ke kawasan itu.

Para pemimpin Baju Kuning dan Baju Merah, secara berasingan, kelihatan cuba berunding dengan polis supaya laluan di Jalan Travers dan Jalan Parlimen dibuka, namun polis kelihatan tidak tunduk dengan permintaan mereka.

Susulan itu, sebahagian besar penyokong kedua-dua kumpulan itu kemudiannya kelihatan mencari jalan alternatif.

Setakat ini, tiada kumpulan yang dapat memasuki Dataran Merdeka. Polis juga cepat bertindak dalam mengawal keadaan dengan meleraikan pergaduhan kecil antara segelintir kecil penyokong kedua-dua kumpulan itu, sebelum keadaan lebih buruk berlaku.

Berita selanjutnya boleh dibaca di: http://www.astroawani.com/berita-malaysia/15-ditahan-susulan-bersih-5-123110

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo