NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

PAS adalah pengemudi utama syarat kerjasama

"Pucuk pangkalnya ialah pihak yang mahu bekerjasama itu hendaklah faham dengan jelas bahawa PAS adalah pengemudi utama. Kami tiada masalah bergerak sendirian, bukan sekadar mahu memenangi PRU semata-mata,"
ARAU, 6 Nov (Bernama) -- PAS bersedia membuka pintu kerjasama kepada parti-parti yang sesuai dan sealiran dengan matlamat perjuangannya bagi menghadapi pilihan raya umum ke-14 (PRU14) akan datang.

Presidennya Datuk Seri Abdul Hadi Awang berkata PAS sudah membuka ruang itu sejak lama dahulu namun pihak-pihak yang sudi haruslah menghormati dan tidak mencampuri urusan dalamannya.

"PAS tiada masalah kalau ada yang nak masuk rumah kami.... tapi jangan pula lepas itu dia 'curi' dalam rumah kami," katanya kepada pemberita selepas ceramah perdana 'Budaya Politik Matang Dan RUU 355' di Balai Islam Madi, Jejawi di sini, malam tadi.

Abdul Hadi berkata PAS tidak pernah mengubah pendekatan bersifat terbuka dalam bekerjasama dengan pihak lain demi menegakkan syiar Islam dan mendapatkan keredaan Allah SWT.

"Pucuk pangkalnya ialah pihak yang mahu bekerjasama itu hendaklah faham dengan jelas bahawa PAS adalah pengemudi utama. Kami tiada masalah bergerak sendirian, bukan sekadar mahu memenangi PRU semata-mata," katanya.

Mursyidul Am PAS Hashim Jasin pula menegaskan parti itu mengutamakan pihak yang boleh menerima Islam tanpa berbelah-bahagi serta menerima usaha dan usul Rang Undang-Undang (RUU) Persendirian, Akta 355 untuk meminda Akta Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah).

Baca selanjutnya di: http://www.bernama.com/bernama/v8/bm/po/newspolitics.php?id=1299477

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo