NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Ketidaktentuan Global Selepas Kemenangan Trump

Dunia kini berada di dalam kedudukan tidak menentu kerana pendekatan politik yang mungkin dibawa Trump kerana beliau sebagai ahli korporat, bukan ahli politik tulen, yang kini memegang tampuk pemerintahan AS.
DONALD Trump sekali lagi mengejutkan dunia dengan kemenangannya dalam pilihan raya presiden Amerika Syarikat (AS), mengalahkan Hillary Clinton. Kemenangan mengejut ini menyebabkan dunia kini berada di dalam kedudukan tidak menentu kerana pendekatan politik yang mungkin dibawa Trump kerana beliau sebagai ahli korporat, bukan ahli politik tulen, yang kini memegang tampuk pemerintahan AS.
Kekalahan Clinton amat mengejutkan sehingga ramalan agensi pungutan suara gagal meramalkan kemenangan Trump. Kegagalan agensi ini adalah kerana kegagalan Clinton menjawab isu skandal e-mel, menyebabkannya disiasat Biro Siasatan Persekutuan (FBI) kerana menyalah guna e-mel peribadi untuk urusan rasmi ketika beliau menjawat jawatan Setiausaha Negara AS.
Trump menggunakan isu ini untuk menakut-nakutkan rakyat sekiranya Clinton didapati bersalah menyalahguna kuasa dan seharusnya Clinton tidak bertanding jawatan presiden. Isu ini mengejutkan warga AS dan menjadi faktor penyumbang kemenangan Trump.
Kegagalan Clinton ini menyebabkan gagalnya AS melahirkan seorang wanita sebagai Presiden AS yang sebelum ini melahirkan seorang presiden kulit hitam pertama – Barack Obama. Yang jelas, kemenangan Trump ini unik kerana beliau memecahkan dominasi golongan elit AS yang mendominasi politik AS sejak sekian lama melalui pendekatan politik populis dan berbeza.
Bagaimana reaksi dunia dengan kemenangan Trump ini?
Kebimbangan dunia Islam
Dunia Islam menyatakan kebimbangan mereka. Trump pernah menuduh orang Islam mendokong keganasan dan akan mengharamkan orang Islam memasuki AS. Dengan kemenangan beliau, adakah beliau akan mengotakan janji beliau mengharamkan orang Islam memasuki AS? Sekiranya beliau gagal melaksanakan janji ini, sudah pasti beliau akan dilihat tidak menunaikan janji pilihan raya oleh pengundi beliau.
Ketidaktentuan polisi mengenai orang Islam ini menyebabkan dunia Islam semakin berhati-hati untuk berurusan dengan beliau nanti. Hasrat Malaysia untuk menghapuskan visa pelawat ketika rakyat Malaysia melawat AS juga dilihat akan terbantut.
Bagaimana pula kesan kemenangan Trump ke atas Malaysia? Sekiranya Trump menunaikan janji mengharamkan umat Islam ke AS, maka lebih 60 peratus rakyat Malaysia yang beragama Islam tidak akan dapat mengunjungi AS pada masa hadapan.
Selain itu, Trump juga dilihat tidak menyokong Perjanjian Perkongsian Trans-Pasifik (TPPA) yang dilaksanakan oleh Obama sebelum ini. Jadi kemungkinan polisi TPPA ini juga akan dimansuhkan sekiranya Trump melihat tiada keperluan meneruskan dasar ini. Ini akan menyebabkan Malaysia yang menandatangani perjanjian ini buntu dan terpaksa mencari polisi alternatif.
Kemenangan kepada China
Kedudukan geopolitik Malaysia juga banyak bergantung kepada kedudukan hubungan China-AS khususnya yang menyangkut isu di Laut China Selatan. Pihak media seperti Independent di UK dan majalah Foreign Policy di AS menyatakan kemenangan Trump adalah kemenangan kepada China. Ini kerana Trump akan dilihat tidak akan bertegas dengan Beijing khususnya di dalam isu hubungan dua hala. Sekiranya ini berlaku, maka AS dilihat akan kurang berperanan sebagai kuasa pengimbang di Laut China Selatan.
Namun ada penganalisis seperti Wang Huiyao tidak bersetuju, malah menyatakan Trump berjanji untuk mengenakan 45 peratus tarif perdagangan ke atas produk China ke AS. Yang pasti, tidak jelas lagi polisi sebenar Trump ke atas China. Seperti juga China, polisi Trump nanti juga tidak jelas dari konteks Asia Tenggara dan Malaysia. Malaysia secara pragmatik pula dilihat harus mengukuhkan hubungan kerana Trump dilihat bersungguh-sungguh menghapuskan pengganas Daesh (IS).
Jadi Malaysia akan jadi negara yang mendapat perhatian AS dalam usaha menentang Daesh. Malah dijangkakan hubungan AS dengan Malaysia akan berjalan seperti biasa di sebalik ketidaktentuan polisi yang ingin dibawa Trump nanti.

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo